The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.
  • Bisnes & Nikmat Bermentor

    Assalamualaikum, salam sejahtera kepada Tuan Puan, pembaca Majalah Niaga yang sentiasa dalam jagaan dan rahmat Tuhan.

    bisnes & nikmat bermentor

    Kebelakangan ini, banyak rungutan yang saya dengar mengenai kelompok niagawan muda lagi mentah, masuk ke dalam industri niaga tanpa ilmu yang cukup lalu menjadi pencemar pasaran (market spoiler).

    Contohnya dalam bidang latihan, ada sekelompok mahasiswa yang baru bergraduasi, tidak ada pengalaman kerja dan hanya bersandarkan sekeping kertas bercetak ‘ijazah’, terus sahaja membuka perniagaan konsultasi motivasi dan mula memasuki sekolah-sekolah dengan gelaran ‘motivator’.

    Akibatnya, guru-guru mendapati mereka yang meletakkan caj rendah ini sebenarnya sangat cetek pengalaman dan khidmat latihan yang diberi begitu teruk, yakni mesej ‘motivasi’ itu tidak sampai.

    Memiliki Mentor Sebagai Panduan Untuk Berjaya

    Lao Tzu, seorang ahli falsafah China mengatakan,

    “Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama.”

    Sebagai orang muda yang berkobar-kobar semangat mahu menjadi seorang niagawan yang berjaya, walau kobaran semangat itu menyala setinggi langit sekalipun, ia tetap perlu dimulakan dengan langkah pertama.

    Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama

    Kebiasaannya orang menyebut, langkah pertama bagi memulakan sesuatu kerja adalah dengan mendapatkan pengalaman. Walau bagaimanapun, pengalaman tanpa panduan, melambatkan proses kejayaan.

    Sebelum melangkah buat kali pertama, kita perlu berguru dan mendapatkan panduan daripada orang yang sudah punya pengalaman terlebih dahulu. Kita perlu bermentor terlebih dahulu!

    Mengapa Perlu Bermentor?

    Kita sebagai manusia, menjalani hidup yang pelbagai corak dan warna. Justeru, bagi menghadapi corak dan warna itu, kita memerlukan bimbingan supaya dapat melepasinya dengan baik.

    Seorang bayi, yang baru mahu belajar berjalan. Dia bermentor dengan ibunya melalui sesi bertatih. Ibunya mementori sehingga dia sendiri pandai berjalan, berlari, melompat dan memanjat.

    Nabi Muhammad yang kita kasihi, bermentor dengan bapa saudaranya Abu Talib lebih sepuluh tahun dalam bidang perniagaan.

    Malah, ada dicontohkan dalam Quran. Qabil, manusia pertama yang melakukan pembunuhan, belajar cara mengebumikan mayat dengan hanya bermentorkan seekor burung gagak!

    (QS Al-Maidah 5:31).

    Siapakah Mentor Kita?

    Mentor perlulah seorang yang berpengalaman luas, memiliki rekod baik dan boleh dipercayai. Mentor yang dipilih perlu seiring bidangnya dengan kita. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam proses berguru, kerana bidang niaga itu pelbagai.

    Contohnya, niagawan sukses dalam bidang kosmetik sukar memahami cara kerja kita yang berniaga dalam bidang permotoran.

    Berapa Ramai Mentor yang Perlu Kita Ada?

    Tiada had bagi jumlah mentor. Saya berikan contoh diri saya sendiri. Saya mempunyai ramai mentor, yang berkaitan dengan aktiviti kerjaya saya. Mentor saya dalam bidang penulisan ialah Tuan Abdul Latip Talib dan Tuan Bahruddin Bekri, dan ada beberapa orang lagi sahabat penulis yang saya lantik sebagai mentor secara diam-diam.

    Dalam bidang training, saya bermentor dengan Tuan Mohd Rizal Hassan (Take Charge!) dan Tuan Osman Affan (SmartStudy). Dalam bidang perniagaan kedai buku Bacha, saya bermentor dengan Tuan Zain Nassri Aziz, pemilik kedai buku Keliki dan Tuan Mohd Fakhrulrazi Safiai, pemilik kedai buku Ash-Shafie.

    Tuan Adly Mukhtar sebagai mentor saya dalam bidang perniagaan internet. Dan bagi kesemua bidang ini, mentor yang saya gelarkan sebagai Sifu pula adalah Puan Ainon Mohd., Pengerusi Kumpulan PTS, kerana beliau adalah seorang penulis, trainer, dan niagawan berjaya.

    Sahabat trainer saya, Tuan Shamsuddin Kadir memiliki lebih ramai mentor. Sesiapa sahaja orang berilmu yang beliau temui, beliau akan menjadikannya mentor.

    Walhal beliau sendiri adalah mentor kepada begitu ramai mentee yang lain. Malah saya juga menjadikan beliau sebagai mentor saya, dalam bidang ‘memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali’!

    Memilih Mentor Tanpa Mengira Kelayakan Akademik

    Ya, kita boleh memilih sesiapapun sebagai mentor kita. Tanpa mengira usia, kelulusan akademik, dan jantina. Mentor yang kita pilih itu tahu atau tidak, itu soal kedua. Saya juga mempunyai mentor secara jarak jauh dan tidak diketahui oleh mereka, iaitu Donald Trump dan Chef Gordon Ramsey.

    gordon ramsay

    Apa yang lebih penting adalah kita sendiri mengangkat mentor kita itu di hadapan rakan-rakan lain sebagai penghargaan tertinggi buat mereka.

    Pastinya mentor paling agung adalah Tuhan yang Maha Pembimbing, dan Nabi Muhammad yang sentiasa mengambil berat tentang kita semasa hidup dan matinya, dengan Quran dan hadis sebagai manual utama.

