3 Rahsia Pembentangan Bisnes Berpengaruh

February 09, 2011 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Ramai usahawan mempunyai produk yang hebat dan idea bisnes yang geliga. Namun sayangnya mereka gagal memikat audiens semasa produk dibentangkan. Perkara pokok dalam pembentangan bisnes ialah keupayaan kita berbicara dengan sebutan yang jelas dan baik.

Individu yang berada di puncak organisasi semuanya pandai bercakap dengan baik

Kata Puan Ainon Mohd, “Kajian mendapati individu-individu yang berada di puncak organisasi semuanya pandai bercakap dengan baik.” Sebagai tambahan, tiga rahsia berikut boleh mencairkan hati audiens. Kesannya mereka mengatakan “Ya!” pada tawaran bisnes kita.

Rahsia #1: Hasilkan Slaid Yang Simpel

Bagi memastikan idea kita jelas, reka bentuk slaid harus simpel. Pilih fon yang simpel yang biasa digunakan. Pastikan saiznya cukup besar. Padanan warna fon dengan warna latar belakang tidak harus menyakitkan mata. Jika kita menggunakan gambar, pastikan gambar adalah terang dan dalam resolusi tertinggi.

Semasa menyediakan slaid, letak diri kita pada tempat audiens. Kritik slaid yang kita hasilkan. Minta rakan kita turut sama mengkiritik slaid itu.

Panduan lengkap mengenai pantang-larang dalam rekabentuk slaid boleh didapati daripada buku tulisan saya, Persembahan Hebat dengan PowerPoint.

Rahsia #2: Kuasakan Bahasa Badan

Professor Albert Mehrabian menyatakan 55 peratus daripada komunikasi melibatkan bahasa badan. Oleh itu bahasa badan sangat berkuasa dalam pembentangan.

Jadi berdirilah dengan tenang. Usah senget ke kiri atau kanan seperti pokok kelapa ditiup angin. Jarak bukaan di antara kaki kiri dengan kanan adalah lebih kurang sama luas dengan bahu. Gerak isyarat tangan pula berfungsi menyediakan struktur visual. Ia membantu memudahkan audiens memahami mesej.

Selain itu, pilihan pakaian semasa kita berada di depan dapat dijadikan klu bagi audiens meneka siapa kita. Mereka mula membuat kesimpulan awal mengenai siapa kita dalam tempah 30 saat pertama. Jadi pastikan tanggapan awal kita kekal terbaik.

Rahsia #3: Berikan Elemen Kejutan

Elemen kejutan menjadikan persembahan kita diingati. Tawarkan hadiah sampel percuma kepada audiens yang berjaya menjawab soalan kuiz di hujung pembentangan produk. Kejutan itu mengingatkan mereka dengan produk kita, sampai bila-bila.

Demonstrasi Produk Oleh Steve Jobs

Selain menunjukkan gambar produk pada slaid, kejutkan audiens dengan membawa produk sebenar ke atas pentas. Steve Jobs, CEO Apple semasa mempersembahkan Macbook Air buat kali pertama mengejutkan audiens dengan memasukkan gajet itu di dalam sebuah sampul surat.

Berikan peluang kepada audiens naik ke pentas bagi mencuba produk kita. Sudah tentu kejutan itu tidak diberikan kepada semua audiens. Lebih hebat kejutan yang kita tawarkan, lebih berkesan berpengaruh persembahan kita.

*Kredit gambar yang diambil daripada Flickr (scottschwertly)


Tags: , ,

Komen (18)

  1. tips yang brilliant. memang susah nak pikat prospek/audience kalau takda aura semasa berucap. saya pun tengah asah aura. 😀 apepun, terima kasih tuan Syahrul Nizam kerana berkongsi tips berguna ini. 😀

  2. terima kasih atas perkongsian. saya sendiri menyedari saya masih lemah dalam pembentangan ketika sesi ceramah. Saya tunggu perkongsian selanjutnya dari tuan!

  3. Ini lah yang saya cari. Bakal saya praktikkan semasa saya membuat bengkel perniagaan Internet di sebuah agensi kerajaan tak lama lagi.. 🙂 terima kasih Tuan Syahrul dan MN!

  4. Informasi ini sangat membantu kita semua, untuk mempersembahkan bisnes, yakni produk atau perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih baik. Terima kasih Tuan Syahrul. 🙂

Leave a Reply to syahrul nizam junaini Batal (Cancel)