5 Tabiat Blogger Kaya dan Berjaya

October 26, 2011 — Penulis:

Kategori: Online

Sehingga kini, tim Majalah Niaga sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan laman web, laporan percuma, dan pengisian modul seminar blogging yang akan diadakan tidak lama lagi.

laman jualan seminar blogging

Dalam masa sama, berdasarkan pengalaman kami memulakan aktiviti blogging secara serius selama 6 bulan pertama, kami mendapati terdapat ciri-ciri atau tabiat dalam diri seorang blogger, bagi meningkatkan peluang mereka untuk menjadikan blogging itu sebagai satu kerjaya.

Tabiat ini disusun secara rawak, dan kita bebas untuk mengikuti mana-mana yang kita rasa selesa. Namun begitu, proses kejayaan masih bergantung pada visi dan kepercayaan dalam diri seorang manusia.

Kerana kajian Napoleon Hill mendapati, individu yang cenderung untuk berjaya adalah mereka yang memiliki daya kepercayaan diri yang tinggi. Tabiat ini adalah tenaga tambahan bagi meningkatkan peluang untuk kita untuk menjadi blogger sepenuh masa.

Berikut adalah 5 tabiat seorang blogger yang kaya dan berjaya:

Tabiat #1 – Mempunyai Bakat Dalam Penulisan

Mempunyai minat terhadap blogging semata-mata tidak bermakna kita mudah mencapai matlamat yang diinginkan. Situasi ini juga sama seperti seorang penyanyi yang minat menyanyi, tetapi tidak mempunyai suara yang merdu.

mempunyai minat terhadap blogging

Apabila mereka cuba menyanyi dan gagal berkali-kali, maka motivasi mereka semakin merudum. Lalu membuat keputusan untuk tidak meneruskan perjuangan. Ia juga berlaku dalam kes blogging. Ramai yang minat untuk melakukan aktiviti blogging, tetapi hanya segelintir sahaja blogger yang mampu bertahan.

Ini kerana mereka bukan sekadar mempunyai minat. Tetapi mereka turut mempunyai bakat dalam blogging, khususnya bakat yang berkaitan dengan penulisan. Bakat pula hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu. Tidak semua manusia mempunyai bakat dalam blogging.

Namun begitu, sekiranya bakat tidak diasah secara konsisten, maka ia tetap sia-sia. Apabila bakat dan minat bergabung, maka ia akan memudahkan seorang itu untuk menjadikan blogger sebagai kerjaya, yakni memperoleh sumber pendapatan menerusi medium ini.

Tabiat #2 – Minat Untuk Belajar

Manusia hanya cenderung mempelajari sesuatu apabila mereka mempunyai minat. Meskipun gabungan bakat adalah faktor kejayaan seorang blogger, minat tetap dapat membantu seseorang itu dalam mempelajari sesuatu secara mendalam.

Sebagai contoh, Ali meminati topik pengurusan kewangan berasaskan hukum Islam. Walaupun beliau tidak pernah belajar secara formal mengenai topik ini di sekolah atau universiti, rasa minat yang mendalam terhadap topik ini membantu beliau untuk melakukan penyelidikan dan mencatat ilmunya dalam blog.

Rasa minat ini akan membuatkan Ali menjadi pakar bidang. Kerana beliau cenderung untuk berkongsi topik yang fokus bidangnya secara konsisten. Justeru itu, blogger yang mempunyai minat untuk mempelajari sesuatu isu atau topik, adalah blogger yang akan menjadi pakar bidang.

Apabila kita menjadi pakar bidang, maka peluang untuk kita buat duit dari blog lebih banyak. Contohnya, kita boleh mengadakan seminar, bengkel atau personal coaching. Atau menjual buku dan ebook.

Tabiat #3 – Blogger Kaya Itu Berdisiplin

Kami pernah berjumpa dengan seorang blogger tempatan yang sudah menjadikan aktiviti blogging sebagai kerjaya selama 3 tahun berturut-turut. Menurut beliau, kerjaya sebagai blogging jauh lebih sukar daripada apa yang difikirkan oleh orang ramai.

blogger kaya yang berdisiplin

Menurut beliau, disiplin memainkan peranan penting dalam proses kejayaan sesebuah blog. Kerana blogging adalah aktiviti yang melibatkan konsistensi. Ia merangkumi penerbitan entri, penambahan jumlah pelawat setiap bulan dan sebagainya.

Tambahnya lagi, apabila blogging sudah bertukar menjadi satu kerjaya, kita perlu ambil kira beberapa faktor lain. Antaranya adalah cara untuk menjana wang dari blog setiap bulan secara konsisten.

Ini bermakna, mempunyai pelan perlaksanaan blogging dan disiplin untuk melakukannya setiap hari adalah tabiat seorang blogger kaya dan berjaya.

Tabiat #4 – Rajin Membina Komuniti

Percaya atau tidak, blogger yang boleh hidup selesa dengan blognya adalah blogger yang mempunyai jumlah komuniti yang ramai. Komuniti ini bermaksud jumlah pembaca blog yang setia dan percaya terhadap kita.

Ini kerana, setiap produk yang kita jual di blog seperti ruang pengiklanan, ebook dan sebagainya akan dibeli oleh individu yang pernah melawat blog kita. Justeru itu, blogger-blogger baru wajar memfokuskan diri untuk membina komuniti yang berpengaruh pada peringkat awal.

Pembinaan komuniti boleh dilakukan secara perlahan-lahan. Mulakan dengan menulis dalam ruangan komen di blog orang lain. Kemudian ambil masa untuk berhubung dengan pemilik blog lain secara peribadi, menerusi emel, Facebook dan sebagainya.

