Hadapi Masalah, Bukan Lari Dari Masalah!

April 05, 2011 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Adha, mendapat gaji pertamanya. Senyum sampai telinga. Eksekutif ini bercadang untuk membeli kereta pertama idamannya. Kereta popular berjenama Jepun.

hadapi-masalah-bukan-lari-dari-masalah

Dunia permotoran menyambut mesra Adha dengan bayaran bulanan, cukai jalan, takaful motor, kenaikan petrol, bayaran parkir yang lebih mahal dari sepinggan nasi campur, tol demi tol, saman dek penangan darah mudanya, penyelenggaraan kereta termasuk calar balar akibat asyik dengan SMS di telefon bimbit.

Itu pun belum lagi rutin cuci, rim aloi besar yang ’bling bling’ dan tayar lembut untuk cengkaman melekat. Baru kelihatan hebat!

Kelihatan Hebat, Segak & Bergaya!

Bercakap tentang kelihatan hebat, Adha mula berkenalan dengan jenama-jenama hebat. Pakaian, dompet kulit, tali pinggang, beg sandang kulit, minyak wangi keluaran Paris dan jam tangan tebal.

Itu baru pakaian pejabat, belum lagi pakaian santai dengan jeans berjenama, kasut stailo, cermin mata hitam kalis sinar UV dan rantai tangan bertenaga aura. Jika keluar bersantai tanpa Ipod dan kamera DSLR, kawan-kawannya hampir tidak mengenalinya.

Ini bermakna telefon bimbit lampu picit Adha sudah tidak relevan lagi. Maka mulalah berjinak-jinak beliau dengan ansuran 24 bulan telefon pintar yang terbaik di pasaran. Telefon pintar tanpa talian pintar hanya akan kelihatan bodoh, maka caj bulanan telefon bimbit mula bertaring. Ah, apa ada hal, yang penting stail! Kad kredit kan ada.

Tidak mungkin Adha yang stailo ini masih tinggal dengan ibu bapa. Sebagai insan bujang, cukuplah gaya perabot dan peralatan elektrik minimalis di apartmen servis kecil sewa di ibu kota. Walaupun jarang di rumah, penghawa dingin mestilah ada, nanti ada tetamu bertandang tidaklah hangat. Dapur Adha juga lebih canggih dari kemahiran memasaknya. Ansurankan sahaja!

Sampai masanya Adha berkenalan pula dengan si gadis manis. Dan….

Kini Kehidupan Adha Berubah 360 Darjah!

Cukuplah di sini kisah Adha. Adha yang baru berumur 26 tahun, sudah pun dihubungi oleh bank beberapa kali minggu ini kerana sudah beberapa kali ’terlupa’ membayar ansuran kereta. Malah permohonan pinjaman peribadi keempatnya baru sahaja ditolak bank. Dan minggu hadapan pula rombongan bertunang akan dihantarnya ke Kuala Kedah!

hadapi-masalah-bukan-lari-dari-masalah-1

Bukanlah Adha tidak bijak, dia seorang graduan kelas pertama di sebuah universiti perdana. Bukanlah kerana dia tidak bekerja keras, dia adalah staf terbaik di syarikatnya beberapa bulan dalam setahun.

Kisah Adha mengajar kita beberapa perkara :

  • Kisah Adha mempunyai banyak persamaan dengan kebanyakan dari kita. Kalau bukan pun anda, kawan-kawan anda mahupun saudara-mara anda. Ia adalah perkara paling biasa berlaku hari ini.
  • Adha bekerja keras untuk wang bagi menampung gaya hidupnya. Hanya jika Adha tahu jalan lebih baik untuk kelihatan hebat! Pastinya ada 1001 teknik diluar sana! Bijak wang kedengaran bosan, hakikatnya inilah ilmu yang amat diperlukan yang tidak terdapat dalam silibus kurikulum PMR mahupun SPM!
  • Adha seperti ramai lagi yang lain. Kehidupan terjadi bukan dirancang. Kuncinya kebanyakan kita tidak tahu apa yang kita mahukan. Matlamat yang samar-samar itu menyebabkan kuasa tindakan yang lemah. Sewaktu lemah, kita mula dan mudah DIKUASAI!
  • Adha seperti kebanyakan kita yang sentiasa mempunyai pilihan. Pilihan semakin banyak apabila kita bebas kewangan. Pra-syarat bebas wang ialah buang dari kamus perkataan diri ”Aku sudah TAHU!”. Ia memakan masa. Perlukan komitmen. Pilih untuk bebas!
  • Pendapatan Adha dan yang kita perolehi adalah sama seperti pancaindera. Ia adalah amanah dari pemilik Nya. ”Dan kepunyaan Allah lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya”. (Al-Maidah 5 : 19). Satu hari nanti, kita pasti akan disoal bagaimana, bila, apa, mana dan siapa tentang amanah itu.
  • Tanggungjawab kewangan ialah tanggungjawab peribadi. Ya, Adha bertanggungjawab atas apa yang berlaku! Tiada yang akan berubah jika Adha sendiri tidak bertindak mengubahnya.
  • Tidak terlewat bagi Adha bagi memperbaiki apa yang terjadi. Sedar dan terus bertindak! Masa berlalu! Hadapinya, bukan lari!

Sedih hati gundah gulana,
Tak cukup duit, mengeluh sahaja;
Sama beringat, sama berusaha,
Bebas kewangan ibadah ke syurga!

*Kredit gambar yang di ambil dari Flickr (NRMA New Cars) & (fuzzysaurus)


Tags: , , , ,

Komen (8)

  1. Wah! Wow! mmg betul2 menyentuh hati sy artikle ni.Isinya yg tersusun dan mengikut flow 1 per satu! Artikle yg akan terpahat di hati sy sampai bila2

  2. Assalamualaikum, gaya penceritaan yang sangat cantik dan indah. Apabila fiksyen + pengalaman + fakta = ?

    Gaya penulisan beginilah yang meyebabkan banyak buku ‘self-help’ tulisan John Gray, Brian Tracy, Joh C Maxwell, Zig Ziglar dan kebanyakan penulisa dalam negara berjaya dijual ke tahap best-seller.

    Manusia suka bercerita dan mendengar cerita. Demikianlah ruangan gosip sangat digemari sekalipun ianya adalah cerita rekaan.

    Alhamdulillah, banyak manfaat daripada penulisan di atas. Terima kasih, Tuan Hafiszi Othman.

    Wassalam.

  3. Si Adha ini mempunyai harga diri yang rendah. Apa yang dicari dan dimilikinya dalam hidup bukan untuk keperluan sendiri tapi semata-mata untuk ‘orang lain’. Untuk tidak ‘dikata’ orang. Kehidupannya dikuasai oleh ‘ketakutannya’ terhadap apa yang akan dikata orang jika dia tidak memiliki semua itu.

  4. Hafiszi Othman
    April 7, 2011

    SubhanalLah wa AlhamduliLlah. Semoga medan perkongsian ini adalah jariah yang berpanjangan. Saran tuan-tuan taulan adalah tonik semangat bagi saya untuk terus berbagi! InsyaAllah ada jalannya! 😉

Pendapat anda?