5 Senarai Semak (Checklist) Sebelum Menceburi Pelaburan Emas

September 08, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan

Emas ialah satu logam anugerah Tuhan dalam sejarah peradaban manusia. Emas tidak mampu ditiru oleh manusia, ini menjadikannya satu logam yang sangat unik, dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri berbanding logam-logam lain yang wujud di atas muka bumi ini.

Emas dan perak adalah logam yang tak terpengaruh oleh udara dan air, malah logam ini tidak berubah meskipun telah dipakai dalam waktu yang lama. Sesiapa sahaja ingin memiliki emas kerana sedar tentang nilai dan pulangan keuntungan yang boleh diperolehi dengan menyimpannya.

Maka dengan itu, pelaburan emas menjadi suatu tarikan dan tindakan yang dianggap bermanfaat kerana nilai emas yang dijangka sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang.

Terdapat beberapa isu berkaitan operasi syarikat atau individu kepada pelaburan emas itu yang perlu anda selidiki sebelum menceburi sebarang pelaburan berkaitan emas. Soalan-soalan ini boleh menjadi senarai semak terutama apabila melibatkan syarikat atau individu yang melakukan pelaburan emas tersebut.

1. Dari mana syarikat/individu penjual mendapatkan bekalan emas?

Soalan ini penting bagi mengenal pasti sumber pembekal emas yang syarikat atau individu itu perolehi. Perolehan bekalan semestinya melibatkan kos dan risiko sepanjang penghantaran bekalan.

individu-penyemak-emas

 

Ada kemungkinan syarikat, atau individu yang lebih selesa hanya membiarkan emas yang dibeli tersebut berada di gudang, atau disimpan sahaja oleh syarikat pembekal untuk mengelakkan kos dan risiko penghantaran.

2. Siapakah pihak berkuasa atau badan rasmi yang mengesahkan ketulenan emas yang ditawarkan?

Jika ketulenan emas itu tidak mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa atau badan rasmi, dikhuatiri nilai emas yang dijual beli itu boleh dipertikaikan kelak, dan mengundang kerugian kepada pembeli atau pelabur. Jika syarikat atau individu penjual tidak mempunyai pengesahan, itulah gunanya soalan 1, anda boleh periksa pula pengesahan daripada syarikat pembekal emas melalui laman web atau dengan menghubungi syarikat pembekal bagi mendapatkan kepastian.

3. Adakah terdapat apa-apa pulangan yang dijanjikan kepada pelabur, dan bagaimana jaminan sebegitu boleh dijanjikan penjual?

Umumnya pembelian emas bergantung pada turun naik harga pasaran emas, nilai emas yang berpotensi naik saban tahun berdasarkan statistik menjadikan emas sebagai logam paling berharga dan aset unik yang sesuai untuk dijadikan bahan pelaburan.

carta-emas

Namun pembeli emas tetap terdedah kepada risiko turun naik harga emas yang boleh jadi tidak menentu akibat kaitannya dengan indikator ekonomi yang lain.

4. Bagaimana syarikat menjana keuntungan daripada operasi?

Selaku pelabur, anda tidak seharusnya hanya memahami apa yang akan atau telah lakukan, dalam erti kata membeli emas daripada penjual. Anda juga perlu mengetahui apa yang syarikat atau individu penjual itu lakukan, dan bagaimana dengan apa yang ditawarkan ini mampu memberi mereka keuntungan demi kelansungan perniagaan tersebut secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, syarikat yang menjual emas kepada anda, kemudian mensyaratkan anda meminjamkan mereka semula emas yang dijual kepada mereka (dan mereka menjanjikan pulangan tetap secara bulanan yang lumayan). Wujud kemungkinan emas yang dipinjam semula itu, dijual pula kepada individu lain dengan kaedah yang sama.

