7 Tip Kekalkan Momentum Bisnes Ketika Cuti Panjang

February 07, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Konvensional / Perniagaan

Masih belum terlewat bagi Tim Majalah Niaga untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada pembaca yang meraikannya Jumaat lepas. Minggu lalu rakyat Malaysia bercuti panjang, bermula hari Jumaat sempena Tahun Baru Cina sehinggalah ke hari Isnin, bagi meraikan hari Wilayah Persekutuan.

Sebagaimana individu lain, para peniaga dan usahawan juga perlukan ‘time-break’ dan antara waktu yang paling dinanti-nantikan ialah musim perayaan. Cuti perayaan seperti hari Raya Eidulfitri, Eiduladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain merupakan cuti ‘wajib’ yang tidak patut dilepaskan.

Rakyat Malaysia beruntung kerana terdapat banyak cuti umum yang boleh dikmati sepanjang tahun. Adakalanya cuti-cuti tersebut berderetan dan bersambung-sambung.

Deretan Cuti Umum

Ketika inilah anak-anak yang bersekolah dan ahli keluarga yang lain juga bercuti. Ia peluang yang jarang-jarang diperoleh terutama buat para peniaga yang sering terikat dengan komitmen perusahaan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian usahawan yang terlalu memikirkan perjalanan perniagaan sewaktu bercuti panjang. Situasi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi sendiri dan ahli keluarga yang lain.

Satu kerugian apabila cuti perayaan tidak dapat dinikmati dengan sebaik mungkin dan dipenuhi dengan aktiviti dan masa berkualiti bersam-sama ahli keluarga.

Tim Majalah Niaga juga amat menitikberatkan soal ‘menikmati’ cuti yang ditetapkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Untuk itu, Tim Majalah Niaga mahu berkongsi tip bagi menyah rasa risau memikirkan perkembangan syarikat sepanjang bercuti.

Auto Responder

1) Selaras dan Aktifkan Khidmat ‘Auto-Responder’

Sekiranya anda menjalankan perniagaan online atau memiliki laman media sosial bagi tujuan perniagaan, anda boleh jadualkan semua mesej dan kemas kini status anda lebih awal dengan menggunakan perisian automatik seperti Hootsuite.

Kelebihan Hootsuite ialah ia membolehkan anda menjadualkan masa dan tarikh secara automatik untuk semua akaun sosial anda termasuk Facebook , Google +, Twitter dan juga LinkedIn.

E-Kad Perniagaan

2) Kad Ucapan

Kongsikan kegembiraan menyambut perayaan atau cuti umum menerusi kad ucapan. Sekali lagi, manfaatkan khidmat e-kad yang banyak terdapat di pasaran maya kini.

Jika mahu lebih nostalgik atau ada nilai sentimental, poskan saja kepada pelanggan-pelanggan, supaya pelanggan rasa dihargai, disamping sedikit sebanyak membuatkan mereka ingat akan anda walaupun semasa cuti panjang.

Jangan lupa untuk memperkenalkan diri/syarikat anda di sebahagian ruangan kecil di kad tersebut agar pelanggan tahu siapa anda dan apakah urusan yang wujud di antara kalian sebelum ini.

Bina Rangkaian Kenalan Baru

3) Bina Rangkaian Kenalan Baru

Di Malaysia, perayaan atau musim cuti sinonim dengan aktiviti kunjung mengunjungi sesama saudara mahupun kenalan dan jiran tetangga. Namun, kita tidak tahu siapa yang bakal kita temui di tempat-tempat atau rumah-rumah yang kita kunjungi.

Sekiranya anda tidak dapat menyediakan khidmat sebagaimana yang disebutkan di nombor 1 dan 2 di atas, maka inilah peluang terbaik anda membina dan meluaskan jaringan kenalan perniagaan anda.

