2 Lubuk Rahsia Pencarian Rumah ‘Below Market’

August 06, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Hartanah / Pelaburan

Umum mengetahui terdapat pelbagai kategori hartanah di dalam pelaburan hartanah. Ada rumah  ‘undercon’ (dalam pembinaan), ada rumah ‘auction’ (lelong), ada rumah ‘subsale’ (terpakai) dan beberapa kategori hartanah lain lagi.

Ramai yang mengetahui bahawa saya lebih sinonim dengan pelaburan hartanah bergenrekan ‘subsale’ dan tidak kurang juga yang masih mengingati akan ayat-ayat berikut yang pernah terlakar di dinding Facebook saya, “Jangan tunggu untuk beli rumah sebaliknya, beli rumah dan tunggu”.

Beli Rumah ‘Below Market’ – Cara Terbaik Beli Rumah

Dalam kegusaran terhadap khabar angin yang mengatakan 2016 bakal dihadirkan dengan krisis ekonomi dunia, mana mungkin untuk anda terutamanya pelabur baru memberanikan diri melabur di dalam pelaburan hartanah. Lebih-lebih lagi yang masih dalam pembinaan kerana khuatirkan rumah yang diimpi bakal terbengkalai dalam tempoh masa kritikal tersebut.

Namun, sepertimana yang sering saya nyatakan, “Setiap hari adalah hari yang terbaik untuk membeli rumah dengan syarat, ia mestilah below market value (di bawah nilai pasaran)”. Lantas, ia mengundang kepada persoalan berikut, “Di mana kami nak cari rumah yang sebegitu?”.

Ya, anda sebenarnya tidak keseorangan. Hampir kebanyakan mereka yang baru pertama kali terjebak dengan subjek pelaburan hartanah ini turut bertanyakan soalan yang sama. Justeru, ingin saya kongsikan 2 ‘lubuk rahsia’ di mana saya mendapatkan rumah ‘below market’ agar lubuk yang sama mampu menghadirkan pulangan yang berbaloi untuk anda.

1. Banker

Pengalaman sebagai seorang Pegawai Bank selama 15 tahun ternyata membuka mata saya tentang lubuk yang satu ini. Sekitar 2004 di saat saya ditempatkan di Bahagian Pengawalan Kredit (Credit Control) ternyata mengesankan saya. Manakan tidak, tugas ‘mengejar’ peminjam culas telah membuka peluang saya untuk mendapatkan rumah ‘below market’.

banker

Setiap peminjam yang berjaya dikesan dan menghadirkan diri di hadapan saya, pasti akan membuka peluang kepada rumah jenis ini. Kebiasaannya peminjam culas ini akan menawarkan rumah mereka untuk saya beli demi melupuskan hutang mereka, dan seterusnya melepaskan mereka dari disenarai-hitamkan oleh pihak bank.

Hampir setiap minggu saya menerima tawaran sebegini dari mereka, dan ternyata tidak semuanya mampu saya beli. Lalu yang menjadi mangsanya, adalah rakan-rakan terdekat saya yang ‘terpaksa’ membeli rumah-rumah ‘below market’ ini. Untung mereka bukan?

2. Ejen Hartanah

Ramai yang mengeluh apabila nama ejen hartanah dikaitkan sebagai sumber bagi mendapatkan rumah ‘below market’. Bagi mereka, ejen hartanah pastinya lebih teruja untuk mendapatkan harga jualan semaksima mungkin agar komisyen yang bakal diperolehi akan turut bertambah, tetapi percayalah golongan inilah yang sebenarnya telah menggandakan jumlah rumah ‘below market’ yang saya miliki.

ejen-hartanah

Untuk pengetahuan pembaca, ejen hartanah merupakan individu yang mempunyai pengetahuan luas mengenai harga pasaran dan untuk pengetahuan anda juga, tidak semua dari mereka yang bersikap mementingkan komisyen semata. Menerusi pemerhatian dan pengalaman saya, mereka lebih mementingkan hubungan dengan para klien mereka, terutamanya dari kalangan pelabur.

Justeru, sekiranya terdapat rumah-rumah ‘below market’ yang berada dalam ‘listing’ mereka, pastinya klien mereka inilah yang akan mereka tawarkan terlebih dahulu sepertimana yang sering saya alami selama ini.

Kesimpulannya, rumah ‘below market’ bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. ‘Lubuk rahsia’ telah pun saya kongsikan, apa yang perlu anda lakukan kini ialah berkenal-kenalanlah dengan komuniti yang berada dalam lubuk ini agar rumah ‘below market’ yang diimpi mampu diperolehi dengan mudah, inshaaAllah.


Tags: , , ,

Komen (7)

  1. Ambe sebagai ejen hartanah, setuju. Ramai tersalah anggap, ejen hartanah ni nak jual mahal, bila jual mahal dapat komisyen lebih. Salah tu.

    Komisyen ejen hartanah ni percentage dari harga jualan rumah. Kami takde insentif pun untuk jual harga tinggi. Bagi kami, yang penting terjual.

    Bila ada rumah pemilik nak jual cepat, below market, investor2 la yang kami cari.

Pendapat anda?