‘3S’ Senjata Rahsia Jutawan Islam

December 20, 2012 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Saat jari-jemari menaip papan kekunci komputer riba ini, penulis terkenang kembali kata-kata seorang Ustaz.  Beliau menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan sangat hebat.

Beliau juga menegaskan agar tingkatkan ekonomi seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Terdetik juga di hati ini.  Apakah rahsia Rasulullah S.A.W  menjadi seorang Usahawan yang sangat berjaya?  Dan selepas kajian dan pembacaan, penulis dapati Rasulullah menggunakan ‘Senjata 3S’.

Sebenarnya ada pelbagai lagi Rahsia Kejayaan Rasulullah dalam Perniagaan. Tetapi ‘Senjata 3S’ ini adalah perkara asas.

Senjata 3S ini adalah Sekat Sifat Qanaah, Sistem Penyampaian Gaya Rasulullah S.A.W dan Set Minda Jutawan Islam. Mari kita selami 3 perkara ini dengan lebih lanjut.

Senjata #1  : ‘Sekat Sifat Qanaah’

Terdapat beberapa pengertian bagi perkataan Qanaah.  Melalui pengertian secara bahasa, Qanaah bermaksud berasa cukup serta puas dengan setiap sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t.  Dan ia juga merupakan salah satu cara untuk tunduk serta akur dengan kurnian-Nya. (Solusi Isu No.43)

Terdapat juga beberapa definisi Qanaah secara istilah, antaranya:

Muhammad Ali Al-Tarmizi:

Qanaah ialah jiwa yang rela terhadap pemberian rezeki yang telah ditentukan-Nya.

Bishr al-Hafi:

Qanaah ibarat raja yang tidak akan bertakhta kecuali di hati orang Mukmin.

Abu Abdillah Bin Khafif:

Qanaah ialah perbuatan meninggalkan angan-angan terhadap sesuatu yang tidak ada dan berasa cukup dengan sesuatu yang ada.

Abu Sulaiman al-Darani:

Qanaah kerana rela dengan kedudukannya adalah sama dengan warak dan zuhud.  Qanaah ialah permulaan rela, sedangkan warak itu sendiri ialah zuhud.

Muhammad Al-Kattani:

Sesiapa yang menjual ketamakan dirinya dengan sifat qanaah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri.

Abu Bakar Al-Maraghi:

Orang yang sihat akalnya ialah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qanaah serta mempercepatkan tugas dalam mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad.

Melalui beberapa penjelasan berhubung dengan pengertian Qanaah, secara kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa Qanaah adalah sifat berasa cukup dan puas, dengan kurniaan Illahi walaupun manusia mengatakan sedikit secara zahirnya.

Oleh itu, sifat Qanaah perlu diterap dan disemai dalam hati setiap usahawan Islam.  Sifat ini memberi kesedaran untuk menjadi usahawan, berasa puas dengan kurniaan Illahi walaupun mengikut pandangan manusia adalah sedikit.

Usahawan hendaklah mempunyai ketenangan hati dan jiwa.  Untuk mencapai ketenangan hati, dalami sifat Qanaah.  Bidang keusahawan adalah suatu bidang yang ada pasang dan surutnya.  Bersedia pada kedua-dua saat ini dengan ‘5 Ramuan Qanaah’.

Ramuan Qanaah #1:  Syukur Segalanya

Apabila akal fikiran yang mempunyai daya spiritual yang tinggi, mudah untuk memikirkan segalanya yang positif.  Sebaliknya apabila akal fikiran lemah daya spiritualnya, tidak hairanlah sekiranya segala perkara dipandang daripada sudut negatif.

Fikiran yang mempunyai daya spiritual yang tinggi memerlukan ramuan Qanaah.  Khalimah ‘Syukur Segalanya’ bermaksud walau apa pun yang terjadi.  Baik atau buruk, untung atau rugi, kaya atau miskin, gagah atau lemah dan senang atau susah; segalanya dianggap sesuatu yang positif.

Ramuan Qanaah #2:  Redha Segalanya

Sebagai hamba kepada Yang Maha Esa, redha adalah suatu bentuk harapan.  Harapan yang tinggi kadangkala membuatkan manusia leka.  Manakala harapan yang rendah, mampu menjadikan manusia itu bongkak.

Usahawan Islam perlu redha dengan ujian dan dugaan yang terjadi.  Bukan sahaja kepada perniagaan, malah dalam kehidupan seharian.  Sifat redha ini penting supaya sikap bongkak dan tinggi diri dilenyapkan sepenuhnya dalam diri.

