Awas Usahawan eBay! Jangan Lakukan 3 Kesilapan Ini

March 21, 2012 — Penulis:

Kategori: Online

Salam hormat saya ucapkan kepada semua pembaca setia laman web Majalah Niaga. Saya sentiasa mendoakan yang anda berada dalam keadaan sihat dan gembira di dalam kehidupan seharian anda.

Kesilapan Dalam Perniagaan eBay

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda 3 kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan-usahawan Internet yang menjual di portal eBay.

Sama ada oleh mereka yang sudah lama menjual atau yang baru saja berjinak-jinak dengan portal eBay.

Mari kita mulakan…

#1 – Memburu Barangan Terkini yang Popular

Anda mungkin pernah membaca mana-mana artikel atau pernah mendapat pendedahan daripada penjual-penjual eBay yang lain. Bahawa anda sepatutnya menjual barangan popular yang terkini untuk menjana keuntungan yang besar di portal eBay.

Ebay website

Strategi ini kelihatan mudah tetapi setelah anda melakukannya dalam masa sebulan dua, barulah anda akan dapat melihat bahawa ianya bukan satu perkara mudah untuk memburu barangan popular terkini untuk dijual semula di portal eBay pada setiap masa.

Masalah paling utama adalah barangan popular di portal eBay sering berubah. Apa yang popular pada hari ini belum tentu lagi akan terus popular pada keesokkan hari.

Jika anda selalu terpaksa mencari bekalan produk terkini untuk dijual maka anda akan menghabiskan kebanyakan masa anda, untuk mencari bekalan daripada melakukan jualan.

Lambat laun anda akan merasa bosan dan akhirnya mengalah di dalam menjual di portal eBay kerana tidak mendapat keuntungan yang baik daripada penjualan anda.

Sikap sentiasa memburu barangan popular akan membinasakan perniagaan anda dalam jangka masa panjang.

Solusi: Buat Kajian Terlebih Dahulu

Sikap usahawan eBay yang bijak adalah membuat kajian terlebih dahulu berdasarkan kategori barang yang paling sesuai untuk usahawan tersebut jual.Ini boleh jadi berdasarkan minatnya, kepakarannya atau sumber bekalan yang boleh diperolehinya.

Berdasarkan kajian ini, maka usahawan tersebut boleh memilih jenis barangan yang paling sesuai untuk dijual olehnya, dan terus menumpukan usaha dalam kategori tersebut sehingga berjaya.

Strategi sentiasa memburu barangan popular adalah seperti skim cepat kaya yang mana ianya cuma merugikan anda dalam jangkamasa panjang.

#2 – Akaun eBay Terbang

Saya tahu terdapat ramai individu yang bergelar “pakar” di dalam menjual di portal eBay menggunakan teknik yang salah ini.

Ebay portal

Teknik “Akaun eBay Terbang” adalah strategi di mana seseorang individu yang menjual di portal eBay membuka berbelas-belas, atau berpuluh-puluh akaun eBay dengan tujuan untuk menjual barangan mereka daripada pelbagai akaun ini.

Rasional yang diberikan oleh mereka adalah sekiranya satu akaun ditutup maka mereka boleh menggunakan akaun yang lain.

Strategi mereka adalah lebih kepada cuba untuk mengaburi pihak eBay daripada mengenalpasti siapa diri mereka yang sebenarnya.

Kerana mereka menggunakan pelbagai maklumat palsu untuk mendaftarkan akaun mereka seperti nama palsu, alamat palsu dan pelbagai maklumat palsu yang lain.

Di setiap akaun ini, mereka jual pelbagai barangan “rojak” dengan tujuan untuk mengaut keuntungan banyak dalam masa yang singkat. Setelah dapat untung, maka mereka tidak kisah jika akaun tersebut ditutup pihak eBay.

Kerana mereka masih lagi mempunyai banyak akaun lain yang boleh digunakan.

