Bisnes & Nikmat Berhari Raya

September 14, 2011 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Assalamualaikum, salam usahawan untuk tuan puan pewaris kerjaya Nabi, dan selamat hari raya idul fitri.

selamat hari raya aidilfitri

Sudah namanya orang bisnes, setiap apa yang kita lakukan, di manapun kita berada, apapun perayaan yang berlangsung, pasti kita akan memikirkan hal bisnes.

Menjelang tiba hari raya, tipikalnya sebilangan orang kita akan lebih memikirkan persiapan menyambutnya. Berapa pasang baju, corak langsir, warna sofa, dan ada yang lebih ekstrem, model kereta baru!

Satu lagi perkara yang sejak awal tahun lagi sudah mula difikirkan ialah ‘cuti raya’.

Tuan puan usahawan yang budiman, berapa bilangan hari untuk cuti raya sepatutnya tidak difikirkan secara keras oleh kita.

Sering sahaja saya lihat begitu banyak kedai-kedai yang diusahakan oleh orang Melayu ditutup berhari-hari sepanjang hari raya. Ada yang ditutup selama seminggu!

Benar, hari raya adalah masanya untuk kita balik kampung, kunjung mengunjung, ziarah menziarahi dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kita ada masa sebulan bagi melakukan itu semua.

Sambutan Berlebih-lebihan Membunuh Bisnes

Perhatikan rakan-rakan usahawan kita yang berbangsa Cina semasa perayaan mereka. Selepas makan besar bersama keluarga, mereka menutup kedai selama sehari dua sahaja. Malah ada juga yang terus berniaga keesokan harinya.

tahun baru cina

Sebenarnya, tuan puan. Apabila kita perhatikan, hari cuti umum dan cuti perayaan beginilah kita berpotensi mendapat lebih ramai pelanggan daripada hari biasa. Pada hari biasa, pelanggan kita berada di pejabat dan tempat kerja masing-masing. Maka pada hari mereka cutilah ‘hari raya’ untuk bisnes kita.

Saya meneliti laporan jualan kedai buku saya, sehari sebelum raya dan selepas kami kembali beroperasi pada hari raya ketiga. Jualan sepanjang musim cuti raya untuk para penerima gaji ini adalah lebih tinggi daripada jualan pada hari biasa.

Ini bukanlah bermaksud kita sebagai usahawan tidak layak bercuti pada hari raya. Kita juga layak bercuti dan balik kampung seperti para penerima gaji. Bezanya, kita adalah USAHAwan. Kita mengusahakan perniagaan kita sendiri, daripada A hingga Z.

Jika kita tidak berusaha keras, kita tidak dapat memberi diri kita sendiri makan, apatah lagi memberi keluarga kita makan. Pendapatan kita bergantung kepada jualan yang kita usahakan sendiri, bukannya wang upah yang dimasukkan ke dalam akaun kita setiap bulan.

Mengorbankan Diri Di Hari Raya

Saya tabik kepada usahawan muslim yang berniaga di gerai-gerai makan R&R sepanjang lebuh raya. Mereka sanggup mengorbankan cuti raya dan menjalankan perniagaan seperti biasa. Kita sedia maklum betapa ribuan kenderaan melalui lebuh raya pada malam raya, raya pertama, kedua dan dalam musim cuti raya.

usahawan di jalan tar

Kita ketepikan soal tamak dalam hal ini. Tuan puan bayangkan, jika kita terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya. Sehingga perjalanan tujuh jam menjadi dua belas jam. Sudah tentulah kita memerlukan rehat, solat, membersih dan menyegarkan diri, makan, tidur dan sebagainya di sepanjang tempoh yang panjang itu.

Andai kata tiada gerai makan muslim yang dibuka, apa yang akan berlaku kepada kita, apatah lagi kepada anak-anak kita yang masih kecil? Maka di sinilah peluang kepada para usahawan R&R. Selain memperoleh keuntungan untuk diri sendiri, dapat juga memberi kekenyangan dan keselesaan kepada para pelanggan yang bermusafir jauh dan lama.

Apabila kita dapat membantu mereka berjalan dengan selesa, mereka dapat memandu dengan baik, dan selamat tiba di kampung masing-masing. Nah, bukankah berlaku rantaian pahala di situ?

Samalah juga kita yang berbisnes kedai runcit, misalnya. Di musim perayaan, orang ramai memerlukan banyak barangan bagi digunakan. Tepung, gula, beras, air minuman, kelapa parut, asam keping, pinggan kertas, tisu dan sebagainya.

