4 Petua Efektif Menjenamakan Bisnes Secara Online (Bahagian 2)

July 04, 2011 — Penulis:

Kategori: Penjenamaan

Jika tuan dan puan perasan, kebanyakan artikel yang diterbitkan dalam blog Majalah Niaga banyak menjurus kepada aspek-aspek penjenamaan. Ini kerana kajian laman web Forbes menunjukkan, pembeli kini membeli atas dasar jenama.

Hal ini berlaku kerana wujud terlalu banyak produk yang sama genre di pasaran. Contohnya, ubat gigi sudah mempunyai pelbagai jenama selain daripada Colgate dan Darlie. Komputer juga sudah mempunyai pelbagai pilihan selain daripada Hewlett Packard atau Dell.

Sebagai pengguna, untuk mengelakkan daripada kekeliruan, kita akan membeli pada jenama produk yang kita percaya sahaja. Richard Branson juga pernah berpesan dalam buku Screw It, Let’s Do It: Lessons in Life:

“Kukuhkan jenama bisnes. Pelanggan kita akan membeli produk hanya kerana mereka percaya pada jenama kita.”

Tiada Jenama, Bisnes Tidak Tahan Lama

Justeru itu, kami sentiasa mempelbagaikan sumber untuk mewujudkan kreativiti dan inovasi bagi pembaca blog ini meningkatkan jenama bisnes. Semoga perkongsian kami yang seterusnya ini akan dapat membantu lebih banyak usahawan baru dan berpengalaman, untuk menjenamakan bisnes-bisnes mereka. Khususnya menggunakan medium online.

Untuk bahagian pertama entri ini, tuan dan puan boleh klik di sini untuk membacanya. Bahagian sebelum ini hanya meliputi asas membina jenama secara online.

#4 – Mewujudkan Blog Bisnes

Seth Godin, pakar pemasaran dan pengasas Squidoo. Beliau memberitahu dalam blognya jenama bisnes boleh dikukuhkan secara online, sekiranya pemilik bisnes memiliki blog. Ini kerana blog dapat membantu daripada segi.

Seth Godin, pakar pemasar internet

  • Menyalurkan informasi berkaitan produk – Lebih banyak maklumat, lebih tinggi kepercayaan pembeli.
  • Mewujudkan komuniti – Apabila pembaca blog kita berhimpun di blog bisnes, maka kita sudah berjaya mencipta komuniti.
  • Berkongsi social proof – Setiap pengguna yang gembira menggunakan produk kita, maklumat berita itu boleh dikhabarkan menerusi blog kita. Dengan kata lain, blog kita adalah media bisnes kita.
  • Memperkukuhkan jenama – Apabila kepercayaan itu wujud, maka jenama bisnes secara online akan wujud serta merta.

Jika tuan dan puan masih tidak tahu bagaimana untuk mewujudkan blog, boleh lakukannya dengan membaca tip-tip blogging yang kami sediakan khas untuk pembaca Majalah Niaga.

#5 – Bina Rangkaian Bisnes Di Forum

Meskipun kewujudan ruangan social media seperti Facebook seakan-akan membunuh ruangan komuniti forum, namun ia tidak bermakna forum menjadi satu platfom yang tidak aktif. Kenyataan ini adalah mitos semata-mata.

Wangcyber banyak membantu usahawan menjenamakan bisnes melalui forum

Ruangan forum masih ada penggunanya sendiri. Malah ia masih lagi diiktiraf ruangan yang terbaik, untuk mewujudkan sebarang diskusi. Lihat bagaimana forum Lowyat.net terus menjadi medan perbincangan mengenai hal gajet dan teknologi sehingga hari ini.

Untuk membina rangkaian bisnes dengan cara yang betul, berikut adalah elemen-elemen yang mesti dipatuhi ketika berforum.

  • Gunakan nama sebenar.
  • Kongsikan maklumat berkaitan dengan bisnes kita (tip, trik dan tutorial).
  • Buka thread khas untuk berkongsi pengalaman setiap hari kita menjalankan bisnes.
  • Maksimakan ruangan signature, yakni ruangan untuk meletakkan pautan promosi.

#6 – Aktif dan Konsisten

“Apa yang buat aku berjaya hari ini? Aku lakukannya setiap hari, dengan cara yang seronok, tanpa kenal erti mengaku kalah.” – Fehzan Ali, pengasas Adscend Media.

Aktif dan konsisten

Menjenamakan diri dalam dunia online tidak mudah. Kita akan mempunyai ratusan pesaing yang akan meniru konsep dan cara kita menjenamakan bisnes. Kunci untuk mengatasi para pesaing kita adalah dengan terus kekal aktif, di dunia online dan juga sentiasa konsisten untuk mengamalkan strategi yang dikongsikan.

#7 – Cipta Mesej Jenama

“Apabila menyebut tentang jenama. Pelanggan akan ingat mesej bisnes kita.” – Seth Godin

Konsep syarikat penerbitan PTS yang menggunakan mesej ‘Ini Baru Buku’ seringkali terngiang-ngiang dalam fikiran kami. Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan itu? Tetapi secara tidak langsung, mesej itu telah melekat dalam fikiran kita.

Laman Facebook PTS

Dalam mencipta mesej jenama, kita perlu berfikiran kreatif untuk menghasilkan mesej yang dapat dilekatkan dalam minda pelanggan. Ia perlu dilakukan secara berkala kerana teknik ini adalah subjektif, untuk dipertikaikan.