Berkenalan dan wujudkan perbualan mesra dan sopan dengan individu yang baru ditemui. Minta nombor yang boleh anda hubungi untuk tindakan susulan. Sekiranya mereka enggan atau keberatan, tidak mengapa. Tawarkan pula kad perniagaan anda kepada mereka.

Kad perniagaan atau ‘business card’ sangat penting untuk dibawa kemana saja. Berikan kad anda serta kongsikan pengalaman anda berniaga dengan kenalan baru yang ditemui.

Namun, jangan berlebihan pula. Sekadar memberi gambaran ringkas tentang perniagaan anda dan pelawa mereka untuk mengunjungi laman sesawang atau laman rasmi perniagaan anda.

Notifikasi Auto

4) Maklumkan Waktu Cuti Secara Konsisten

Tujuannya supaya pelanggan maklum akan tempoh masa perniagaan anda tidak beroperasi sepanjang waktu bercuti. Sediakan mesej suara atau ‘auto responder’ pada e-mel notifikasi waktu perniagaan bercuti atau beroperasi semula.

Adakalanya pelanggan mungkin tidak perasan bahawa yang menjawap e-mel pertanyaan mereka adalah ‘auto responder’. Jadi, sediakan mel suara automatik memaklumkan bahawa anda sedang bercuti dan hanya akan beroperasi semula pada tarikh yang telah ditetapkan.

Pengurusan E-mel

 5) Atur Fragmen E-mail Baharu

Sebelum mula bercuti, susun, selaras serta ‘bersihkan’ peti masuk mel perniagaan anda. Asingkan e-mel lama dengan yang baharu. Cipta satu peti masuk atau kolum khas untuk e-mel yang masuk sepanjang tempoh bercuti.

Anda juga boleh pertimbangkan untuk mengaktifkan ‘auto filing’ atau ‘auto filter’ anda. Dengan cara ini, ia akan memudahkan tugas-tugas pemfailan serta maklumbalas anda sekembalinya anda daripada bercuti.

Manfaatkan servis pengkelasan e-mel (e-mail organizer) yang di tawarkan oleh aplikasi-aplikasi seperti SaneBoxActiveInbox, Mailstrom atau Boomerang.

Azam Baru Selepas Bercuti

6) Resolusi Selepas Bercuti

Sebahagian usahawan dan ahli perniagaan bercuti panjang sebagai salah satu kaedah ‘refreshment’ atau memberi ruang peribadi kepada diri sendiri untuk merehatkan minda disamping memikirkan strategi baru untuk perniagaan yang dijalankan.

Sekiranya sepanjang tahun tersebut anda telah mencapai matlamat perniagaan anda, tanya diri anda apa yang anda boleh lakukan untuk mengekalkan momentum tersebut.

Ketika bercutilah kebiasaannya para usahawan akan menemui banyak cara dan strategi perniagaan yang baharu. Ilham untuk berniaga juga biasanya akan datang menderu ketika anda bersenang-senang sewaktu berehat.

Jadi, sepanjang tempoh bercuti, tetapkan resolusi perniagaan dan semangat baru yang akan di jana selepas tempoh percutian tamat. Ini juga memberi manfaat kepada perniagaan anda dan memastikan momentum perniagaan tidak merudum sepanjang tempoh tersebut.

Bercuti

 7) Nikmati Percutian!

Akhir sekali, nikmatilah peluang bercuti sebaik-baiknya. Sebagaimana anda sentiasa bersemangat menjalankan aktiviti perniagaan, suntiklah aura tersebut sewaktu anda bercuti.

Jadilah individu yang sentiasa gembira melakukan apa saja. Bukan hanya terhad kepada perkara tertentu sahaja.

Selamat menikmati hujung minggu, pembaca setia Majalah Niaga!

Kredit foto: rendaextraCuti-UmumautorespondersLime-Search-Sparkler-Treenotice-vacationlabspicsSane-BoxFotolia_40589780father-and-son


Tags: , , , , ,

Pendapat anda?