Hanya dengan emas yang sama, syarikat atau individu itu boleh menjual emas yang sama kepada ramai orang lain selepas anda. Maka sekiranya apa-apa berlaku, anda selaku antara pembeli terawal yang akan terkena impak berantai sebelum pembeli-pembeli lain yang menyusul.

5. Adakah operasi yang ditawarkan itu mematuhi prinsip Syariah?

Soalan-soalan dalam senarai semak sebelum ini lebih kepada melihat pendedahan risiko berbanding hukum halal haram melibatkan sama ada urusan jual beli tersebut mematuhi Syariah. Berikut digaris beberapa panduan umum tentang prinsip Syariah berkenaan jual beli mas:

i. Kaedah umum yang disepakati oleh para ahli fekah dalam bab jual beli emas ialah emas mesti dibeli secara tunai, dan pertukaran atau penyerahan dibuat secara lani (on spot). al-Bara’ bin ‘Azib menerangkan bahawa Rasulullah SAW melarang jual-beli emas dengan perak secara berhutang. (Sahih al-Bukhari, 2033/2180)

Dalam hadis lain, Abu Bakrah menerangkan bahawa baginda memerintahkan kami untuk membeli perak dengan emas sekehendak kami, dan membeli emas dengan perak sekehendak kami. Seorang lelaki bertanya kepadanya: “Apakah tangan dengan tangan (serah terima secara terus)?” Dia menjawab: “Seperti itulah saya mendengarnya (daripada Rasulullah).” (Sahih Muslim, 2977/1590). Hadis-hadis ini antara sandaran mengapa hokum Islam melarang jual beli emas secara hutang atau ansuran.

ii. Emas yang dibeli itu mesti wujud dan dapat dimiliki walaupun secara tidak sempurna, contoh. qabadh hukmi (pemilikan konstruktif). Maksud qabadh hukmi dalam erti kata lain emas itu sudah dibeli tetapi tak dimiliki secara fizikal, namun tiada isu jika dapat bukti pembelian/pemilikan emas dapat dibuktikan (backed by) dengan kertas resit, sijil, buku akaun dan sebagainya – pemilikan tak sempurna, untuk transaksi seperti itu contohnya emas yang dibeli (dimiliki) mungkin terletak di negara lain.

sijil-emas

Dengan syarat emas itu masih boleh dituntut jika pembeli/pemilik berkehendak memilikinya secara fizikal, walaupun terpaksa menanggung kos import (sesetengah bank/syarikat mengenakan kos pengangkutan, insurans/Takaful dan kos lain ke atas pemilik untuk mengimport emas tersebut).

iii. Penggabungan dua kontrak, pembelian dan pinjaman dalam satu kontrak sebegini tidak sah di sisi Syariah kerana membawa kepada riba. Sebagai contoh, jika pembelian emas yang sudahpun dimiliki, tetapi disyaratkan mesti disimpan oleh penjual asal. Syarat sebegini ialah syarat yang tidak sah kerana pembelian (emas) tidak boleh digabungkan dengan pinjaman.

iv. Sebarang perjanjian di awal kontrak bahawa pembeli emas perlu memberi pinjam emas yang dibeli dan akan memperoleh manfaat dalam bentuk pulangan ialah satu bentuk aturan transaksi dengan unsur riba yang dilarang. Hal ini adalah kerana simpanan emas itu boleh dianggap sebagai kontrak pinjaman (qard), atau simpanan (wadiah), maka pemberian hadiah secara tetap adalah satu manfaat kepada peminjam dianggap satu bentuk riba.

Seperti mana kaedah yang telah disetujui oleh para ulama fekah bermaksud, “Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah riba” (Ibnu Hajar al-`Asqalani, Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Matba`ah al-Salafiyyah, 1928, h. 176.)

Maklumat lanjut tentang prinsip-prinsip Syariah berkenaan urus niaga emas boleh didapati di laman sesawang Fatwa Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM): http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Kredit foto: Flickr, Unity Stories


Tags: , ,

Pendapat anda?