Awas! Trik Penipu Di eBay Part II

July 30, 2012 — Penulis:

Kategori: Online

Dalam artikel saya pada bulan yang lepas, saya telah berkongsi dengan anda jenis-jenis penipuan yang boleh dilakukan oleh penjual-penjual dan juga pembeli-pembeli yang tidak bertanggungjawab di portal eBay.

Pembeli dan Penjual Penipu

Sekiranya anda sudah lupa tentang perkongsian saya sebelum ini, sila rujuk semula artikel saya untuk bulan lepas untuk mengingatkan anda semula.

Sebagai kesinambungan daripada perkongsian tersebut, di dalam artikel saya pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda cara-cara untuk menangani dan juga mengelakkan jenis-jenis penipuan yang boleh berlaku di portal eBay.

Mari kita teruskan.

Menangani Penipuan Terhadap Penjual

#1 -Barang Tidak Sampai

Salah satu cara paling mudah untuk mengelakkan daripada penipuan seperti ini berlaku ke atas anda sebagai seorang penjual, adalah dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran yang berdaftar.

Barang Tidak Sampai

Ini bermaksud yang anda perlu menggunakan perkhidmatan seperti Pos Laju untuk pasaran dalam Malaysia, dan syarikat kurier antarabangsa berdaftar seperti DHL dan FedEx untuk pasaran luar negara.

Berbeza daripada cara pos biasa, penghantaran berdaftar akan memastikan pergerakan barangan ke tempat pembeli adalah direkodkan dan barang tersebut perlu diambil sendiri oleh si pembeli.

Dengan ini, tiada sebarang alasan untuk si pembeli tidak menerima barangan daripada anda kerana segala-galanya adalah didaftarkan.

Sebagai seorang pembeli yang penipu, mereka pasti akan mengharapkan anda menggunakan cara pos biasa yang tidak berdaftar kerana ini akan memudahkan mereka untuk menipu anda.

Tetapi dengan menggunakan perkhidmatan pos berdaftar, anda telah dapat mengurangkan risiko berlakunya penipuan seperti ini.

#2 – Pembida Suka-suka

Malangnya untuk cara penipuan pembeli ini memang tidak ada sebarang cara penyelesaian yang terbaik. Di sepanjang pengembaraan anda sebagai seorang penjual di portal eBay, anda pasti akan mengalami penipuan seperti ini beberapa kali.

Cuma apa yang boleh anda lakukan sebagai seorang penjual adalah memastikan sekiranya perkara ini terjadi kepada anda, ianya memang disebabkan pembeli yang menipu.

Apa yang perlu anda lakukan adalah, apabila ada pembida yang memenangi jualan anda dan mereka agak lambat membuat pembayaran, anda perlu menghubungi mereka terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian.

Mungkin terdapat sebarang masalah di tempat mereka yang telah menyebabkan mereka tidak dapat membayar dengan pantas. Seperti masalah kesihatan atau mereka sedang bercuti di tempat lain.

Sekiranya anda tidak mendapat sebarang respon daripada si pembeli sehingga tempoh lebih seminggu, maka anda boleh membuat laporan kepada pihak eBay supaya pihak eBay boleh mengambil tindakan selanjutnya.

Selalunya dalam kes seperti ini, pihak eBay akan memulangkan semula wang yuran listing barang anda itu.

Mereka juga akan membuat rekod terhadap si pembeli dan akan memastikan bahawa sekiranya kesalahan tersebut diulangi, pihak eBay akan menggantung atau menyenarai-hitamkan pembeli tersebut di portal eBay.

Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk melaporkan kes-kes seperti ini sekiranya ianya berlaku.

Jangan ambil mudah untuk tidak melaporkannya kerana ia akan dapat membantu daripada si pembeli penipu tadi membuat penipuan terhadap penjual lain.

Kita tidak mahu individu seperti ini berleluasa di portal eBay.

#3 – Penukaran Barang

Penipuan ini boleh dielakkan daripada berlaku ke atas anda dengan cara membuat rekod terhadap setiap barang yang anda jual.

Sebagai contoh anda boleh mengambil gambar setiap barang jualan anda dan juga merekodkan nombor kod untuk barang anda itu sekiranya ada. Rekod gambar perlu anda ambil lebih-lebih lagi sekiranya anda menjual barangan yang terpakai.