Atau kita boleh hadirkan diri ke perjumpaan-perjumpaan tidak rasmi di antara blogger.

Tabiat #5 – Meniru Blogger yang Sudah Berjaya

Pakar dalam psikologi pemasaran dan jualan, Frank Kern menyatakan, “Setiap kejayaan yang saya berjaya kecapi, adalah hasil daripada meniru daripada individu lain yang sudah berjaya.” Kenyataan ini sering disebut dalam video-video perkongsian beliau di blog.

Untuk berjaya dalam dunia blogging, dan menjadikan ia sebagai mesin untuk kita menjana pendapatan di internet secara sepenuh masa, meniru perbuatan individu yang sudah berjaya adalah jalan terbaik.

frank kern, pakar produk informasi dunia

Kita boleh bermula dengan membaca blog-blog blogger sepenuh masa yang lain. Lihat bagaimana blog mereka berfungsi, apa aktiviti harian mereka, dan bagaimana mereka merangka pelan perancangan blogging mereka untuk jangka masa panjang.

Bagi memudahkan lagi peniruan, setiap kali mereka menganjurkan seminar, bengkel atau perjumpaan, hadirkan diri tanpa sebarang alasan. Kemudian berkomunikasi dengan mereka supaya mereka boleh berkongsi lebih banyak tip-tip kejayaan seorang blogger dengan kita.

Tiru Cara Kami Menjadi Blogger Sepenuh Masa

Seperti yang kami maklumkan, tim Majalah Niaga sedang berusaha keras untuk mengadakan seminar blogging. Seminar ini akan membantu kita untuk mengetahui langkah demi langkah, untuk menjadikan blog sebagai kerjaya sepenuh masa.

Ia bermula dengan mengetahui asas untuk menjana pendapatan kecil, yang akan membawa kepada pulangan yang lebih besar. Untuk mengetahui maklumat lanjut, nantikan pengumumannya daripada kami kelak.

Dalam masa sama, kami mohon jasa baik tuan dan cikpuan untuk menulis topik yang ingin diketahui dalam seminar ini. Agar mudah untuk kami menyampaikan ilmu berdasarkan keperluan kalian.

Mohon tulis dalam ruangan komen yang disediakan di bawah. Terima kasih.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (tomschtristantristaneddale)


Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Komen (11)

  1. Topik yang saya ingin tahu dalam seminar ini adalah cara-cara brainstorm untuk mendapatkan idea menulis entri. Idea dalam entri memainkan peranan penting dalam menentukan mutu sesuatu blog.

    Terima kasih.

    1. Terima kasih atas cadangan. Ya, kami telah menghasilkan modul khusus untuk menerangkan secara terperinci mengenai cara menghasilkan entri tanpa kekeringan idea. InsyaAllah, maklumat lanjut boleh didapati pada laman khas seminar nanti 😉

  2. Tip yang berguna dan berinovasi. Mencanai kejayaan memerlukan sokongan dan percaturan yang berkaedah. Ketepatan dan tabiat pembelajaran berterusan menjadi ‘kayu ukur’ kecemerlangan individu atau kumpulan yang tersebut. Insya-Allah, kebijaksanaan bertindak dan berinteraksi secara ‘jujur’; mampu mengadaptasi satu lakar wacana kanvas yang tiada batasnya. Pelaburan kini yang telus pada jati dirinya akan memertabatkan personaliti di masa hadapanya.

  3. Thank you for giving this awesome tips.
    What I get from this entry is we need to have mentor that already success in blogging and must have the passion in blogging. For me, that’s true. With blogging, I can widen my network and making new friends. That’s very cool!.

    For me, the topic that should be discuss in the seminar is how to sustain and generate the good ideas in writing and the skill to persuade readers to always came to our blog. That is the toughest thing in blogging.

  4. Untuk no 1 tu, boleh jadi betul dan juga tak betul..

    Kadang2 bakat ni tak nampak dari awal..
    Kepandaian Albert Einstein hanya diketahui ketika peringkat remaja,
    walhal semasa zaman kanak2 merupakan pelajar yang paling bodoh.

    Saya pun waktu nak belajar buat website dulu berasap juga kepala,
    walhal HTML basic + Dreamweaver je pun…
    Tapi bila dah sampai satu tahap, semua jadi senang. PHP, CSS, semua
    jadi mudah.

    Jadi sesiapa yang rasa tak ada bakat penulisan tu, tak perlu give up.
    Mungkin akan sampai satu tahap, bakat terpendam anda akan tercungkil.

    1. Terima kasih atas komen. Ya, saya bersetuju juga. Untuk mereka yang kurang gemar menulis entri/artikel . Boleh gunakan 2 cara iaitu :

      1. Video
      2. Podcasting.

      Saya pernah terangkan perkara ini pada artikel sebelum ini dalam kategori ‘topik blogging’.

  5. Tolong cover tips bagaimana nak menjadikan artikel / topik yang berat menarik untuk dibaca terutamanya kepada kumpulan sasaran. Ia seolah-olah menulis artikel ‘bahaya merokok’ dan mempersembahkan kepada perokok tegar. Mereka tidak suka, tetapi kita ada mesej penting yang mereka perlu baca.

    1. insyaAllah, berkenaan dengan penulisan artikel. Saya serahkan kepada tuan Aqif kerana beliau mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Untuk seminar akan datang, kami telah menetapkan satu modul iaitu modul 4 mengenai teknik menghasilkan artikel blog yang lebih berkesan.

      Terima kasih kerana berikan cadangan yang bernas. 🙂

  6. Saya kurang faham, adakah setiap blog ada trade mark tersendiri. Maksud saya kalau blog tentang internet marketing adakah menceritakan hal2 IM je di blog tu, atau sebagainya..

Pendapat anda?