5 Manfaat Bagi Usahawan Yang Menunaikan Zakat

January 28, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Kewangan / Pengurusan Kewangan

Pelbagai soalan yang timbul bila berkait dengan isu zakat. Secara tidak langsung, ia dapat membersihkan harta kita. Hakikatnya, mengeluarkan wang untuk membayar zakat bukanlah merugikan harta yang ada di dunia, tetapi ia merupakan salah satu pelaburan yang menguntungkan di akhirat kelak.

Secara ringkasnya, rukun Islam terdiri daripada lima perkara asas. Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam.

Umat Islam

Selain daripada zakat, mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan menunaikan haji, adalah sebahagian daripada rukun Islam yang menjadi pegangan umat Nabi Muhammad S.A.W.

Zakat dari segi bahasanya adalah bermaksud subur, bersih, suci dan berkat. Manakala dari segi istilahnya pula zakat adalah salah satu cara untuk membersihkan harta dan diri orang kaya daripada bersifat dengan sifat-sifat mazmumah seperti kedekut mahupun bakhil.

Sayyidina Alqamah berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda,

“Sesungguhnya kesempurnaan Islam kamu adalah apabila kamu tunaikan zakat harta kamu.”

Lima kelebihan yang bakal diperolehi bagi usahawan yang menunaikan zakat adalah sebagaimana berikut:-

1. Zakat Membersihkan Harta Setiap Usahawan

Harta kita berkemungkinan bercampur dengan unsur-unsur yang diragui contohnya riba. Harta yang diperoleh hasil dari perniagaan itu mestilah disucikan terlebih dahulu, dan salah satu cara menyucikannya adalah dengan mengeluarkan zakat kepada yang berhak.

Keberkatan rezeki

Hakikatnya, harta yang suci dan bersih adalah jambatan yang membawa kita ke syurga dan menjauhkan kita dari azab dan belenggu api neraka.

2. Zakat Penghapus Keburukan Harta

Jika zakat tidak ditunaikan, ia akan menjadikan harta yang dikumpul itu sia-sia sahaja. Sudah tentu kita tidak mahu tergolong dalam golongan orang yang rugi di dunia dan diazab pula di akhirat kerana tidak berzakat, bukan?

3. Zakat Menjemput Keberkatan Rezeki

Bagi usahawan yang berzakat, pastinya rezeki yang diperoleh lebih berkat dan bertambah lebat. Rezeki yang berkat tidak akan tersekat malah akan membawa kebaikan kepada pemilik harta dan masyarakat di sekelilingnya.

4. Zakat Mendidik Usahawan Untuk Bersyukur

Dengan mengeluarkan zakat, ia dapat memupuk rasa syukur dalam diri seseorang usahawan itu untuk lebih bersyukur terhadap nikmat-nikmat yang Allah telah berikan.

Tidak dapat kita nafikan bahawasanya nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita sangat banyak dan tidak terhitung. Berzakat adalah salah satu cara untuk kita melahirkan rasa syukur dengan nikmat yang telah diberikan.

5. Zakat Medan Kumpul Pahala

Pembayaran zakat ini membuka peluang kepada mereka yang kaya dan berharta untuk mengumpul pahala dengan mengeluarkan zakat dan seterusnya membantu mereka yang hidupnya melarat.

Hidup melarat

Tanpa zakat, jurang antara rakyat yang kaya dan miskin akan menjadi lebih ketara. Kenapa kita harus sombong dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita? Keluarkanlah zakat, mudah-mudahan hidup kita lebih selamat dunia dan akhirat.

Berzakatlah wahai semua usahawan yang hebat kerana sesungguhnya zakat itu membawa berkat. Berzakatlah wahai usahawan yang rezekinya lebat kerana zakat itu bakal menambahkan sahammu di akhirat kelak!


Tags: , ,

Pendapat anda?