5 Potensi Sedut Duit Dari Laman Web Keahlian (Membership Site)

September 12, 2012 — Penulis:

Kategori: Online / Perniagaan

Selama saya bertugas sebagai penulis jemputan di laman web Majalah Niaga semenjak tahun lepas, saya telah mengupas pelbagai perkara dan strategi mengenai cara mencapai kejayaan sebagai seorang penjual di portal eBay.

Membership Site

Bermula dari artikel ini dan seterusnya, saya akan mula berkongsi mengenai potensi keuntungan yang boleh anda perolehi sebagai seorang usahawan Internet iaitu dengan memulakan dan menguruskan laman web keahlian.

Perkongsian topik baru ini adalah sesuai dengan hala tuju perniagaan Internet saya yang telah berkembang jauh lebih besar daripada hanya bertumpu di portal eBay sahaja.

Oleh yang demikian, saya berharap yang anda akan terus berminat membaca artikel-artikel saya mengenai laman web keahlian selepas ini dan akan terus menjadi pembaca setia Majalah Niaga.

Sebagai artikel sulung mengenai laman web keahlian, terlebih dahulu biarlah saya berkongsi beberapa perkara yang membezakan laman web keahlian dengan laman web jualan biasa.

 #1 – Kandungan Baru Berkala

Perbezaan paling ketara di antara laman web keahlian dengan laman web jualan biasa adalah dari segi kandungan yang diberikan kepada si pembeli.

Selalunya laman web jualan biasa akan menawarkan satu pakej atau produk yang lengkap untuk anda beli sekaligus (once-off).

Setelah pakej atau produk tersebut anda beli, tidak akan ada sebarang pakej atau produk tambahan yang akan diberikan kepada anda kecuali jika si pemilik produk mengubahsuai (update) isi kandungan produk asal tersebut.

Laman web keahlian pula akan sentiasa mempunyai update pakej atau produk lanjutan untuk anda sebagai seorang ahli. Sebagai contoh, jika anda menyertai laman web keahlian untuk sesuatu majalah online seperti Majalah Niaga, anda mungkin akan dapat edisi terkini majalah online tersebut pada setiap bulan.

Dengan ini, setiap bulan anda akan memasuki laman web keahlian anda untuk muat turun (download) edisi majalah online terkini.

Kandungan berkala yang diberikan adalah bergantung kepada strategi jualan si penjual produk. Ada laman web yang menawarkan kandungan baru pada setiap hari, ada pada setiap minggu, ada pada setiap bulan dan ada juga hanya pada setiap tahun.

Ianya bergantung kepada jenis kandungan yang diberikan di dalam laman web keahlian tersebut.

#2 – Bayaran Yuran Berkala

Satu kelebihan khas yang cuma ada pada laman web keahlian dan tidak ada pada laman web jualan biasa adalah potensi pendapatan berterusan secara berkala (recurring income). Maksudnya di sini, wang atau yuran yang perlu dibayar oleh seseorang ahli adalah secara berkala.

Recurring Income

Jika laman web jualan biasa, jumlah wang yang perlu anda bayar adalah pada sekali itu sahaja (once off) untuk memiliki produk tersebut. Jika anda perlu membayar wang RM50 untuk mendapatkan produk, maka cuma wang RM50 itu sahaja yang perlu anda bayar.

Laman web keahlian pula memerlukan ahli-ahlinya membayar yuran yang telah ditetapkan secara berkala. Sebagai contoh, daripada hanya membayar wang RM50 sekali sahaja, si ahli perlu membayar RM50 pada bulan.

Dengan ini si penjual telah mendapat jaminan untuk terus mendapat pendapatan daripada setiap ahli untuk satu jangkamasa yang lebih lama berbanding pendapatan sekali untuk penjualan produk biasa.

#3 – Yuran Rendah

Walaupun wang yang perlu dibayar oleh si ahli yang menyertai laman web keahlian adalah secara berkala, selalunya harga yang dikenakan oleh si pemilik produk adalah lebih rendah berbanding harga jualan untuk produk biasa.

Jika harga satu produk di laman web jualan biasa adalah RM80, mungkin untuk yuran laman web keahlian cuma dikenakan harga RM40 pada setiap bulan.

Strategi yuran minima ini digunakan untuk menarik minat pengunjung untuk menyertai laman web keahlian.

Kerana si penjual tadi tahu yang dia akan bakal mendapat pendapatan untuk satu jangka masa yang lebih panjang, dan lebih rela untuk mengurangkan harga yuran untuk laman web keahliannya agar dapat menikmati pendapatan berkala tersebut.