Pelanggan Sentiasa Memerlukan Peniaga Setiap Masa

Tuan puan, bayangkan jika kita menutup kedai selama seminggu, ke mana pelanggan kita akan pergi bagi mendapatkan keperluan mereka itu? Apa pula akan terjadi kepada sambutan raya mereka?

kedai tutup sempena raya

Pesanan ini juga untuk pekedai yang memilih menutup kedai pada hujung minggu, di waktu pelanggan berkelapangan mengunjungi kedai kita.

Tuan puan, hakikatnya kita sebagai usahawan perlu lebih berkorban daripada rakan-rakan kita yang menerima gaji setiap bulan. Pengorbanan kita yang sedikit itu dapat memberi kebahagiaan kepada para pelanggan. Bak pesan mentor saya supaya menangguhkan kepuasan.

Apabila kedai kita sudah mempunyai empat atau lima cawangan nanti, insyaAllah pengorbanan kita pada hari ini akan terasa begitu manis dan berbaloi-baloi.

Sudah pasti sebagai usahawan yang disayang Tuhan dan dikasihi keluarga, kita juga perlu masa untuk berbakti kepada keluarga kita sendiri. Justeru, langkah-langkah berikut dapat kita praktiskan demi menjaga hubungan dengan Tuhan, hubungan dengan keluarga dan hubungan dengan pelanggan. InsyaAllah.

  1. Peruntukkan maksimum dua hari untuk cuti hari raya.
  2. Tampalkan notis di pintu kedai bagi memaklumkan tempoh kedai ditutup dan tarikh dibuka semula.
  3. Maklumkan tarikh tutup kedai kepada pelanggan melalui kad atau emel ucapan hari raya.
  4. Berbincang dengan keluarga dan maklumkan tarikh dan tempoh kita akan pulang berhari raya supaya isu berkecil hati dapat dielakkan.
  5. Dapatkan persetujuan keluarga bagi memilih tarikh sekeluarga berkumpul di kampung.
  6. Persiapan raya untuk diri dan keluarga sendiri dibuat berbulan-bulan lebih awal. Apabila hari raya menjelang, kita tidak lagi sibuk memikirkannya seperti orang lain yang sibuk memerlukan barang jualan kita pada waktu itu.
  7. Paling penting, pastikan bisnes kita mendapat restu keluarga. Apabila keluarga merestui, insyaAllah isu ‘pulang sekejap ke kampung’ akan mudah difahami.

Mudah-mudahan apabila kita banyak berkorban dan memberi, Tuhan akan membalas dengan nikmat dan rahmat yang melimpah ruah banyaknya. Amin.

Maaf zahir batin.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (kayodeokdatalineanickueangah316)


Tags: , , , , , , ,

Komen (8)

  1. Terima kasih atas perkogsian info. Memang menarik terutamanya ayat menangguhkan kepuasan bagi saya. Pendapat saya bagus kita cuti hari raya selama 2 hari sahaja tetapi kita sebagai bos biarlah anak buah kita uruskan perniagaan kita dan kita menyambut cuti raya setahun sendiri. Bagi ganjaran bulan syawal selain bonus bulan Ramadhan kepada pekerja kita. Sekadar pandangan biasa sahaja.

    1. Terima kasih, tuan. Benar dan setuju untuk usahawan yang sudah mampu memiliki staf sendiri. Masih ramai yang belum mampu mengupah staf, dan mengusahakan semuanya sendiri.

  2. saya mmg suka entry ini. kebanyakan kedai melayu akan tutp sehingga seminggu minima jika hari raya. ini akan menyebabkan pelanggan lari ke kedai lain dan seterusnya kita bakal kehilangan pelanggan yang setia. Cuma disebabkan cuti hari raya…

  3. Saya suka 7 tips di atas 🙂
    Ternyata tidaklah sesukar manapun untuk ‘berterus terang’ kepada kaum keluarga bahawa kita harus pulang sedikit awal ke ibu kota untuk menguruskan urusan perniagaan. Jika semua diatur dan dirancang seperti yang ada di atas, masalah salah faham mungkin tidak akan berlaku.

    Tahniah atas perkongsian yang hebat ini!

  4. Kalau kita jenis orang yang setahun sekali raya baru balik jumpa ibu ayah. Ibu ayah akan marah kalau cuti raya sekejap sahaja. Kalau biasa balik jumpa ibu ayah, cuti sehari raya pun mereka tidak akan marah.

Leave a Reply to Ahmad Tarmizi Batal (Cancel)