Berniaga Cara Islam – Secupak Jadi Segantang

June 29, 2012 — Penulis:

Kategori: Pembangunan Diri

Assalamualaikum dan salam kejayaan para usahawan yang dihormati sekalian

Dalam pada kita menempuh liku-liku kehidupan menggali rezeki Allah dimuka bumi ini, mahu tidak mahu, sebuah perniagaan yang berjaya serta berpengaruh sentiasa menjadi dambaan setiap orang yang bergelar usahawan dan juga peniaga.

Terlalu banyak teori-teori bisnes yang menjadi rujukan para usahawan dalam usaha memajukan perniagaan mereka.

Namun begitu, berapa peratus sahaja antara kita yang menjadikan teori perniagaan cara Islam sebagai garis panduan, dan batu asas ukuran kita dalam menjalankan urusan perniagaan.

Konsep Berniaga Cara Islam

Dalam artikel kali ini, saya akan berkongsi serba sedikit tentang beberapa isi penting konsep perniagaan cara Islam (yang menitikberatkan soal halal haram), yang boleh kita jadikan sebagai tanda aras kita dalam menguruskan bisnes kita.

“Rezeki secupak tidak akan jadi segantang”

Frasa ini adalah pepatah Melayu lama. Dalam pepatah ini ada kebenarannya dan ada juga kesalahannya. Seperti yang kita sedia maklum, rezeki setiap manusia itu sudah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi, atau sejak mula manusia itu diciptakan.

Sehinggalah manusia itu menghembuskan nafas yang terakhir. Ketahuilah bahawa setiap butir rezeki yang ditakdirkan Allah kepada kita telah disusun aturkan oleh Allah dengan sangat teliti.

beras-secupak-jadi-segantang-1

Oleh yang demikian, kita sebagai hamba-Nya, harus sentiasa bersyukur atas apa jua kurniaan dan rezeki yang Allah SWT limpahkan kepada kita. Ini sesuai dengan Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu merasa, bahawa rezekimu terlambat datangnya, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga telah datang kepadanya rezeki terakhir (yang telah ditentukan) untuknya, maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, iaitu dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” (HR. Ibnu Majah, Abdurrazzaq, Ibnu Hibban, dan al-Hakim, serta dishahihkan oleh al-Albani)

Namun begitu, timbul persoalan yang sentiasa bermain dihati,

“Kalau sudah ditakdirkan secupak, buat apa perlu kita ikhtiar lagi untuk mendapatkan segantang?”

Pendapat ini yang menjadi fahaman yang salah.

Siapakah yang tahu tentang secupak atau segantangnya rezeki seseorang. Tidak ada sesiapa yang tahu, melainkan Allah Yang Maha Memberi Rezeki.

Kita sebagai umat Islam tidak dibenarkan berfahaman sedemikian. Sebaliknya kita digalakkan untuk berusaha menggali rezeki semampunya.

Kemudian bertawakkal selepas berusaha. Menurut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakkal yang sebenar-benarnya, maka akan diberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana burung diberikan rezeki, yang mana ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang, penuh perutnya” (Hadith riwayat Tirmidzi, Hadith Hasan Sohih)

Rezeki Allah itu adalah satu ketentuan dan tidak perlu untuk kita takut kelaparan.

Kerana Allah SWT telah menjanjikan rezeki buat setiap hamba-Nya. Umpama seekor burung yang langsung tidak mengetahui di pohon manakah rezekinya akan ditemui, atau ulat manakah yang akan menjadi santapan keluarganya pada hari itu.

Yang paling penting, setiap pagi ia keluar mengepakkan sayapnya hinggap dari satu pohon ke satu pohon yang lain berusaha mencari rezeki.

Kepentingan Berkat Dalam Mencari Rezeki

Keberkatan dalam kita memperoleh rezeki sangat dititikberatkan dalam Islam. Setiap ‘secupak’ yang kita perolehi dan bagaimana kita membelanjakannya akan ditanya kelak. Hanya Allah SWT yang berhak dan layak mencukupkan keperluan manusia. 

Pernahkah anda membaca Sirah Nabi yang menceritakan tentang seperiuk makanan yang mampu mengenyangkan sebatalion angkatan tentera?

Ada juga kisah Raja yang mati kekenyangan dalam mahligai besar yang tersergam indah dipenuhi harta dan kemewahan dunia.

Semua ini kerja Allah; Rezeki, ajal dan jodoh semuanya hanya Allah yang berhak menentukannya, dan ianya menjadi rahsia Allah Yang Maha Agung.

Sekiranya kita berniaga, laksanakannya dengan jujur dan amanah. Ikut cara Rasulullah SAW berniaga. Baginda Rasulullah sangat terkenal dengan sifat amanahnya. Sehinggakan Baginda Rasulullah SAW digelar Al-Amin yang bermaksud ‘Yang Amanah’.

Sebahagian peniaga tidak jujur dalam urusannya, dan mengurangkan timbangan malahan yang lebih teruk lagi tertanam sifat dengki serta hasad terhadap pesaingnya dalam perniagaan.

Seperti menyantau atau menggunakan ilmu hitam semata-mata mahu menjatuhkan perniagaan pesaing.

Persaingan dalam perniagaan itu biasa, dan sebagai peniaga yang kreatif, kita perlu memikirkan cara untuk mengatasi persaingan dengan cara yang sihat iaitu tidak memburukkan atau menjatuhkan mereka.

KFC dan Kenny Rogers

Saya berikan Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Kenny Rogers sebagai contoh. Kedua-duanya bersaing dalam menyediakan hidangan berasaskan ayam. Namun yang membezakan mereka adalah KFC menyediakan hidangan ayam goreng.

kfcmalaysia

Manakala Kenny Rogers menyediakan ayam panggang. Maka, tidak timbul persaingan di situ, jika ada sekalipun ia adalah persaingan yang mudah diterima oleh pelanggan. Malahan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ada diantara pelanggan yang menyukai kedua-duanya sekali.