Apabila sesorang usahawan itu redha, maka secara pandangan kasarnya , usahawan tersebut mempunyai sifat rendah diri, bersyukur dan sentiasa mengingati Allah dalam semua perkara.

Ramuan Qanaah #3:  Terima Segalanya

Di dalam dunia kini, terlalu banyak perkara yang akan mempengaruhi sikap usahawan Islam.  Untuk itu, usahawan Islam harus mempunyai ‘perisai’ bagi melindungi anasir-anasir negatif.  Ia juga bertujuan untuk singkirkan cas-cas negatif di dalam diri.

Melalui ramuan Qanaah ini, usahawan Islam menerima segalanya ketentuan Illahi.  Jatuh bangun sesuatu perniagaan di terima dengan hati yang terbuka.  Dengan adanya pemikiran spiritual yang tinggi, usahawan Islam adalah seseorang pejuang dalam ‘medan peperangannya’.

Ramuan Qanaah #4:  Tawakal

senjata-rahsia-jutawan-islam

Definisi Tawakal adalah satu ibadah yang berserah seratus peratus kepada Yang Maha Esa, Allah s.wt.  Tawakal kepada Allah akan menyerahkan bulat-bulat semua perkara kepada Allah.   Manusia hanya mampu merancang.  Namun yang menentukan adalah Allah s.w.t.

Tidak kira sehebat mana perancangan kita dalam perniagaan.  Apabila Allah s.w.t tidak mengizinkan perkara tersebut berlaku, maka tidak jadilah perancangan tersebut.  Oleh itu usahawan Islam perlu tawakal kepada Allah semata-mata.  Bukan kepada makhluk lain.

Ramuan Qanaah #5:  Tolak Tarikan Dunia

Tidak terhintung dengan jari-jemari tarikan di dunia ini.  Sekiranya terlalu asyik ‘melayani’ hal di dunia, ‘karamlah’ kita dengan ‘lautan’ tersebut.  Apabila kita karam, maka kelemasan mula melanda.  Kelemasan ini sedikit demi sedikit akan meresapi tubuh kita.

Oleh itu, bagi mengelak ‘kelemasan tarikan dunia’, usahawan Islam perlu mempunyai sifat Qanaah.  Sifat qanaah yang menyingkir dan menolak tarikan dunia yang berlebih-lebihan. Pilihlah perkara-perkara yang mengikut landasan agama agar selamat di dunia dan di akhirat.

Akhir kata, dengan sifat Qanaah, usahawan Islam akan mempunyai pegangan yang sangat kuat.  Pegangan inilah yang akan membantu menerpa kejayaan.  Kejayaan yang diterpa bukan sahaja di dunia, malah akan sambung ke akhirat.  Insya-Allah.

Senjata #1: ‘Sistem Penyampaian Gaya Rasulullah S.A.W’

Pada zaman Rasulullah s.a.w, Islam berkembang bukanlah dua atau tiga hari.  Namun ianya mengambil masa bertahun-tahun.  Dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan secara bijaksana, bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Oleh kerana Rasulullah s.a.w menggunakan tiga pendekatan tersebut, maka ramai masyarakat Arab Jahiliyah di Mekah memeluk agama Islam.  Walaupun mereka sangat patuh kepada ajaran dan kepercayaan datuk moyang mereka.  Inilah kekuatan penyampaian ilmu dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

‘Bijak Dalam Sampaikan Ilmu’

Dalam menyampaikan ilmu, penyampai tersebut haruslah mempunyai ilmu terlebih dahulu.  Ini mungkin sesuai dengan pepatah ‘Cakap Tak Serupa Bikin’.  Di mana, mereka hanya pandai dalam menyampaikan ilmu namun mereka sendiri tiada ilmu tersebut.

Saya ambil contoh, Si ‘A’ tiada pengalaman dalam perniagaan.  Dan tidak pernah berniaga sebelum ini.  Beliau berminat untuk mengajar Si ‘B’ tentang ilmu pemasaran.  Ini akan memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada penyampai tetapi kepada individu yang menerima ilmu tersebut.

‘Bersungguh-Sungguh Martabatkan Ilmu’

Sikap memainkan peranan dalam hal ini.  Sikap pengajar perlu diubah daripada sambil lewa kepada bersungguh-sungguh.  Ini secara tidak langsung memberikan gambaran yang lebih positif terhadap pengajar.

Selain itu, apabila sikap bersungguh-sungguh ini diterap oleh pengajar, ilmu yang disampaikan akan lebih mudah diterima.  Dan apabila ilmu mudah diterima, secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada penerima.