Memang strategi yang mereka lakukan ini dapat mendatangkan keuntungan yang baik jika kena pada caranya. Namun demikian, strategi ini langsung tidak membantu sekiranya anda mahu mewujudkan perniagaan yang sebenar di portal eBay.

Solusi: Guna Satu atau Dua Akaun Tetap

Usahawan eBay yang sebenar yang mahu perniagaan mereka berterusan dalam jangka masa yang panjang hanya akan menggunakan satu atau dua akaun eBay yang tetap.

Ini bermaksud mereka cuma menggunakan satu atau dua UserID tetap di portal eBay untuk menjual barangan mereka.

Strategi utama mereka adalah lebih kepada membina empayar perniagaan mereka dalam jangka masa yang panjang dengan menumpukan usaha mereka kepada penjualan barangan yang berkualiti, pemberian perkhidmatan pelanggan yang baik dan juga membina jenama mereka di mata pelanggan-pelanggan dengan menggunakan satu atau dua UserID utama itu.

Dengan berbuat demikian, usahawan ini sedang membina satu perniagaan yang sebenar di portal eBay yang mana usahawan ini akan dapat mengumpul senarai pelanggan yang setia dan mencapai keuntungan yang baik dalam jangka masa panjang.

#3 – Tidak Menguruskan Kewangan

Penjualan barangan di portal eBay merupakan salah satu model perniagaan internet yang mampu menjana keuntungan yang baik untuk diri anda sama seperti model perniagaan internet lain yang ada pada masa kini.

Bijak mengurus wang

Oleh kerana itu, untuk memastikan yang anda mampu menjana keuntungan yang baik, anda perlu terlebih dahulu mempunyai pengetahuan yang kukuh tentang urusan kewangan perniagaan.

Anda perlu tahu berapa banyak wang yang keluar daripada perniagaan anda di portal eBay pada setiap bulan dan anda juga perlu tahu berapa banyak wang yang masuk.

Beza di antara kedua-dua wang masuk dan keluar ini adalah keuntungan anda. Jika anda langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang keuntungan bersih perniagaan anda pada setiap bulan, maka anda akan menghadapi masalah untuk meningkatkan keuntungan perniagaan dalam jangka masa panjang.

Wang yang keluar daripada perniagaan anda pada setiap bulan adalah seperti wang yang anda gunakan untuk membeli bekalan barangan dan membayar yuran portal eBay. Wang yang masuk ke dalam perniagaan anda adalah daripada setiap jualan yang berjaya anda lakukan di portal eBay.

Solusi: Rekod Setiap Transaksi yang Berlaku

Jika anda masih belum mempunyai gambaran yang jelas tentang prestasi perniagaan anda pada setiap bulan di portal eBay, anda boleh memulakan langkah pertama dengan merekod setiap urusan kewangan anda pada setiap bulan.

Catatlah setiap wang yang keluar dan masuk pada setiap bulan dan imbangilah akaun tersebut di setiap akhir bulan.

Setelah anda tahu keuntungan atau kerugian pada setiap bulan, barulah anda boleh berfikir dengan lebih jelas langkah seterusnya yang perlu anda ambil untuk memperbaiki pretasi kewangan anda.

Mungkin anda perlu berunding dengan pembekal untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih murah atau anda boleh mengurangkan yuran eBay anda dalam keadaan-keadaan tertentu.

Apa yang penting, jika anda jelas tentang kesihatan kewangan perniagaan anda di portal eBay maka anda akan lebih mudah menguruskannya dalam jangkamasa panjang dan mencapai kejayaan yang besar.

Begitulah sedikit perkongsian yang ingin saya berikan pada kali ini. Saya berharap yang anda telah mendapat manfaat daripada perkongsian saya ini.

Sehingga kita berjumpa lagi di keluaran yang akan datang, salamt hormat dan salam kejayaan!

Kredit: Rob_pym


Tags: , , , , ,

Komen (1)

Pendapat anda?