Namun tuan dan puan boleh rujuk bagaimana untuk menulis headline yang membunuh, oleh Tuan Haryzat Zulzahary untuk belajar sedikit sebanyak mengenai ilmu mencipta mesej jenama.

Semoga perkongsian tip penjenamaan bisnes online ini dapat membantu tuan dan puan, menghasilkan jenama yang gah dan kukuh dalam dunia online. Berpeganglah juga pada prinsip ini,

“Kepercayaan pelanggan terhadap jenama, adalah asas kejayaan bisnes.”

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (pollyanne21unclefuz, Facebook PTSzackwilson)


Tags: , , , , ,

Komen (20)

  1. Penjenamaan jenama tidak boleh dibuat dalam masa terdekat.Ia mengambil tempoh untuk kukuh dan tempoh itu adalah bersifat subjektif. 🙂 bergantung bagaimana strategik yg kita gunakan 🙂

    Tuan Aqif terima kasih kerana berkongsi ilmu yang sangat berguna…

  2. Orang membeli kasut Nike kerana jenama. Orang makan di Secret Recipe kerana jenama. Jenama yang kukuh membuatkan pelanggan percaya dan selesa untuk membeli. Walaupun kita boleh membuat kasut setanding Nike atau membuat kek lebih sedap dari Secret Recipe, tetapi tetap sukar untuk menarik pengguna atau pelanggan yang sudah setia dengan jenama tersebut.

    1. Saya suka perkongsian ini. Memang betul, banyak produk yang lebih baik daripada Nike dan sebagainya. Persoalannya, adakah jenama mereka kukuh seperti Nike? 😉

  3. Kita bina jenama hari ini untuk jangka masa panjang. Kita perlu bijak membina jenama bisnes kita sendiri supaya ianya akan dikenali oleh orang lain. Artikel dari Tuan Aqif ini sungguh bermanfaat. Terima kasih saya ucapkan..:)

    1. Sama-sama Tuan Nik Thoha. Saya yakin orang bisnes seperti tuan mengamalkan strategi penjenamaan yang kukuh. Semoga jenama tuan menjadi lebih gah dalam masa 5 tahun dari sekarang. Insya Allah. 🙂

  4. Memang tidak dinafikan jenama amat penting bagi setiap produk yang ingin kekal lama di dalam pasaran. Kalau pelanggan percaya kepada sesuatu jenama, pelanggan akan mencari walau apa pun kesusahan yang dihadapi. Cuma kekalkan kualiti dan berterusan untuk mempromosikan jenama kita. Tiada masa yang sikit untuk orang kenal jenama kita. Teruskan usaha lagi dan lagi. Sebarkan kelebihan produk anda daripada produk lain. Terima kasih kerana memberikan maklumat ini.

  5. Maklumat dan ilmu yang bermunafaat.
    Semoga terus menjenamakan diri dan perniagaan tuan.

  6. Kesetiaaan pengguna kepada jenama akan menguntungkan pemilik jenama. Namun pada saya ia tidak memberi ‘untung’ pada pengguna bilamana pengguna ‘menyandarkan’ keperibadian dirinya pada jenama itu. Bila menggunakan jenama itu, dia rasa harga dirinya tinggi, bila tidak guna jenama itu, dia rasa seperti bukan sesiapa.

    1. Adakah pendapat tuan ini sama seperti contoh individu yang memakai barangan jenama A, tidak seharusnya berbangga kerana beliau memakai jenama A? Mohon pencerahan lanjut.

      Saya suka maklumat yang tuan cuba ketengahkan ini. 🙂

      1. Kerana ada orang yang rasa martabatnya tinggi bila memakai barangan berjenama dan dia rasa hina bila memakai barangan tidak berjenama. Sewajibnya dia berasakan yang dia adalah insan hebat walaupun pakaiannya tidak berjenama.

  7. Jenama perlu seiiringan dengan kualiti. Orang tak makan kat Secret Recipe kerana jenama, tetapi kerana kualiti keknya. Orang tak pakai kasut Nike kerana glamer, tetapi kerana kualiti dan ketahanannya.

    Restoran KLG (ala-ala KFC tue) yg dh lingkup tue boleh dijadikan contoh.

    Jadi sebelum bina jenama, perlu tingkatkan kualiti dan perlu ada promosi berterusan.

    Perkongsian yang menarik. Terima kasih saudara Aqif

  8. Sekadar pandangan peribadi:

    Antara Pengeluar/pembuat/penjual sesuatu barangan(yang sedang ‘membina jenama’) vs pembeli yang berasaskan citarasa/kualiti/kemampuan.

    Pengeluar – Semestinya cuba membezakan jenama yang ada di pasaran dengan keluarannya. Jenama – Ianya seakan-akan perlu (dan ‘harus’?) meletakkan jenama. Samada ianya di dalam bentuk perkhidmatan ataupun barangan(walaupun hanya memproses kacang putih). Untuk menambahkan pelanggan setia, kualiti dan jenama adalah sesuatu yang mungkin payah dipisahkan.

    Pembeli – akan cuba membeli (serta akan bertukar ke jenama lain) dan mengguna. Mereka akan menjadi pengguna setia berdasarkan citarasa/kualiti/kemampuan di dalam jangkamasa yang panjang, sehinggalah berubah ‘selera’ atau jenama disebabkan faktor-faktor tertentu.

Pendapat anda?