10 Tip Selamat Lantik Kontraktor Untuk Urusan Renovasi Rumah Anda

March 02, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Hartanah / Pelaburan

Bagi memilih kontraktor untuk renovasi rumah anda, penting untuk kita tahu beberapa perkara. Sebaiknya tidak terlalu tergesa-gesa untuk memilih kontraktor yang sesuai untuk renovasi rumah anda.

Sebelum anda membuat keputusan untuk melantik mana-mana kontraktor untuk urusan renovasi rumah anda, ada baiknya anda fahami dan ikuti tips ringkas yang saya senaraikan di bawah:-

1. Dapatkan Beberapa Senarai Kontraktor Yang Berkelayakan

Dapatkan beberapa senarai kontraktor yang berkelayakan, stabil dari segi kewangan, pengurusan syarikat dan sumber manusia serta efisyen dan baik dari segi mutu kerja. Lakukan survey dan dapatkan segala data, maklumat, track record serta pengalaman kerja kontraktor-kontraktor tersebut. Jangan hanya lantik kontraktor berdasarkan rekemendasi rakan atau ahli keluarga anda semata-mata.

2. Dapatkan Sebut Harga dan Cadangan Pelan Renovasi Daripada Kontraktor

Dapatkan sebut harga dan cadangan pelan renovasi beserta spesifikasi untuk kerja-kerja renovasi daripada kesemua kontraktor tersebut. Ingat, tidak semestinya anda pilih kontraktor yang memberikan sebut harga yang terendah. Tetapi yang lebih penting adalah, sebut harga yang diberikan adalah berpadanan dengan cadangan kerja dan kualiti kerja yang akan dilakukan.

3. Sediakan Kontrak Renovasi Rumah

Setelah anda pilih kontraktor yang paling berkelayakan, sediakan satu Kontrak Renovasi Rumah yang mengandungi terma-terma dan syarat-syarat kerja yang harus dilakukan oleh kontraktor tersebut. Senaraikan juga tanggungawab dan hak anda terhadap kontraktor tersebut.

Tip Hartanah - renovasi rumah

 

Sebaik-baiknya, lantiklah peguam hartanah yang berpengalaman untuk sediakan Kontrak Renovasi Rumah anda. Jangan kedekut untuk keluar duit yuran guaman peguam jika itu dapat melindungi hak dan kepentingan anda. Kalau kerja renovasi ratusan ribu pun anda mampu bayar, apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan yuran guaman yang hanya lebih kurang seribu dua sahaja kosnya.

4. Lantiklah Beberapa Kontraktor Berbeza

Sebaik-baiknya, jangan lantik satu kontraktor sahaja untuk lakukan kesemua kerja renovasi keseluruhan rumah anda. Lantiklah beberapa kontraktor berbeza yang mahir dalam bidang kepakaran masing-masing.

Misalnya, untuk kerja-kerja pemasangan konkrit dan tiles, lantik satu kontraktor, untuk kerja-kerja berkaitan wiring dan elektrikal, lantik satu kontraktor yang lain, dan sebagainya. Ingat, bukan semua kontraktor mahir dalam kesemua bidang pembinaan.

5. Pastikan Anda Mempunyai Hak Eksklusif Untuk Menamatkan Kontrak

Pastikan di dalam Kontrak tersebut memberikan hak secara eksklusif untuk anda menamatkan kontrak tersebut pada bila-bila masa sekiranya kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor tersebut tidak menepati cadangan pelan kerja dan spesifikasi dan tidak mengikut mutu kerja dan sifat ketukangan yang dikehendaki oleh anda.

6. Jangan Bayar Harga Kontrak Sekali Gus Kepada Kontraktor

Jangan bayar kesemua harga kontrak sekali gus kepada kontraktor. Sebaik-baiknya, bayarlah mengikut progres kerja. Apabila kerja telah siap dan mematuhi segala pelan dan spesifikasi serta mutu kerjanya juga memuaskan hati anda, barulah anda jelaskan bayaran tersebut.

Sebagai jaminan kepada kontraktor yang anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menjelaskan bayaran kontrak tersebut, anda boleh buat bayaran harga kontrak tersebut kepada peguam anda sebagai stakeholder. Dan peguam anda akan lepaskan bayaran tersebut secara berperingkat kepada kontraktor sebaik sahaja kerja-kerja di peringkat tersebut telah disiapkan.

7. Dapatkan Resit Daripada Kontraktor Untuk Setiap Bayaran yang Dibuat

Sila dapatkan resit atau sebarang bukti penerimaan bayaran daripada kontraktor tersebut untuk setiap bayaran progres yang telah dijelaskan.

Resit pembayaran

Sebaik-baiknya, ambil gambar untuk setiap kerja yang telah disiapkan oleh kontraktor tersebut sebagai rekod dan rujukan anda.

8. Minta Daripada Kontraktor Tempoh Waranti Kerosakan

Minta daripada kontraktor tersebut tempoh waranti kerosakan misalnya 2 bulan sebelum anda/ peguam anda lepaskan keseluruhan bayaran kontrak tersebut.

Bayaran progress terakhir hanya akan dilepaskan kepada kontraktor tersebut setelah kesemua kerja disiapkan sepenuhnya mengikut pelan dan spesifikasi serta memuaskan hati anda sebaik sahaja tempoh waranti kerosakan tersebut berakhir. Sekiranya dalam tempoh waranti tersebut terdapat kerosakan, minta kontraktor anda membaiki kerosakan tersebut dengan segera sebelum anda/ peguam anda boleh lepaskan bayaran progres terakhir tersebut kepadanya.

9. Sekiranya Kontraktor Gagal Siapkan Kerja Renovasi, Failkan Tuntutan Gantirugi di Tribunal Pengguna

Sekiranya di dapati kontraktor tersebut melanggar mana-mana terma dan syarat-syarat kontrak, anda boleh saja memfailkan Tuntutan Gantirugi di Tribunal Pengguna. Kelebihan memfailkan tuntutan di Tribunal Pengguna adalah ianya menjimatkan masa dan kos, prosedurnya yang mudah dan keputusannya akan di buat dalam tempoh masa 40 hari daripada tarikh pemfailan tuntutan.

10. Gunakan Hak Anda Sepenuhnya Sebagai Pelanggan

Yang penting, dalam urusan perlantikan kontraktor ini, jangan terburu-buru, berfikirlah dengan tenang dan waras serta fahami dan gunakanlah sepenuhnya hak anda sebagai pelanggan. Ini kerana anda yang akan keluarkan wang. Jadi biarlah wang yang anda keluarkan itu berbaloi dengan hasil yang diperolehi.

Kredit foto: Scott Hamilton, Ben Osteen, Kool Cats Photography


Tags: , ,

Pendapat anda?