ISI KANDUNGAN
Bukan sahaja dalam bisnes, tetapi dalam segenap aspek kehidupan, first impression atau tanggapan kali pertama itu adalah sangat penting untuk langkah kita yang seterusnya.
Ikut kajian, orang membuat penilaian tentang orang lain dalam masa tidak sampai 3 saat.
Akan tetapi cukupkah 3 saat itu untuk memberikan gambaran yang baik mengenai kita dan adakah cukup dalam tempoh 3 saat itu, mereka merumuskan personaliti kita dengan baik.
Mesti ramai yang berkata tidak. Akan tetapi secara hakikatnya, dalam masa kurang 3 saat inilah, orang lain akan membina persepsi mereka terhadap kita dan mungkin akan kekal selamanya jika kita tidak punyai kesempatan untuk menukar atau memperbaikinya.
Dalam bisnes, berjumpa dengan orang baru hampir setiap hari adalah rukun wajib bagi anda, orang bisnes.
Anda mungkin bertemu dengan majikan lain, anda mungkin bertemu dengan pelanggan yang ada pelbagai ragam dan latar belakang, anda mungkin bertemu dengan pekerja lain ataupun mungkin orang-orang yang tidak disangka seperti bakal pelabur.
Ini adalah peluang terbaik untuk anda networking dan mengembangkan bisnes.
Jangan lepaskan peluang yang baik ini hanya kerana first impression mereka terhadap anda adalah salah.
Berikut adalah cara untuk bina first impression yang positif buat kali pertama pertemuan atau perjumpaan dengan orang lain.
#1-Katakan ‘Ya’Kepada Mereka.
Agak sukar nak beri tanggapan persepsi yang positif kepada orang lain jika anda mulakan perbualan dengan perkara yang negatif.
Soalan yang pertama sekali adalah kritikal yang akan membawa kepada soalan yang seterusnya.
Jadi pastikan anda menjawab dengan baik sekali. Cuba cari titik persamaan antara anda dengan individu atau kumpulan terbabit.
Selalunya perbualan akan bermula secara kasual. Contohnya, “tempat ini sangat menarik”, “cuaca kelihatan tidak begitu elok”, inilah pencuci mulut yang tersedap di bandar ini”.
Anda terlebih dahulu perlu kenal dengan diri anda sendiri dan mungkin kenal juga sedikit mengenai diri mereka.
Jadi, di awal perbualan cubalah cari titik persamaan sebelum bertukar ke arah yang lebih serius dan kritikal, untuk tidak bersetuju pendapat dan pandangan misalnya haruslah dilakukan dengan perlahan-lahan mengikut situasi.
Mungkin anda kurang bersetuju tetapi untuk perkara-perkara yang tidak serius, walaupun tidak bersetuju, anda boleh menyampaikannya dengan berlapik.
Contohnya, “ya, tempat ini kelihatan menarik, lihat ada….”, “ya nampaknya begitu, cuaca berubah dengan singkat padahal tadi dalam perjalanan, cuaca tidak seperti ini”, “ya, pencuci ini memang sedap, anda pernah cuba pencuci mulut di….? mungkin anda juga akan menyukainya, nanti saya belanja”.
Ini adalah cara untuk bersetuju walaupun sebenarnya kita ada pandangan yang berbeza.
Jangan terlalu keras ingin mengikut ideologi sendiri sejak dari mula hingga menutup ruang dan peluang kejayaan yang ada semasa perkenalan kali pertama.
Bagi mereka peluang untuk mengenali anda dengan baik dengan cuba bersikap baik dengan mereka terlebih dahulu.
#2-Mulakan Dengan Yang Anda Biasa.
Sekiranya anda menghadiri acara majlis korporat dan sebagainya, cara untuk anda bina persepsi yang bagus adalah dengan mencari orang yang anda kenal terlebih dahulu.
Mungkin anda sedar yang ada beberapa orang yang anda kenal akan hadir ke tempat yang sama jadi fokus untuk mulakan perbualan dengan mereka bagi elak rasa kekok.
Ikut psikologi, individu yang dilihat berada bersama kumpulan lebih nampak menarik untuk didekati berbanding dengan individu yang nampak bersendirian.
Daripada sini, mereka selalunya bantu anda untuk bersosial dengan lebih baik dengan memperkenalkan anda dengan orang lain.
Satu kenalan akan membawa kepada satu kenalan lain yang baharu.
Jangan lupa untuk memperkenalkan anda dan syarikat anda dengan lebih lanjut. Saling bertukar maklumat diri untuk peluang yang lebih besar.
#3-Elak Sindrom ‘Saya’.
Untuk kekal bina persepsi yang positif semasa pertemuan kali pertama, pastikan anda sudah ada modal cerita yang menarik untuk dikongsikan.
Anda boleh kongsikan promosi atau projek terbaru syarikat. Anda boleh bercerita mengenai isu semasa yang menarik bagi individu tersebut.
Tetapi, ingat dengan baik yang walaupun mereka rasa anda menarik pada awal pertemuan, tetapi jika sepanjang perbualan anda asyik bercakap mengenai diri anda, perkembangan anda, kejayaan anda dari awal hingga akhir, anda telah menempah tiket untuk ke satu destinasi yang anda tidak boleh kembali lagi.
Komunikasi bermaksud interaksi dua hala. Jika cuma anda yang berkata-kata tetapi anda tidak memberi ruang untuk mereka melakukan perkara yang sama, anda telah membunuh keinginan orang untuk berkenalan dengan anda dengan lebih lanjut.
Mungkin itu bukan personaliti anda yang sebenarnya, mungkin kerana anda terlalu berusaha untuk menunjukkan sisi terbaik anda telah membuatkan orang menjauh daripada anda.
Jadi diri sendiri tetapi jangan terlalu jumud dengan cara sendiri. Usahawan yang bagus adalah usahawan yang fleksibel.
Sehebat mana pun anda pasti akan ada orang lain yang lebih hebat daripada anda sebagaimana pasti ada orang yang lebih kurang atau lemah daripada anda.
Tunjukkan anda berminat dengan orang lain sebagaimana anda ingin orang lain berminat dengan anda. Hargai dan hormat mereka seadanya dan jangan lupa jaga bahasa badan selain lisan. Ingat, peluang untuk bina first impression hanya datang sekali.