‘Ikhlas Hanya Kerana Allah s.w.t’

Semua perkara perlu ikhlas.  Lebih-lebih lagi dalam menyampaikan ilmu.  Apabila pengajar menyampaikan ilmu secara ikhlas, secara tidak langsung ia akan mewujudkan dua elemen sebelum ini iaitu bijaksana dan bersungguh-sungguh.

Oleh hal demikian, ubah sikap yang selama ini diterapkan.  Jangan hanya harapkan keredhaan manusia, keredhaan Allah s.w.t ditinggalkan.  Ikhlaskan segala perkara hanya kerana Allah s.w.t nescaya hidup kita lebih berkat.  Insya-Allah.

Akhir kata, untuk menjadi seorang penyampai ilmu, tiga elemen bijaksana, bersungguh-sungguh dan ikhlas perlu diambil kira.  Ikutilah kisah-kisah Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwah.  Kejayaan dakwah baginda bukan sahaja di Mekah dan Madinah malah di seluruh pelusuk dunia.

Senjata #2 : ‘Set Minda Jutawan Islam’

Bagi mencapai sesuatu kejayaan yang diidamkan, seseorang usahawan harus mempunyai impian yang jelas.  Setiap kejayaan yang besar bermula dengan impian yang kecil.

Setiap daripada kita mempunyai impian yang berbeza-beza.  Ada di antara kita yang ingin menjadi kaya.  Ada di antara kita yang ingin menjadi terkenal.  Ada di antara kita yang ingin menjadi jutawan.  Dan pelbagai lagi impian yang ingin dicapai.

Namun, impian hanya jadi mimpi di siang hari sekiranya kita tidak aktif menggambarkan kejayaan dalam minda kita.  Maksudnya di sini, setiap impian harus mempunyai matlamat yang jelas apa yang mahu dicapai.  Impian tersebut juga harus mempunyai visi yang padu.

Contohnya sekiranya ingin menjadi jutawan, impian tersebut harus jelas dengan matlamat.  Contoh matlamat, ingin membantu keluarga yang hidup serba kedaifan.  Dan impian tersebut juga harus mempunyai visi yang padu.  Contohnya, visi adalah ingin menjadi jutawan dalam masa 5 tahun atau kurang dari itu.

senjata-rahsia-jutawan-islam-4

Senjata #3 : Gambarkan Kejayaan Anda Sekarang

Jika anda mahu menjadi seorang penulis yang berjaya.  Cuba bayangkan diri anda sedang menandatangani buku untuk orang ramai yang berbaris panjang. Jika anda mahu menjadi kaya, gambar diri anda dalam persekitaran yang mewah memegang akaun bank yang penuh sumber pendapatan yang mencecah jutaan ringgit.

Dan proses membayangkan kejayaan untuk anda harus menjadi satu aktiviti yang berterusan! Seorang penulis di Barat menceritakan bahawa bagaimana jurulatih peribadi beliau melatih diri agar impian yang dipendam dapat dicapai.

Jurulatih tersebut hanya menyebut perkataan ‘I want to become rich’  setiap kali melangkah tangga di pejabatnya.  Dan impian yang diucapkan setiap kali melangkah tangga kini telah tercapai.  Jurulatih peribadi penulis tersebut kini merupakan salah seorang jutawan dalam produk kesihatan.

Akhir kata, untuk berjaya dalam kehidupan ini, perkara yang paling asas adalah mentaliti kita.  Anggaplah kita sudah berjaya walaupun ianya adalah impian.  Dan jadikan impian tersebut menjadi kenyataan.  Insya-Allah.

Biodata Penulis

Amir Azros merupakan seorang Pendidik, Usahawan Internet dan Penulis.  Beliau telah menerbitkan beberapa Ebook dan Artikel di Blog Founder Inspirasi.  Beliau juga merupakan salah seorang Tenaga Pengajar dalam Bengkel Master Inspirasi yang dianjur oleh Inspirasi IM.  Kini beliau dalam proses menyiapkan beberapa manuskrip untuk dijadikan buku.

Beliau boleh dihubungi melalui Facebook dan blog.

Kredit : (Phareannah[berhabuk],Cooperweb & University of the Fraser Valley.)


Tags: , , ,

Komen (5)

  1. Ilmu Yang Bermanfaat. Pertanyaan untuk “S” yang pertama ‘Sekat sifat Qanaah’ apa yang dapat difahami secara jelas dalam pemikiran saya adalah menghalang sifat qanaah. Mohon Penjelasan secara mudah supaya tidak menimbulkan keraguan.

Pendapat anda?