-
Pengiklanan Premium
Berjudilah, Pasti Kita Miskin
Ditulis oleh Pakdi pada 26 Jun 2011 dalam Tip Kewangan
“Kalau Manchester United menang kejuaraan liga, kau kena belanja aku makan 7 hari berturut-turut!” Cabar Azmir kepada Hakimi seorang penyokong Liverpool.

Sambil menggelengkan kepala, Hakimi pun berkata, “Azmir, itu dah jadi judi tu. Mana boleh kita bertaruh macam tu.”
“Mana ada judi, kita bukan pergi kasino, beli nombor ekor pun tidak, jual ‘mapiau’ jauh sekali. Macam mana jadi judinya pula? Kau takut Manchester United menang lagi?” Azmir cuba membuat provokasi lagi.
Sambil tersenyum Hakimi pun menerangkan, “Ini prinsip Islam. Bukan takut siapa menang siapa kalah bola. Bak kata orang, it is not Muslim Liverpool fan way.”
Azmir kelihatan kurang berpuas hati, “Mana kau tahu bab ni? Cecite cecite cecite…”
Adakah Pertaruhan Menepati Syariat Islam?
Barangkali situasi ini ada berlaku di kalangan kita. Cabar mencabar dan membuat pertaruhan untuk membolehkan pihak yang menang mendapat sesuatu daripada pihak yang kalah. Adakah ini sesuatu yang menepati syariat Islam?
Allah S.W.T mengharamkan judi berdasarkan al-Quran iaitu ayat 219, surah al-Baqarah dan ayat 90-91 surah al-Maidah. Dalam bahasa Arab judi dikenali sebagai qimar dan juga maysir. Maka ulama telah menggariskan prinsip untuk kita mengenal pasti sesuatu perbuatan itu jatuh dalam perbuatan judi atau tidak.

Judi merupakan perbuatan yang mensyaratkan si pemenang akan mengaut keuntungan dari yang kalah. Perjudian bermula apabila dua pihak meletakkan pertaruhan mereka, dan pihak yang menang akan mendapat semua pertaruhan tersebut. Manakala pihak yang kalah akan rugi semuanya.
Dalam erti kata lain judi adalah satu permainan zero-sum-game. Menang dapat semua, kalah hilang semua. Justeru kita mesti mengelakkan semua peluang buat duit yang bersifat sedemikian. Judi tidak terhad kepada kasino, nombor ekor dan pertaruhan sahaja.
Hari ini ada lagi pertandingan-pertandingan yang kita perlu berhati-hati, seperti pertandingan berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS), malah kita mesti mengelakkan daripada berjudi seperti dalam aktiviti sosial kita dengan rakan-rakan seperti dialog di atas.

Pelik tapi benar. Stastistik menunjukkan tauke judi sahaja yang jadi kaya raya. Tetapi masih ramai daripada kita mahu mencari jalan kekayaan dengan berjudi. Lihatlah bagaimana bisnes kasino berkembang menjadi syarikat yang besar di Bursa Malaysia, walau pun lokasi kasino itu terletak jauh di atas gunung.
Mendukacitakan juga akhbar-akhbar Melayu Islam penuh dengan iklan keputusan nombor ekor.
Mereka yang berjudi pasti miskin dan jika menang, kekayaan itu tidak kekal lama. Allah S.W.T telah menyebut hal bahana berjudi ini dengan jelas dalam surah al-Maidah ayat 90:
Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Ayat ini jelas memberitahu kita agar tidak berjudi. Kerana mereka yang mencari jalan kekayaan dengan berjudi pasti tidak berjaya. Kita juga akan hidup susah di dunia, dan keluarga tidak bahagia di akhirat berdepan dengan seksaan Allah sekali lagi.
Spekulasi vs Berjudi
Apa yang haram adalah berjudi dan bukan spekulasi. Inilah yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SC), menerusi dua mesyuarat pada 16-17 Oktober dan 26 November 1997.
Sekali imbas perbuatan spekulasi dalam pasaran saham kelihatan seperti aktiviti perjudian. Tetapi jika kita teliti dengan lebih menyeluruh, perbuatan ini tidak menepati ciri-ciri perjudian.
Pasaran saham merupakan tempat saham-saham syarikat diurusniaga dan jika kita membeli saham, maka kita telah memiliki ekuiti dalam syarikat, yang mana kita layak menghadiri mesyuarat tahunan mereka, memperoleh dividen dan lain-lain.

