3 Tip Mengelakkan Bajet Bisnes Tersasar

February 16, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Kewangan / Pengurusan Kewangan

Keterujaan seorang usahawan terhadap bajet, mesti serupa dengan keterujaanya terhadap untung. Malah untung perniagaan bermula dari bajet yang berkesan.

Dalam bajet, bagaimana sumber diperoleh dan diguna diperhitungkan – antaranya sumber manusia, masa, wang, dan bahan mentah. Persamaan antara semua sumber ini ialah terhad, justeru sumber yang terhad ini mesti dirancang sebaik mungkin untuk mencapai matlamat utama perniagaan iaitu keuntungan.

Bajet bukan laporan akhir tapi dokumen rujukan untuk perniagaan bergerak lurus, pantas dan sempurna. Namun ada juga bajet yang tidak banyak membantu untuk firma berjaya kerana bajetnya lemah dan tidak berkesan. Artikel ini mengulas tiga punca bajet lesu dan kurang memberi manfaat.

1. Bajet 360 Darjah

Menyiapkan bajet yang berkesan, bukan tugas yang boleh disempurnakan oleh seorang individu secara bersendirian. Kombinasi pelbagai individu merentas kepakaran dan tingkat pengurusan diperlukan. Diskusi, harmonisasi, semak dan imbang, dan sumbangsaran, semuanya rencah penting untuk menghasilkan bajet 360 darjah.

Bajet 360 darjah

 

Pastikan belanjawan bersifat terangkum kerana bajet memberi kesan kepada kerja semua orang dalam firma – bukan sahaja mereka yang menyediakan bajet. Input maklumat daripada individu yang pakar tentang bidang tugasnya tentu lebih terkini, dipercayai dan tepat.

Bukankah seorang tukang cuci lebih arif tentang cabaran pencucian, berbanding dengan seorang Chief Financial Officer (CFO)! Dalam menyediakan bajet, semua orang dalam firma adalah penting kerana merekalah yang memastikan firma terus bernafas. Hanya kapasiti dan tugas sahaja yang berbeza biarpun kesemuanya mustahak dan bernilai.

2. Sasaran

Bajet memberikan kuasa motivasi tanpa perlu berbicara! Namun ada prasyarat untuk bajet menjadi sebegitu bertenaga. Fokuskan kepada sasaran bajet – sama ada untung, kos, kuantiti, masa dan sebagainya. Sasaran perlu kena tepat, baharulah bajet menjadi kuasa motivasi.

Sasaran pelanggan - memanah

 

Ambil contoh sasaran penjimatan kos – berapa jumlah kos yang disasarkan supaya firma dapat mengurus kos dengan baik? Jangan meletakkan sasaran yang terlalu longgar kerana tidak berguna sama sekali. Jangan pula meletakkan sasaran yang terlalu unggul sehingga kelihatan hampir mustahil untuk dicapai.

Prinsipnya mudah sahaja – sasaran yang ditetapkan dapat menambahbaik kedudukan firma secara berterusan supaya dapat terus bersaing. Ibarat anda menetapkan sasaran menurunkan berat badan.

Jangan kerana terlalu obses untuk kurus secara mendadak sehingga menjejaskan kesihatan. Jangan pula menetapkan sasaran yang terlalu perlahan sehingga sukar dinikmati perubahan. Sama ada situasi pertama atau kedua, kedua-duanya tidak memberikan kuasa motivasi berpanjangan.

3. Mudah Dimodifikasi

Ungkapan ini bukan asing bagi kebanyakan orang. Dalam dunia perniagaan, perubahan berlaku dengan rancak pada sepanjang masa dan pada hampir semua perkara.

Hampir setiap hari ada sahaja perkara baharu terjadi yang membuka peluang dan ancaman kepada dunia perniagaan. Natijahnya, segala strategi dan amalan pengurusan perniagaan mesti bersifat mudah lentur untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Bajet juga begitu.

Bajet modifikasi

 

Antara tempoh bajet dirancang dengan pelaksanaan sesuatu tindakan, banyak perubahan berlaku antara kedua-dua titik masa itu. Maka bajet perlu mudah diubah agar sentiasa relevan dan bermakna.

Tidak perlu terikat konkrit pada bajet tanpa kebijaksanaan kerana perniagaan bakal menemui nahas. Namun bajet yang terlalu kerap berubah juga adalah sesuatu yang tidak sihat. Jika berlaku sebegitu, itu bermakna bajet tidak disediakan dengan kajian yang mendalam.

Kredit foto: Yusuke Oono, Wim Bollein, Dundee


Tags: , ,

Komen (2)

Pendapat anda?