Awas! Trik Penipu Di eBay

July 12, 2012 — Penulis:

Kategori: Online

Sepanjang masa saya menulis artikel-artikel khas saya buat semua pembaca laman web Majalah Niaga, saya sentiasa berkongsi tentang pengetahuan dan pengalaman yang baik tentang portal eBay.

Respon Positif Di eBay

Boleh dikatakan saya sentiasa memberikan gambaran yang positif tentang portal eBay.

Sememangnya itulah tujuan saya. Portal eBay merupakan satu portal e-commerce atau e-perniagaan yang telah berjaya mengubah lanskap cara perniagaan dilakukan melalui Internet.

Kini sesiapa sahaja boleh mula menjual melalui Internet, walau di mana mereka berada di seluruh dunia.

Tanpa perlu melalui cara memulakan perniagaan Internet yang konvensional seperti dengan mendaftarkan domain dan menggunakan perkhidmatan web hosting.

Namum demikian, di dalam kandungan artikel pada kali ini, saya ingin membawa anda menyelami dunia gelap di dalam portal eBay, iaitu untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai jenis penipuan yang berlaku di portal eBay terhadap pembeli dan penjual.

Mari kita mulakan…

Penipuan Terhadap Penjual

#1 – Barang Tidak Sampai

Teknik penipuan ini sering digunakan oleh penjual yang tidak bertanggungjawab. Penipuan ini bermula dengan individu yang menyamar sebagai seorang pembeli yang baik terhadap anda sebagai seorang penjual.

Setelah membuat pembelian dan membuat pembayaran, mereka menyuruh anda menghantar barang tersebut ke alamat yang telah mereka berikan.

Dalam masa 1 – 2 minggu selepas anda membuat penghantaran, si pembeli tadi menghubungi anda semula untuk memberitahu yang barang tersebut masih belum sampai ke tempatnya.

Si pembeli akan mula marah-marah terhadap anda dan seterusnya mengatakan yang anda seorang penjual penipu dan dia meminta semula wang pembayarannya.

Anda yang tidak tahu bagaimana masalah penghantaran tersebut boleh berlaku terpaksa akur dengan permintaannya, dan memulangkan wang kepadanya supaya anda boleh menjaga rating positif.

Sebenarnya si pembeli sudah menerima barang tersebut dan kini telah berjaya pula menerima wangnya semula daripada anda.

#2 – Pembida Suka-Suka

Penipuan ini merupakan satu kegemaran kepada pembeli yang suka mencari thrill atau keseronokan di atas kesusahan orang lain. Penipuan ini berlaku apabila si penjual menerima bidaan daripada seseorang ahli di portal eBay.

Ada kalanya perang bidaan tercetus di antara ahli yang membuat bidaan tadi dengan ahli yang lain untuk memenangi barang tersebut.

Di akhir penjualan, setelah si pembida asal memenangi bidaan, dia langsung tidak mahu membuat pembayaran, malah langsung tidak memberikan respon kepada si penjual apabila si penjual mula menagih bayaran untuk barang yang telah dimenanginya.

Maka si penjual akan kecewa kerana tidak mendapat bayaran walaupun barangnya sudah berjaya dijual.

#3 – Penukaran Barang

Penipuan ini berlaku apabila si pembeli membuat pembelian untuk sesuatu barang di portal eBay. Setelah membuat pembayaran si penjual akan menghantar barang tersebut kepada si pembeli.

Penukaran Barang

Setelah barang tiba di tempat pembeli, dia akan membuat aduan kepada si penjual yang barang tersebut sudah rosak dan menginginkan wangnya semula.

Si penjual yang tidak tahu apa yang telah terjadi akan menerima komplen tersebut. Kemudian menerima penghantaran barang semula dari si pembeli dan lantas memulangkan wang semula kepada si pembeli.

Apa yang tidak si penjual ketahui adalah si pembeli tadi sudah menukar barang asal yang telah diterimanya daripada si penjual dengan barang serupa lain yang telah rosak.

Barang rosak itulah yang telah dihantar semula kepada penjual. Akhirnya si penjual yang kecewa kerana menerima barang yang rosak dan wang pembelian pula terpaksa dikembalikan.