Ramai orang yang tidak belajar dengan betul tentang mengurus perniagaan, namun perniagaannya tetap utuh bertahun-tahun lamanya. Berapa banyak restoran yang makanannya tidak sedap dan suasananya tidak sehebat mana, namun pemiliknya tetap terus memperolehi rezeki dan keuntungan dari pelanggan.

Mungkin inilah yang dinamakan berkat dalam mencari rezeki. Jika halal sumber dan caranya, maka berkatlah hasilnya.

Rezeki yang diperolehi setiap orang berbeza-beza. Ada yang memperolehinya dengan cara yang mudah, ada yang memperolehinya dengan dengan cara yang sangat susah. Begitulah ketentuan Allah dalam pemberian rezeki.

Suka untuk saya kongsikan disini, kisah benar dalam perniagaan. Sebuah syarikat telah diminta untuk memberi rasuah supaya mendapatkan kemudahan bagi memudahkan urusan perniagaannya.

Demi menjaga amanah dan keberkatan, pemilik syarikat ini memilih untuk tidak menikmati kemudahan itu dengan tidak memberi rasuah. Agak sukar pada mulanya untuk beliau bersaing mendapatkan tender tersebut.

Namun, berkat tindakan beliau, akhirnya Allah telah mentakdirkan bahawa kemudahan itu tetap akan menjadi miliknya. Tidak berapa lama selepas itu, pegawai yang mengurus kemudahan itu bertukar, dan pengurus yang baharu membuat pertimbangan semula.

Akhirnya bisnesnya menerima kemudahan itu dengan cara yang tidak melibatkan rasuah. Subhanallah!

3 Etika Penting Dalam Perniagaan Islam.

Perniagaan cara Islam memerlukan beberapa etika dan garis panduan. Antaranya ialah:

#1 – Faham Konsep Rezeki Dalam Islam

Peniaga harus memahami konsep rezeki menurut Islam. Saya agak tertarik dengan kata-kata seorang pendakwah dari Indonesia,

“Manusia berlumba-lumba mencari rezeki, namun tidak berlumba-lumba mendapatkan Sang Pemberi Rezeki yakni Allah“. (Rujuk kuliah Zainal Abidin Syamsudin).

Konsep ini mudah, namun tidak ramai peniaga yang menyedari kepentingannya. Kita haruslah meyakini dan bergantung sepenuhnya kepada Allah, yang memberi rezeki bukannya bergantung kepada selain dari-Nya seperti tangkal dan lain-lain yang boleh mendatangkan Syirik.

#2 – Integriti dan Jujur Aset Utama

Peniaga harus menjadikan integriti dan kejujuran sebagai modal awal dalam perniagaan.

Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh yang baik tentang kepentingan sifat jujur dalam menguruskan perniagaan.

Kesan daripada sifat jujur Baginda menguruskan perniagaan, Baginda telah menarik minat seorang peniaga yang kaya-raya ketika itu Saiyidatina Khadijah, untuk berurusan dengan Baginda sebelum Baginda dilamar oleh Saiyidatina Khadijah.

#3 – Jaga Halal dan Haram

Menjaga batas halal dan haram dalam perniagaan. Yang paling jelas, Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Allah juga mengharamkan rasuah.

Islam dan Bisnes

Berdasarkan fakta, sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah peniaga yang hebat dan cemerlang. Begitu juga dengan sebahagian sahabat-sahabat Baginda, adalah peniaga yang berjaya dan kaya-raya.

secupak-jadi-segantang

Antara nama-nama masyhur termasuklah:

  1. Abu Bakar as-Siddiq,
  2. Uthman al-Affan dan,
  3. Abdurrahman bin Auf R.A.

Manakala contoh anak didik Baginda yang pernah direkodkan sebagai orang paling kaya di bumi Madinah adalah Anas bin Malik R.A.

Islam tidak melarang umatnya untuk mencari kekayaan dalam hidupnya. Malahan memberi kedudukan yang tinggi kepada hartawan yang dermawan.

Namun, jangan sekali-kali alpa tentang tanggungjawab yang telah Allah berikan iaitu menjaga amanah dan membayar zakat. Serta memperbanyakkan bersedekah supaya harta yang diperolehi sentiasa berkat dan subur.

Dalam satu hadith yang lain menceritakan tentang hasad kepada orang yang mempunyai harta banyak :

 

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ : رَجُلٍ آتَاهُ اللهُ مَـالاً فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ،

وَرَجُلٍ آتَـاهُ اللهُ عِلْمًا فَهُوَ يَعْمَلُ بِهِ وَيُعَلِّمُهُ النَّـاسَ ( مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

“Tiada hasad (yang dibolehkan) kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu ia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain.” (H.R Bukhari dan Muslim)

Sekian dahulu artikel untuk kali ini. Moga bertemu lagi dalam edisi seterusnya. Salam kejayaan dari saya, Hasryn Hamka.

Kredit gambar dari Flickr: aaron.knox,  Hajj1433hungrykittie


Tags: , , , , ,
seo

Laporan Percuma Dominasi Google Dengan Kuasa SEO

Muat turun segera secara percuma 7 rahsia dominasi Google dengan kuasa SEO.

Muat Turun Sekarang

Komen (6)

  1. “Rezeki secupak tidak akan jadi segantang” – dah peribahasa, maksud tersirat la…
    pada prg yg x faham makna tersirat / peribahasa anggap mana mungkin secupak tiba2 jadi segantang…. sihir ka :)

Pendapat anda?