Anda boleh mengambil gambar kerosakan-kerosakan kecil yang terdapat di atas barang jualan, supaya tidak mudah untuk orang lain menukarkannya dengan barang lain yang serupa.

Kerana anda sudah tahu keadaan rupa barang jualan anda.

Menangani Penipuan Terhadap Pembeli

#1 -Barang Berbeza

Sebagai seorang pembeli, cara terbaik untuk anda mengelakkan daripada berlaku kes penipuan ini terhadap anda adalah dengan memastikan anda bertanyakan soalan kepada si penjual tentang barang jualannya.

Barang Berbeza - Keliru

Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan tentang modal barang, versi, warna, aksesori, perisian atau sebarang perkara lain yang boleh mengesahkan barang yang dijual oleh si penjual adalah barang yang anda cari dan berdasarkan spesifikasi yang anda inginkan.

Selain itu, sebaik-sebaiknya beli daripada penjual yang mempunyai melebihi 100 feedback.

Selalunya penjual yang mempunyai rekod baik seperti ini akan kurang menghadapi masalah barangan, berbanding penjual-penjual yang memiliki feedback yang rendah.

#2 – Kos Penghantaran Tinggi

Sebagai pembeli, anda perlu faham bahawa untuk barangan yang dijual di portal eBay, kos barang dan kos penghantaran adalah dua perkara yang berbeza.

Biasanya para penjual akan memberikan kos untuk kedua-dua perkara tersebut di dalam ruangan diskripsi barang jualannya.

Sekiranya maklumat tersebut tidak ada atau tidak jelas, maka adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mendapatkan maklumat tersebut daripada si penjual dengan cara bertanya.

Dengan cara ini, anda boleh mengelakkan daripada berlaku sebarang rasa tidak puashati di kemudian hari selepas anda mengetahui kos penghantaran sebenarnya yang perlu anda bayar.

Sekiranya anda menjumpai barang jualan yang sangat menarik perhatian anda, pastikan anda menyelidik segala maklumat lanjut mengenai penjualan tersebut dan jangan terus membida atau membeli.

Ini dapat mengelakkan daripada anda terpaksa membayar kos yang terlalu mahal, jika anda membuat pembelian atau pembidaan secara terburu-buru. Beringatlah dulu sebelum terkena.

 #3 – Barang Tidak Dihantar

Cara terbaik untuk menghindari kes penipuan seperti ini adalah dengan cara membeli hanya daripada penjual, yang mempunyai reputasi yang baik di portal eBay.

Ini bermaksud mereka mempunyai feedback untuk melebihi 100 transaksi dan lebih 95% daripada transaksi tersebut adalah positif.

Jika anda ingin membeli daripada penjual yang mempunyai reputasi yang rendah atau masih kurang, pastikan anda membeli barangan yang berharga murah.

Jangan mengambil risiko untuk membeli barangan yang berharga mahal daripada penjual yang masih lagi belum dapat membuktikan reputasinya yang baik di portal eBay.

Itulah beberapa langkah mengelakkan dan menangani penipuan-penipuan yang boleh berlaku kepada penjual dan pembeli di portal eBay.

Si Penipu Tetap Akan Menipu

Seperti yang telah saya katakan di dalam artikel saya sebelum ini, penipuan masih lagi boleh berlaku di portal eBay dan adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mengetahui cara untuk mengelakkan dan menanganinya.

Awas Trik Penipu Di Ebay

Sebagai seorang penjual dan pembeli di portal eBay, anda boleh membuat aduan dan laporan kepada pihak eBay tentang sebarang penipuan yang anda hadapi.

Ini akan dapat membantu pihak eBay untuk meningkatkan keselamatan portal mereka daripada ancaman individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Saya berharap yang perkongsian saya ini akan dapat membantu anda di dalam pengembaraan portal eBay.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih terperinci cara-cara penipuan dan cara menangani penipuan di portal eBay, anda boleh mendapatkan buku saya “Awas! Trik Penipu di eBay” yang terdapat di kedai-kedai buku utama yang berhampiran dengan tempat anda.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang akan datang, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya.

Kredit: PTS, Time, Planning With Kids, Irfa Nurs.


Komen (1)

Pendapat anda?