Awas Jerat Persona Rumah Contoh

February 20, 2013 — Penulis:

Kategori: Hartanah / Pelaburan

“Wow! Cantiknya..”

Terpana dan terpegun seketika.

Itulah reaksi yang biasa berlaku kepada kebanyakan pelawat rumah contoh bagi projek pembangunan rumah yang sedang di dalam pembinaan. Baik rumah apartment, kondominium atau rumah bertanah, pemaju akan menonjolkan rumah contoh yang sangat cantik supaya pelawat terus gatal tangan membuat tempahan.

awas-jerat-persona-rumah-contoh

Antara pengubahsuaian yang biasa dilakukan adalah dengan memasang cermin besar di dinding, membuang pintu bilik, membuka dinding pemisah dapur, memasang perabot mahal dan kemasan mewah, memasang kabinet terbina dalam serta hiasan dalaman berkonsep kontemporari.

Ada juga  pemaju yang sanggup meletakkan perabot yang lebih kecil dari saiz standard atau meninggikan syiling supaya ia kelihatan lebih besar dan luas.

Indah Khabar Dari Rupa!

Kecantikan rumah contoh menyebabkan pelawat lupa tujuan mereka datang untuk melihat bentuk rumah yang akan dibeli, bukan untuk apresiasi rekaan dalaman. Sebaik mendapat kunci, mereka kecewa apabila mendapati unit yang mereka terima jauh berbeza. Hanya dinding kosong, kemasan asas dan cat putih sahaja.

Kata orang tua, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak beli, tanggunglah sendiri. Kecantikan rumah contoh hanyalah satu imaginasi pereka hiasan dalaman. Ia tidak tertulis di dalam perjanjian jual beli.

Di Malaysia, walaupun kisah sebegini biasa didengar, setakat ini tiada undang-undang atau peraturan tertentu yang boleh membendungnya.  Apatah lagi , tiada undang-undang yang memberi mereka jalan keluar untuk menuntut pampasan.

Berbeza halnya dengan di Singapura. Pembeli rumah di negara itu dilindungi apabila kerajaannya memperkenal dan menguatkuasakan satu peraturan di mana setiap rumah contoh mestilah menggambarkan unit yang sebenar dengan tepat.

Dari segi keluasan, ketinggian siling, struktur dinding, struktur tiang, jenis perabot, hiasan dalaman dan lain-lain mestilah sama dengan apa yang bakal pembeli terima.  Melalui peraturan ini, pembeli diberi gambaran dan pengalaman yang sebenar bagaimana rupa dan perasaan berada di dalam rumah ‘kotak merpati’ itu.

Selain itu, peraturan ini juga mensyaratkan pemaju untuk menyediakan kepada umum senarai harga yang lengkap sekurang-kurangnya dua hari sebelum hari jualan. Brosur dan iklan yang dipaparkan juga mestilah tidak mengandungi sebarang maklumat atau gambaran yang boleh mengelirukan.

Ordinan Hartanah Kediaman

Keberkesanan  peraturan di Singapura ini dicontohi oleh Hong Kong. Di sana, tanah terlalu terhad. Jadi, purata  keluasan rumah hanyalah seluas 500 meter persegi sahaja. Ini menyebabkan pemaju terdesak untuk menarik perhatian pembeli melalui rumah contoh yang memukau, biarpun melibatkan pengubahsuaian yang ekstrem.

Terdapat banyak kes di mana pemaju  menggantikan dinding batu yang biasanya setebal 10 cm dengan dinding kaca yang hanya setebal 2.5 cm. Pintu masuk utama dibuang, menyebabkan pembeli tersalah anggap ruang awam di koridor adalah sebahagian daripada rumah.

Selain itu, ada pemaju yang sanggup membuang dinding yang memisahkan bilik utama dengan bilik kecil disebelahnya supaya ia kelihatan seperti satu ruang yang luas. Hakikatnya, apabila kunci rumah diterima, pembeli mendapati bilik utama hanya betul-betul muat satu katil kelamin sahaja.

Bagi mengekang trend ini, Biro Pengangkutan dan Perumahan Hong Kong telah menguatkuasakan polisi serta garis panduan yang lebih ketat dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Persatuan Pemaju Hartanah di sana. Ordinan Hartanah Kediaman (Jualan Kali Pertama) juga telah diluluskan dan akan dikuatkuasakan pada bulan Jun 2013 ini.

Semua peraturan ini menitikberatkan pembinaan rumah contoh, brosur jualan dan maklumat urusniaga yang lebih telus. Sebarang representasi yang mengelirukan atau kurang tepat tidak dibenarkan sama sekali.

 

Advertising Standard Authority (ASA)

Sebenarnya, peraturan sebegini telah lama dikuatkuasakan di United Kingdom. Undang-undang di sana menekankan konsep ‘What You See is What You Get’ yang bermaksud ‘apa yang anda nampak, itulah yang anda terima’.

