Babi, Riba dan Orang Kita : Halal Bukan Sekadar Dalam Makanan

April 08, 2013 — Penulis:

Kategori: Perkhidmatan / Perniagaan

Hampir dua minggu yang lalu, sangat kecoh di dunia siber apabila tersebarnya gambar penemuan daging babi di pasaraya NSK, Selayang.

Tanpa diketahui siapa pengirimnya, gambar yang dikatakan sebagai “daging babi” ini terus tersebar secara viral di facebook dan media sosial yang lain. Pihak pengurusan pasaraya tersebut bersama beberapa chef terpaksa membuat penafian selepas isu hangat ini mula tersebar.

isu babi di NSK Selayang

“Ia bukanlah daging babi seperti yang disebarkan di internet, ia sebenarnya merupakan daging kambing..” antara penjelasan pihak pengurusan NSK.

Orang kita sangat sensitif dengan babi. Apa jua yang berkaitan dengan babi pasti akan ditolak serta ditentang bermati-matian. Apa sahaja makanan yang disyaki punyai lemak babi atau DNA babi ini, pasti akan diboikot habis-habisan walaupun ia cuma sekadar khabar angin serta tiada bukti umum.

Jika anda masih ingat, penjualan ubat gigi jenama terkenal jatuh merudum gara-gara tersebarnya khabar angin palsu bahawa ia mengandungi tulang babi.

Ini menunjukkan betapa berhati-hatinya sikap orang Melayu-Muslim di Malaysia berkenaan dengan halal haram dalam makanan. Ia merupakan satu sikap yang terpuji dan selaras dengan kehendak syariat Islam dan disenangi Rasulullah SAW.

Namun begitu dalam tidak sedar, ada sesuatu yang “haram” yang amat dekat dengan kita tetapi langsung tidak dipandang serius walaupun ia lebih haram dan lebih membawa mudharat daripada babi.

Ianya adalah riba!

Ya, riba. Riba lebih besar haramnya di sisi Islam dan lebih besar mudharatnya di sisi masyarakat Islam.

Sebesar-besar dosa makan babi, besar lagi dosa riba. Dosa riba bersamaan dengan mengangkat senjata memerangi Allah.

Ia termaktub di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 275,

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Sebesar-besar dosa makan babi, masih tidak disebut oleh Allah SWT sebagai berperang dengan-Nya. Malah Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi pernah menyebut dalam mentafsirkan ayat 275 surah al-Baqarah ini sebagai ‘inilah antara ayat al-Quran yang paling menakutkan’.

Dalam satu lagi hadith pula, Rasulullah SAW menegaskan bahawa “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya, lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)

sistem riba

Tidak cukup itu, memakan riba dibariskan bersama 7 dosa besar di sisi islam iaitu syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). Ia berpandukan daripada satu hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk memandang remeh berkenaan dengan isu babi di dalam makanan, tetapi ia sebagai satu peringatan khas agar kita semua membuka mata lebih luas untuk melihat satu perkara yang lebih besar daripada itu tetapi dekat amat dengan kita.

Antara komen segelintir masyarakat apabila berdepan dengan isu babi dan riba.

Babi – “tidak boleh, haram, jijik, mencabar sesitiviti umat Islam!”

Riba – “hmmm, sikit sahaja, tidak mengapa, orang tidak perasan pun, sama sahaja konvensional dengan Islamik, sama sahaja insurans dengan takaful.”

Walhal sebenarnya, dosa makan riba jauh lebih besar dari dosa makan babi.

Jika kita jijik melihat babi serta sebarang perkara dikaitkan dengan babi, samalah juga hendaknya apabila kita semua melihat perkara dalam keadaan riba dan melibatkan sebarang elemen riba.

Lihat di dalam dompet kita;
Adakah terdapat kad ATM perbankan konvensional? Wujudkah kad kredit bank konvensional?

Lihat pula pinjaman perumahan dan kenderaan yang kita lakukan;
Adakah ia dibuat dengan perbankan konvensional?