Penipuan Terhadap Pembeli

#1 – Barang Berbeza

Penipuan oleh penjual ini sering berlaku di portal eBay.

Lebih-lebih lagi oleh penjual yang menjual banyak jenis barangan dalam satu masa. Setelah si pembeli membeli dan membuat pembayaran, maka si penjual akan menghantar barang kepada si pembeli.

Pembeli Keliru

Masalahnya, apabila barang telah sampai ke tempat pembeli, dia mendapati barang tersebut berbeza daripada apa yang telah dia lihat di dalam deskripsi jualan si penjual tadi.

Kemungkinan barang tersebut berbeza dari segi warna, saiz atau jenamanya. Sebarang komplen daripada si pembeli tidak akan dilayan oleh si penjual.

#2 – Kos Penghantaran Tinggi

Satu ketika dulu, penipuan jenis ini amat ketara di portal eBay. Namun demikian, semenjak akhir-akhir ini terdapat penurunan yang mendadak lebih-lebih lagi di portal utama eBay iaitu di eBay Amerika Syarikat.

Namun demikian, di laman-laman web eBay untuk negara lain, penipuan ini masih lagi wujud.

Penipuan ini berlaku dengan cara si penjual meletakkan harga yang murah untuk barang jualannnya, malah mungkin jauh lebih murah daripada harga pasaran. Tetapi si penjual akan meletakkan harga penghantaran yang tinggi.

Malah selalunya kos ini jauh lebih tinggi daripada kos yang sepatutnya dikenakan kepada pembeli.

Memandangkan kos penghantaran perlu dibayar oleh si pembeli, maka di akhir pembelian setelah harga barang dicampur dengan kos penghantaran, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh si pembeli adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan barang yang ditawarkan oleh penjual lain.

Di akhir hari, si pembeli yang rugi daripada transaksi ini dan si penjual pula berjaya mendapat keuntungan yang lebih berbanding penjual lain.

#3 – Barang Tidak Dihantar

Penipuan oleh penjual ini pula adalah lebih keji. Setelah si pembeli membuat pembayaran si penjual langsung tidak menghantar barang yang telah dibeli tadi. Malah sebarang percubaan untuk menghubungi si penjual oleh si pembeli akan menemui kegagalan.

Barang eBay Tidak Dihantar

Ada juga kes yang mana UserID penjual tadi di eBay sudah tiada atau telah ditamatkan oleh si penjual tadi. Akhirnya si pembeli yang akan teraniaya, baru saja ingin mula membeli di portal eBay, akhirnya ditipu dan duit lebur begitu saja.

Itulah beberapa penipuan yang boleh berlaku kepada pembeli dan penjual di portal eBay. Bukan tujuan saya untuk memburukkan portal eBay dan menakut-nakutkan anda daripada berurusniaga di dalam portal tersebut.

Hakikat yang perlu anda terima adalah portal eBay juga sama dengan dunia perniagaan Internet yang terdapat pelbagai macam penipu, dan scammers yang ingin mengambil peluang daripada orang-orang yang tidak berwaspada.

Berdasarkan laporan pihak eBay, cuma terdapat 0.01% penipuan yang berlaku di portal eBay.

Hati-hati Supaya Tidak Rugi

Saya secara peribadi merasakan yang ianya lebih daripada itu kerana selalunya pembeli dan penjual yang menjadi mangsa penipuan tidak tahu cara untuk melaporkan penipuan yang berlaku ke atasnya atau malu untuk melaporkannya.

Hakikatnya penipuan masih lagi boleh berlaku di portal eBay dan adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mengetahui cara untuk mengelakkan dan menanganinya.

InsyaAllah saya akan berkongsi tentang cara mengelakkan penipuan-penipuan yang telah saya kongsikan di dalam artikel ini pada artikel untuk bulan hadapan.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang akan datang, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya.

Kredit: The Naked Convos, 500px, The New Media, Make The List, Sharon Dew Morgen.


Tags: , ,

Komen (1)

Pendapat anda?