4 Sebab Jangan Bermatlamatkan Duit Untuk Berniaga

January 21, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Ramai orang bercita-cita untuk menjadi usahawan kerana impian untuk buat duit. Tidak ada salahnya nak buat duit. Dan sememangnya jalan perniagaan, sekiranya diusahakan dengan betul – adalah antara jalan yang paling bagus untuk membuat duit.

Namun, jangan membuat kesilapan dengan meletakkan bulat-bulat niat untuk berniaga semata-mata kerana duit. Berikut adalah antara sebab-sebab kenapa duit adalah matlamat yang serong untuk memulakan perniagaan:

Duit Hilang, Semangat Hilang

Memang lumrah perniagaan – ada masa pasang, ada masa surut. Ada masa untung melimpah, ada masa rugi bersepah. Sekiranya usahawan yang hanya memandang duit semata-mata, apabila masa duit hilang, semangat usahawan mula melayang. Disneyland adalah antara contoh kerja-kerja bisnes dilakukan atas dasar cinta dan passion.

“Follow your passion, not your paycheck. The money will come eventually.” – Anonymous

Quote di atas mengatakan ikuti passion anda, dan duit akan datang kemudian. Supaya apabila kita bekerja kerana kita suka, kita tidak akan rasa seperti kita melakukan kerja.

Quote Disneyland - jangan berniaga kerana duit

 

Ketahuilah, dengan strategi yang mantap, usaha yang berterusan, dan doa yang tidak putus – duit yang hilang pasti akan datang semula dengan kudrat Allah jua. Letaklah impian lebih tinggi daripada duit. Lihatlah bahawa perniagaan dan juga hidup anda akan sentiasa diberi keberkatan rezeki yang berpanjangan.

Duit Diukur, Jadi Tidak Jujur

Kurangkan bahan, letak harga yang sama. Tukar bahan mentah daripada yang berkualiti tingggi, kepada kualiti yang diragui kerana tak mahu rugi. Apabila ditimbang, dikurangi jumlahnya. Nah, apabila mata mengira duit semata-mata, pasti mudah terpengaruh untuk bersikap tidak jujur.

Al-Quran juga menerangkan dengan jelas perihal ini antaranya dalam Surah Al-Muthaffifin: 1-3,

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Dan Al-Isra’: 35,

Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).

Hendaklah kita berwaspada akan hal ini kerana ia bukan perkara enteng. Kita tidak mahu menjadi usahawan yang dimurkai Allah, kita mahu jadi usahawan yang disayangi Allah.

Fikir Duit, Bisnes Sempit

Apabila mata memandang duit semata-mata, kita sebenarnya menjadi hamba. Bukan kita menjadi tuan bisnes, tapi bisnes menjadi tuan kita. Siang malam bergolok gadai berhempas pulas terpaksa ‘melayan’ bisnes kita.

Otak sempit, bisnes sempit

 

Matlamat dan arah tuju bisnes pula menjadi sempit kerana asyik berfikir tentang duit. Ah, susah nak ditelan ayat ini kerana bukankah setiap buku teks, setiap ceramah dan seminar bisnes kita disua dengan ‘bottom line, bottom line, bottom line?’.

Bagaimana pula andai berfikir tentang duit, bisnes kita menjadi sempit?

Ini adalah antara salah satu misteri perniagaan yang tidak berapa misteri, sekiranya kita berpegang teguh kepada ajaran Quran dan Sunnah. Apabila matlamat pernigaan diletak lebih tingggi daripada nilaian wang ringgit, bisnes kita sebenarnya mampu menjangkau lebih daripada apa yang kita fikirkan.

Matlamat yang diletak oleh otak diukur dengan kertas ringgit, tidak akan sama dengan matlamat yang dipandu dengan niat kerana Allah dan diurus dengan Sunnah. Luaskan potensi bisnes anda, dengan usaha hanya kerana yang Maha Esa!

Kira Duit, Jadi Lupa

Salah satu ‘trap’ sekiranya bisnes kita hanya kerana duit, ialah apabila duit asyik masuk dan masuk dan masuk – kita jadi lupa, lupa dan lupa. Kita jadi lupa bahawa yang masuk pasti akan keluar, yang ada pasti akan hilang.

Tetapi kerana mata dan hati kita terlalu obses dengan duit, kita jadi lupa akan lumrah alam yang satu ini. Kita tidak bersiap sedia untuk menghadapi masa sukar, iaitu masa apabila duit keluar.

 

Sekiranya kita memandang lebih luas daripada duit, kita akan sedar bahawa setiap urusan perniagaan, daripada proses membeli stok kepada penghantaran kepada pelanggan – semuanya akan dikumpul menjadi ‘goodwill’. Dan ‘goodwill’ inilah satu-satunya perkara yang menjadi pelampung apabila bisnes kita dilanda badai.

Perjuangan bisnes

Sebagai usahawan Muslim, duit bukan matlamat – tetapi boleh menjadi salah satu kayu ukur akan kerberkesanan perniagaan kita. Jadikan duit sebagai medium refleksi diri dan strategi bisnes. Sekiranya kita nampak aliran duit mengalir banyak, itu mungkin tanda strategi bisnes kita berjaya – maka teruskan dan tingkatkan.

Namun, apabila kita tengok aliran duit semakin semput, mungkin ada teknik kita yang harus ditukar atau ditambah-baik. Keuntungan yang dapat diguna ke jalan kebaikan untuk melabur ke saham akhirat, kerugian yang menimpa jadikan pengajaran buat penebal iman. Pasti pada masa pasang, pada masa surut – kita akan sentiasa untung, tidak di dunia mungkin di akhirat.


Tags: , ,

Komen (4)

  1. salam… mcm mna x nk pangdang duit, sb asyik nmpk duit je… apa2 duit.. nk 2 duit. nk ni pun duit.. guano deh..

Pendapat anda?