Apabila Tidak Sedia Berubah

October 30, 2013 — Penulis:

Kategori: Motivasi / Pembangunan Diri

Salah satu sebab mengapa manusia tidak mahu berubah adalah ego. Mereka tidak mengakui cara mereka melakukan sesuatu perkara selama ini adalah silap. Saya berpengalaman mengendalikan kem-kem remaja bermasalah, dari sekecil-kecil masalah hingga ke masalah yang kronik.

Sebutkan apa jua masalah remaja sama ada suka ponteng sekolah, merokok, video lucah, kongsi gelap, zina, seks bebas, dadah dan sebagainya. Apabila ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kem tersebut, kebanyakan mereka akan mengatakan anak-anak mereka bermasalah.

Setelah beberapa lama berada di kem dan peserta-peserta mula rapat, saya mula bertanyakan tentang masalah yang dihadapi dengan ibu bapa mereka. Saya mendapati bahawa ada benarnya remaja-remaja tersebut menyumbang kepada permasalahan. Dalam masa yang sama sikap ibu bapa mereka juga menyumbang kepada permasalahan tersebut.

Kebanyakan ibu bapa masih lagi mendidik anak-anak dengan kaedah yang ibu bapa mereka gunakan semasa kecil. Sedangkan perubahan zaman menuntut mereka  mengubah cara mendidik anak-anak dalam dunia maklumat tanpa semapadan hari ini. Rasulullah pun berpesan kepada ibu bapa supaya mendidik anak bersesuaian dengan zaman.

Kepentingan Transformasi Dalam Dunia Perniagaan

Kalau kita masih ingat, pada awal penciptaan telefon bimbit, saiznya agak besar. Tidak seperti zaman sekarang di mana telefon bimbit boleh disimpan di dalam poket, dulu ia perlulah dijinjing. Apakah jenama telefon bimbit yang anda gunakan? Antara jenama yang terkenal hari ini adalah Samsung, Blackberry, Nokia dan sebagainya.

Ramai yang menyangka Nokia adalah pencipta telefon bimbit kerana populariti model awal mereka iaitu 3210 dan 3310. Apa yang ramai tidak tahu, Motorola adalah pencipta telefon bimbit dengan penghasilan pertama pada hujung tahun 1980. Pada waktu tersebut, telefon bimbit hanya mampu dibeli dan digunakan oleh usahawan dan ahli korporat dan Motorola mendominasi 80% jualan seluruh dunia.

Akibat Takutkan Perubahan

Malangnya pada tahun 2011, mereka hanya menguasai 9.5% jualan telefon bimbit di seluruh dunia. Pada awal penghasilan telefon bimbit, ia menggunakan sistem digital, tetapi pada awal tahun 90an ia telah berubah menjadi sistem digital. Berbanding sistem analog yang mempunyai fungsi yang terhad, sistem digital mampu untuk melakukan pelbagai tugas lain seperti menghantar dan menerima gambar, video, muzik dan sebagainya.

Berubah

Motorola melakukan kesilapan dengan terlalu lama menumpukan R&D mereka terhadap sistem analog dan lewat membuat perubahan terhadap sistem digital. Apabila Motorola mula menyedari kesilapan mereka, ia sudah terlewat kerana telefon-telefon bimbit telah laris dijual di seluruh dunia.

Pada tahun 2000, Nokia adalah kuasa besar dalam dunia telefon bimbit dengan penguasaan 35% pasaran. Dalam erti kata yang mudah, daripada 3 telefon bimbit yang terjual, satu daripadanya adalah berjenama Nokia. Sejarah berulang kembali apabila Nokia selesa dengan cara mereka menghasilkan telefon bimbit,  pesaing-pesaingnya memulakan permainan baru dengan penghasilan telefon pintar.

Akibatnya, semenjak 2003-2011, penguasaan pasaran Nokia telah menurun daripada 35% kepada 25% sahaja. Hari ini pengguna bukan sekadar membeli telefon bimbit, mereka mahukan alat komunikasi yang mampu melakukan apa saja. Perhatikan saja pelbagai aplikasi dan sistem untuk telefon pintar hari ini.

Bertangguh Itu Pencuri Masa

Populariti Nokia semakin ditenggelami oleh pesaing-pesaingnya seperti Blackberry, Samsung dan iPhone. Dalam hidup dari semasa ke semasa kita perlu mengubah diri kerana sentiasa terdapat ruang dari semasa ke semasa untuk kita mengubah diri.

Semasa seorang usahawan berjaya ditanya bilakah masa yang sesuai untuk bermula melakukan sesuatu pekerjaan, adakah perlu menunggu segala-gala perkara telah tersedia dengan sempurna baru hendak bermula? Beliau menjawab bahawa kita perlu bermula sahaja kerana waktu yang terbaik untuk bertindak adalah sekarang. Tidak perlu menunggu segala perkara menjadi sempurna baru hendak bertindak kerana kesempurnaan akan datang dengan sendiri apabila kita telah bermula.

Berubah dari semasa ke semasa untuk menjadi lebih baik. Kerana apabila kita tidak bersedia untuk berubah, kita akan ketinggalan.

Untuk info-info yang unik dan spesifik, lawati FB: Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

Kredit foto: 416stylechange-simon-wordle


Tags: , , , , , ,

Komen (5)

  1. Setuju Dengan Fenomena Teknologi Masakini.

    Setiap masa ada sahaja yang baru, jika kita
    terus menunggu untuk bertindak, pasti yang
    lain akan muncul tanpa disangka.

    Ditahap kita selesa pun kita harus memikirkan
    sesuatu, agar hidup kita tidak tenggelam dengan
    kemegahan berada di puncak.

    Seronok baca artikel tuan, buku “Rahsia Kalimah
    Berkuasa” masih di pasaran atau tidak…?

  2. Benda yang paling susah untuk dilakukan oleh setiap orang termasuk diri saya adalah perubahan.

    mungkin kita terlalu selesa dengan keadaan kita waktu ini yang tidak merasa susah.

    Maka, kita pun merasakan tiada keperluan untuk kita berubah sehinggalah satu saat kita mula merasa susah dan diuji Tuhan.

    Hem.

    Terima kasih atas perkongsian artikel yang bermakna ini.

    Wassalam.

    http://www.blograidah.com

Pendapat anda?