Bagaimana Selesaikan Kenaikan Kos Pengurusan?

February 23, 2015 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Kewangan / Pengurusan Kewangan

Isu kenaikan kos perniagaan bagai tiada titik noktah kepada usahawan. Adakah tindakan menaikkan harga jualan adalah jalan keluar berkesan untuk menanganinya? Jawapannya mungkin tidak sekiranya produk tersebut tertakluk pada harga kawalan atau produk mempunyai persaingan sengit.

Kenaikan harga jualan yang tidak selari dengan kenaikan harga pesaing boleh memusnahkan perniagaan. Maka, usahawan yang kreatif dan hebat sewajarnya memikirkan strategi menangani kenaikan kos dengan meningkatkan keberkesanan pengurusan kos. Untuk itu, usahawan mesti arif tentang karakter kos dalam perniagaan.

Tanpa kearifan ini, usahawan boleh terperangkap dalam situasi ‘pi mai pi mai tang tu’ atau selesai masalah lama timbul pula masalah baharu. Artikel ini menyentuh ringkas tiga karakter kos.

1. Kos Tetap atau Berubah?

Tanya dahulu persoalan ini, adakah kos yang meningkat itu berkadaran terus dengan unit aktiviti, ia boleh jadi unit pengeluaran atau unit jualan. Unit pengeluaran untuk firma pembuatan, manakala unit jualan untuk firma peruncitan. Jika tidak berkadaran dengan unit aktiviti, kos itu adalah kos tetap dan tidak lentur terhadap sesuatu keputusan yang diambil.

mercury

Contohnya kos sewa bulanan premis adalah tetap walaupun pada bulan berkenaan premis tidak beroperasi. Sebaliknya berlaku pada kos berubah seperti kos elektrik iaitu semakin banyak unit elektrik digunakan, maka semakin banyak kos yang dikenakan. Oleh itu, tumpukan strategi pengurangan kos pada kos-kos berubah seperti elektrik, pengangkutan dan overhed.

Antaranya, tingkatkan kuantiti pesanan untuk mendapat manfaat ekonomi skala. Bagi kos tetap pula, cari strategi untuk membolehkan kos tetap per unit dikurangkan. Antaranya, fikirkan strategi meningkatkan keberkesanan guna ruang, supaya baki ruang dapat disewakan kepada pihak ketiga.

2. Ada Nilai Tambah atau Tidak?

Persoalan seterusnya adakah sesuatu kos yang dilibatkan itu menyumbang kepada nilai tambah kepada perniagaan termasuk pelanggan. Jika perkara itu tidak menambah nilai kepada pelanggan dan penghapusannya boleh mengurangkan kos kepada perniagaan, mengapa tidak ia dihapuskan sahaja.

Sebagai contoh, terminal bayaran parkir, kaunter tol dan mesin ATM memberikan pilihan kepada pengguna sama ada mereka memerlukan resit bercetak atau tidak. Perniagaan lain pula seperti bank dan insuran memberi rebat atau keistimewaan kepada pelanggan yang menggunakan aplikasi atas talian.

Bank statement

Keadaan ini membantu firma menjimatkan kos cetakan dokumen atau penyata, pengeposan dan overhed berkaitan. Suatu masa dahulu, penyediaan beg plastik kepada pelanggan adalah kemestian kepada perniagaan runcit. Namun pada hari ini, sudah terdapat banyak perniagaan yang tidak menyediakan beg plastik, sambil mempromosikan amalan hidup yang lebih lestari dan mesra alam.

3.Boleh Kawal atau Tidak?

Tidak semua kos boleh terkesan oleh sesuatu tindakan yang akan diambil. Ada sesetengah kos yang tidak akan dapat dikurangkan walau apapun keputusan yang akan diambil. Jadi,usah buang masa terhadap perkara-perkara sebegini seperti komitmen pembayaran yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Kos berkenaan boleh dianggap berada di luar kawalan kerana ia tidak boleh diubah lagi. Fokuskan sahaja usaha untuk menjadikan kos ini tidak sia-sia. Fikirkan, bagaimana kos ini dapat memberi nilai kepada perniagaan? Lebihkan perhatian dan usaha kepada kos-kos yang boleh dikawal melalui keputusan yang akan diambil.

Kredit: Matsuyuki, Littleacomweb


Tags: , ,

Pendapat anda?