Justeru, apabila kita membeli saham kita telah memiliki sesuatu, dan bukannya kita membuat pertaruhan harga semata-mata.
Perbuatan individu yang menjadikan pasaran saham seperti tempat berjudi tidak cukup untuk menjadi asas, untuk menyatakan perbuatan spekulasi itu sama seperti berjudi. Cuma ada dalam kalangan kita yang mempunyai persepsi yang salah mengenai pasaran saham, tidak mempunyai ilmu pelaburan yang betul, dan akhirnya menjadikan pasaran saham untuk jadi cepat kaya.
Mari kita perhatikan, peniaga-peniaga di luar pasaran saham juga perlu mengumpul stok dan membuat spekulasi. Mereka sering berkira-kira untuk menjual stok barangan mereka dengan memperoleh keuntungan, iaitu menjualnya dengan harga lebih tinggi dari harga belian mereka.
Jika mereka kumpul stok pada harga yang rendah daripada harga harga pasaran semasa, maka sudah tentu mereka dapat menjual stok mereka dengan keuntungan. Jika berlaku sebaliknya maka mereka akan menghadapi kerugian.
Walaupun spekulasi tidak jatuh dalam hukum berjudi tetapi kita mesti tahu risiko yang kita ambil, apabila kita memilih jalan ini kerana bisnes adalah bisnes, ada untung dan rugi.
Bagaimana Kita Membantu Sektor Perjudian?
Kita mesti menjauhi judi. Kita juga mesti elakkan daripada membeli kaunter saham syarikat-syarikat judi. Jika kita masih menyimpan dalam akaun bank konvensional, kita juga masih membantu syarikat-syarikat perjudian.

Bank-bank Islam tidak akan memberikan pembiayaan kepada syarikat-syarikat judi. Justeru, pilihan yang ada untuk syarikat judi ini mendapatkan modal, adalah menerusi bank-bank konvensional.
Jika kita tahu bagaimana bank beroperasi, maka kita akan faham duit yang kita simpan itu dapat digunakan untuk dijadikan sebagai modal bank untuk memberi pinjam kepada syarikat judi. Untung akaun kita juga adalah hasil daripada syarikat judi.
Maka ini adalah satu lagi alasan untuk kita menjauhkan perbankan konvensional, walau pun akaun itu sekadar masuk duit gaji setiap bulan.
Insurans Konvensional
Menyertai skim insuran konvensional juga mendekatkan diri kita dengan perjudian. Operasi produk insurans yang kurang jelas dari sudut Shariah menyumbang kepada hal ini. Selain itu premium yang syarikat insuran terima daripada pelanggan juga dilaburkan dalam instrumen kewangan konvensional, yang terlibat secara langsung dengan perjudian.
Ini adalah antara perbezaan syarikat insurans dan syarikat takaful. Maka, kita jangan membeli lagi produk-produk insurans dan bertukarlah kepada produk takaful.
Inilah yang kita mesti buat setelah kita menjauhkan diri dari riba. Berkat dunia, selamat di akhirat.
Kredit gambar yang diambil dari Flickr (Daniel Ideris, Robby Virus, th2, elshabeeba)
Tags: cara betul beli insurans, hukum berjudi dalam islam, hukum membeli insurans, hukum membeli saham dalam islam, keburukan berjudi, pak di, panduan beli insurans, panduan melaburkan wang, Rancang Wang Dari Sekarang, saham dalam islam, tip kewangan dalam islam
Adakah artikel ini sangat berguna dan bermanafaat buat anda? Jika ya, isi nama panggilan dan email utama anda di bawah untuk menerima artikel terbaru terus ke email anda. Seramai 1468 orang yang telah mendaftar! Anda bila lagi?
Trackbacks/Pingbacks




Alhamdulillah syukur kerana memberikan artikel ini. Judi ini tak kira pertaruhan kecil atau besar yang penting konsep dia ialah satu permainan zero-sum-game. Saya rasa ramai tak tau terutamanya ber sms. Banyak dapat kita lihat sekarang. Boleh kongsi dengan kawan2 lain ni. Terima kasih atas perkongsian.
Terima kasih kembali tuan.
sehingga harini Azmir masih meminta saya belanja kalo man u menang.hahahaha
Ooo… ye ke? Hoho
em..so..janganlah berjudi..
Alhamdulillah penerangan yang santai….mudah difahami…banyak duit dengan cara mudah…tidak kemana
Terima kasih tuan Taza dan tuan Titan.
kalau kite main permainan..contoh bowling atau badminton…sape kalah, bayar makan.
adakah ini termasuk dalam kategori judi?
judi paling org tak perasan rasanya adalah pertandingan memancing…
Ya. Begitu hampir.