Kemudian lihat pula polisi insurans yang kita ambil;
Adakah ia daripada syarikat insurans konvensional?

Jika masih menggunakan item-item di atas, ketahui bahawa ia adalah riba dan berurusan dengannya sama dengan berperang dengan Allah, 36 kali berzina dan sebahagian daripada 7 dosa besar.

hukum riba hutang

Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang?

Yang perlu dilakukan sekarang tidak lain tidak bukan ialah hijrah!

Ya, hijrah dan berubah sekarang sebelum ajal menemui kita dan bertaubat serta menyesali dosa-dosa riba yang pernah kita terlibat selama ini. Mudah mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa sebelum ini.

Di Malaysia, terdapat lebih 30 institusi perbankan Islam dan takaful di Malaysia hari ini. Jadi tidak ada lagi alasan untuk kita memilih perbankan konvensional dan insurans riba.

Ubah sekarang sebelum terlambat!

(ABIK – Asal Bukan Industri Kewangan Konvesional)

Kredit gambar kepada (Aiskosong.com, Facebook Ustaz Azhar Idrus)


Tags: , , , , , , , ,

Komen (17)

  1. Kalau insurans tu sngla nk batalkan, klu kereta tu mcm mn, sy loan kereta dgn ambank, x sure la riba ke tak, pastu kad atm yg dimaksudkan tu kad debit ke kad kredit?

  2. Isu yang menarik, biasa terjadi. Kita sangat sensitif apabila haram melibatkan makanan. Namun kita kurang sensitif pada haram dalam kehidupan.
    Artikel yang boleh dikongsikan….

  3. saya tertarik dengan kenyataan berkaitan insurans takaful, maklumat yang diperolehi menyatakan bahawa lesen takaful telah dibekukan. Bermakna tiada lagi lesen takaful diberikan kepada syarikat2 insurans. Apa yang saya tidak faham adalah mengapa perlu dibekukan, bukankah ia baik untuk semua umat islam dan syarikat itu sendiri yang perihatin terhadap kehendak patuh syariah. Ia seolah2, menampakkan berlaku dominasi dalam perniagaan dan bukan asasnya menghalang berlaku riba dalam urusan. syukran ya akhi..

  4. maaf sebenarnya apa maksud riba dalam perspektive Islam
    apa yang saya faham riba sesuatu yang menindas orang lain
    so apa yg bank konvesional buat sampai menindas org lain?
    tolong terangkan sy nak betul2x faham mengenai riba supaya boleh dielakkan walaupun sekecil kecil riba

  5. Salam..saya share sikit.bekerja dalam institusi penyubur unsur riba ternyata bersubahat. Berlaku pada diri saya sendiri, alhamdulillah..setelah 15 ‘besubahat’ hidayah dari ALLAH sampai untuk saya hijrah walaupun status saya dalam organisasi tersebut memberi gaji lumayan setiap bulan! Saya galakkan tuan/puan mendengar radio ikim.fm dan majlis ilmu utk sama2 memahami dan sama2 mendapat kekuatan untuk hijrah ke arah lebih baik… Nabi SAW sendiri dalam khutbah terakhir baginda telah menyebut pengharaman riba jadi wajiblah kita turuti….

  6. Semoga dimudahkan untuk kita meninggalkan riba secara total.
    Ini merupakan satu jihad kita di zaman yang penuh fitnah ini…

  7. Maklumat yang baik….

    Kebanyakkan produk yang berada dimakanan dikeluarkan
    oleh orang bukan Islam.

    Jadi, mengapa tidak kita sendiri yang mengeluarkan produk
    tersebut. Seperti makanan, minuman dll.

    Alhamdulillah, sy sendiri dalam proses mengeluarkan produk
    tersebut.

    Siapa lagi untuk bantu menghalalkan sumber makanan kita?

    Para usahawan melayu yang bersemangat & bermotivasilah
    akan membawa perkara ini ke hadapan.

Pendapat anda?