Baru-baru ini, sebuah syarikat pemaju terkemuka tempatan iaitu Taylor Wimpey telah didapati bersalah dan diambil tindakan oleh Advertising Standard Authority (ASA), sebuah agensi pemantauan pengiklanan di sana.Tindakan ini berikutan aduan yang diterima apabila pemaju ini memuatnaik gambar bilik air yang didakwa diambil dari unit contoh yang sebenar di laman web mereka.

Gambar itu memaparkan kelengkapan dan kemasan bilik air yang tidak termasuk di dalam harga jualan standard. Ia hanya tersedia jika pembeli memilih pakej naiktaraf sahaja.

ASA memutuskan bahawa gambar  ini boleh menyebabkan pembeli terkeliru dan tersalah anggapan bahawa kelengkapan itu sudah termasuk di dalam harga jualan yang ditawarkan. Perkataan ‘harga dari’ yang diletakkan di dalam iklan tidak cukup untuk mengelakkan kekeliruan ini.

Pemaju sepatutnya memaparkan gambar bilik air dalam keadaan sebenar yang akan mereka terima dengan harga standard atau menyatakan dengan jelas di dalam iklan itu berapa kos yang perlu dibayar untuk mendapatkan kelengkapan dan kemasan seperti yang ditonjolkan.

 

Akta Perlindungan Pengguna

Di Australia pula, perlindungan yang sama begitu diambil berat melalui Akta Perlindungan Pengguna. Agen atau pemaju hartanah mestilah memberi gambaran yang tepat mengenai lokasi, harga, karakter, gunatanah atau ciri-ciri tertentu di masa hadapan berkaitan rumah tersebut.

Dalam satu kes mahkamah, dua orang pembeli telah memaklumkan kepada seorang agen jualan bahawa mereka hanya berminat untuk membeli unit yang mempunyai pemandangan yang tidak dihalang oleh apa-apa bangunan atau objek.

Agen jualan telah mencadangkan unit yang dikatakan mempunyai pemandangan sebegitu beserta beberapa ciri-ciri lain. Atas keyakinan secara lisan yang diberi,  mereka menandatangani perjanjian jual beli.

Namun begitu, mereka kemudiannya mendapati bahawa pemaju  yang sama telah membuat permohonan kepada pihak berwajib untuk membangunkan tanah yang betul-betul berada di sebelah projek kediaman yang mereka beli. Ini akan menghalang pemandangan yang bakal mereka nikmati nanti.

Tidak berpuas hati, kedua-dua pembeli membatalkan pembelian dan pihak pemaju membawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah mendapati bahawa perjanjian jual beli itu boleh diketepikan kerana wujudnya maklumat yang tidak tepat. Janji yang dibuat secara lisan oleh agen jualan mengikat perjanjian tersebut.

Kesimpulannya, Malaysia masih ketinggalan di dalam melindungi pembeli rumah dari ‘gimmick’ rumah contoh dan maklumat-maklumat yang kurang tepat dan boleh mengelirukan ini. Diharap pihak kerajaan mengambil berat dan mewujudkan undang-undang atau peraturan seumpamanya. Bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah juga perlu diperluaskan bagi mendengar aduan sebegini.

Membeli rumah bukanlah satu pelaburan yang murah. Lima hingga ke tujuh angka dibayar kepada pemaju. Maka seharusnya transaksi semahal ini dijalankan secara telus dan jujur supaya pembeli benar-benar menikmati apa yang dijanjikan sebelum dompet mereka dibuka.

 

(Kredit gambar: (Jeda Villa Bali)


Tags: , , ,

Komen (8)

  1. siling tinggi antara paling common penipuan..walaupon sales person ada cakap yg unit sebenar adalah rendah lagi..tp payah visualize kan

  2. ya betul tu tuan. susah nak bayangkan macamana pula kalau syiling lebih rendah dari yang kita nampak. rendah bagaimana pula? ada ke garisan yang jelas yang menunjukkan paras syiling yang sebenarnya? ini yang mengelirukan kita sebagai pembeli

  3. Terima kasih atas perkongsian melalui artikel. Saya pun tak tahu tentang muslihat rumah contoh ni. Mungkin lepas ni nak beli rumah saya akan lebih berhati-hati.

    Terima kasih cik puan Rohainah Noor

  4. Satu tabiat saya jika mengunjungi rumah contoh adalah melihat sekali rumah “kosong” just to get the feel bak mak saya. Itulah realitinya. Rumah kosong tanpa hiasan dalaman berjenama.

    1. itu memang terbaik tuan. biasanya untuk rumah bertanah, ada pemaju sediakan 2 versi: versi kosong dan versi berperabot. cuma tak banyak pemaju sediakan dua versi tu. banyak yang sediakan versi dah berperabot dan dihias sahaja.

Pendapat anda?