#4 – Perisian Keahlian

Selalunya penghasilan laman web yang mempunyai fungsi keahlian memerlukan penggunaan perisian khas. Perisian khas ini dapat menjadikan sesuatu laman web jualan biasa berubah menjadi laman web keahlian yang lengkap.

Membership Site Software

Tujuan utama mengapa anda memerlukan perisian keahlian untuk membantu anda adalah untuk tujuan keselamatan. Walaupun anda sebenarnya boleh menggunakan laman web jualan biasa menjadi seakan-akan laman web keahlian, tetapi fungsinya tidak kemas.

Laman web jualan biasa akan mudah diceroboh kerana fungsi keselamatannya yang ringkas. Perisian keahlian selalunya mempunyai fungsi keselamatan yang ketat, untuk memastikan tidak ada orang luar yang menceroboh masuk untuk mendapatkan kandungan keahlian berbayar tersebut.

Selain itu, selalunya seseorang yang menjadi ahli kepada sesuatu laman web keahlian mahu menikmati hak ekslusifnya sebagai seorang ahli.

Iaitu laman web tersebut perlu mempunyai ruangan login khas, mempunyai paparan khas, ruangan download khas dan sebagainya untuk membezakannya dengan ahli biasa lain. Suasana ini hanya boleh dicapai sekiranya kita menggunakan perisian keahlian yang khas.

Insya-Allah, di dalam artikel yang lain, saya akan kongsikan dengan anda beberapa perisian mudah yang boleh anda gunakan untuk membina laman web keahlian anda.

#5 – Had Keahlian

Akhir sekali, di antara perbezaan yang ketara di antara laman web jualan biasa dengan laman web keahlian adalah dari segi jumlah keahlian atau jumlah pembeli.

Selalunya laman web jualan biasa tidak akan mempunyai had pembeli. Lagi ramai pembeli maka lebih seronok si penjual. Kerana dia akan mendapat keuntungan yang lumayan secara sekaligus.

Buat laman web keahlian pula, ada kalanya si pemilik laman web keahlian menghadkan keahlian. Mereka meletak had tersebut berdasarkan hak ekslusif ahli yang menyertai laman web keahlian tersebut.

Lebih kecil bilangan keahlian maka akan lebih ekslusif keahlian kepada laman web tersebut, dan selalunya akan lebih tinggi kadar yuran keahliannya.

Penetapan had ini juga merupakan satu cara yang baik untuk mengawal jumlah pembaca atau penerima kandungan yang anda berikan pada setiap bulan.

Sebagai contoh, anda menawarkan pakej PLR (Prive Label Rights) pada setiap bulan dan untuk menjaga kualitinya daripada dijual semula oleh semua orang, anda cuma menawarkan keahlian kepada 30 orang sahaja.

Dengan cara ini, kualiti produk tersebut apabila dijual semula oleh ahli-ahli anda akan lebih terkawal kerana tidak semua orang yang memiliki hak untuk menjualnya semula.

Sedut Duit Dengan Laman Keahlian Hari Ini

Itulah sedikit perkongsian sulung saya mengenai potensi laman web keahlian di dalam strategi perniagaan internet anda. Saya berharap yang anda telah mendapat manfaat daripada perkongsian saya ini.

Sekiranya anda merasakan perkongsian saya ini positif buat anda dan anda inginkan saya meneruskan topik ini, sila berikan komen positif anda di bahagian bawah artikel ini.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang akan datang, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya.

Kredit: Wishlist, Kajabi.


Tags: , ,

Komen (6)

  1. Apa pendapat tuan mengenai potensi web keahlian di Malaysia? Saya berpendapat salah satu isu yang perlu dititik berat ialah sistem pembayaran secara automatik daripada bank tempatan bagi memastikan kelangsungan program seperti ini.

  2. Mat Saud Abdullah
    October 30, 2012

    Terima kasih banyak kerana penerangan yang diberikan memberi satu semangat kpd saya untuk berjinek-berjinak dengan perniagaan melalui internet.Teruskan menulis agar saya dapat faham apa yang ada dalam minda penulis.Terima kasih.

  3. Terima kasih banyak_banyak dan berharap tuan meneruskan lagi menulis dan saya akan terus membacanya.Idea_idea tuan memang saya nantikan dan tulisan tuan merupakan satu perkara baru bagi saya yang sebelum ini tidak pernah membaca artikel mengenai laman web atau internet. Teruskan menulis agar saya dapat mempelajarinya dan mempraktikan idea_idea tersebut.

Pendapat anda?