    Mudah-mudahan bisnes Tuan Puan akan menjadi lebih mantap, rezeki bertambah murah dan kehidupan bertambah nikmat dengan adanya mentor.

    Salam kebahagiaan sampai sorga. Jumpa lagi!

    Kredit gambar yang diambil dari Flickr (agmmad, krawcowicz, chaptersindigo)

    Pengiklanan Premium

    Tags: , , , ,

    Azzah AR merupakan seorang usahawan, penulis dan jurulatih bertauliah dari Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Antara buku motivasi yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sebenar seperti Pilih Jangan Tak Pilih.

    Visit author's website

    Adakah artikel ini sangat berguna dan bermanafaat buat anda? Jika ya, isi nama panggilan dan email utama anda di bawah untuk menerima artikel terbaru terus ke email anda. Seramai 1468 orang yang telah mendaftar! Anda bila lagi?

    1. Sham EdyMart pada 06 May 2011

      Salam, Artikel yang menarik…
      Pandangan saya, memang amat penting untuk memilih mentor dalam apa jua bidang…dan pada pengalaman saya, mentor tersebut haruslah tidak mempunyai kepentingan dalam sesuatu yang kita lakukan…dan kita juga sebagai mentee, tidak mengambil kesempatan…

      Sudah tentunya kedua-dua mentor dan mentee akan mendapat kelebihan bersama…atas aktiviti mentor mentee yang berterusan…

      Saya sendiri mempunyai mentor dalam bidang perniagaan internet yang dilakukan… dan sentiasa meminta nasihat dan pandangan beliau… tidak semestinya ikut 100% tetapi sesuaikan pandangan beliau dengan apa yang kita lakukan … “Brain Storming”.

      InsyaAllah, kejayaan menanti anda …

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        Salam, terima kasih. Saya bersetuju dengan pandangan Tuan :)

    2. haru pada 06 May 2011

      betul..sy juga mempunyai beberapa mentor sndri dan adly juga termasuk dlm senarai sy wlpun kami sama umur tp pengalaman die jauh melebihi drpd sy dlm bidang die ceburi..

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        Betul, betul. Mentor tidak mengira usia :)

    3. zulfadhli zulpress pada 06 May 2011

      salam, terima kasih atas perkongsian ilmu ini.
      benar, mentor amat penting. kalau dahulu kita perlu berjalan beribu batu mencari ilmu, tapi sekarang segala maklumat boleh diperoleh di hujung jari sahaja.

      namun, disinilah kita perlu pandai menapis pelbagai maklumat yang diperoleh dengan ilmu yang ada dan juga dengan tunjuk ajar guru/mentor…kerana mereka lebih mahir/pakar dalam bidangnya dan mempunyai pengalaman yang banyak.

      paling penting ialah pilih mentor atau guru yang baik dan memberikan ilmu bermanfaat contoh teladan pada kita, apa yang baik daripadanya kita amalkan dan apa yang tidak baik dijadikan sempadan.

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        Salam, terima kasih kerana sudi membacanya. Saya setuju. Mentor juga manusia biasa yang ada kelemahan, jadi atas kebijaksanaan kita bagi menapisnya.

    4. Zulhilmi Zainudin pada 06 May 2011

      Saya bersetuju dengan apa yang puan kongsikan. Benar. Proses pembelajaran seharusnya ada mentor. Belajar, bertanya dan terus bertanya. Dalam masa yang sama, kutip dan ‘celup’ mana yang baik yang boleh dijadikan teladan :)

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        Terima kasih Tuan Zulhilmi. Benar, kita mesti rajin bertanya kemusykilan kita kepada mentor. Dan ada satu konsep dalam bermentor iaitu ‘menadah ilmu’. Semasa mentor memberi penerangan, kita diam. dengar dan menadah ilmu. Selepas selesai barulah kita kemukakan soalan.

    5. ahmadyani pada 06 May 2011

      Selepas ini saya mesti menyenaraikan mentor-mentor dalam bidang yang saya minati. Kemudian belajar apa yang mereka buat. Kemudian amal seperti apa yang mereka buat.

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        Selamat bermentor Tuan Ahmad Yani!

    6. sayacomel pada 08 May 2011

      emmm..yap. banyak dah mentor. Alhamdulillah, berjaya buat apa yang kita buat dan dapat hasilnya.

    7. Raihan Anas pada 10 May 2011

      Salam Azzah…terima kasih kerana berkongsi, artikel yg menarik..

      Soalan saya bagaimana caranya nak ‘melamar seseorang sebagai mentor kita’….boleh ceritakan sikit prosesnya dari pertemuan pertama dgn mentor kemudian saat meminta utk dia jadi mentor, pernahkah ada yg menolak …..dan bagaimana hubungan mentor mentee itu terjalin…klu Azzah ada masa boleh tulis utk share satu pengalaman bermentor, termasuka apa respon mentor itu dan syarat2 yg mungkin dikenakan, dan sebagainya perkara2 yg mungkin tak dijangka….untuk rujukan saya dan mungkin ramai yg berminat nak bermentor…

      Terima kasih Azzah, Semoga Allah SWT membalas sedekah perkongsian ini…

    8. edysyahrul pada 10 May 2011

      sudikah cikpuan Azzah menjadi mentor saya untuk memulakan langkah pertama saya ke dunia training & consultancy?

      • Azzah AR pada 10 May 2011

        InsyaAllah, Tuan. Saya bantu sekadar termampu. Jika ingin lebih ramai mentor dalam bidang ini, mari ke TAMRIN Sharpen the Saw! :D

    9. Akhi Firdaus pada 10 May 2011

      Saya tahu saya sedang melangkah ke jalan yang lurus hasil tunjuk ajar Mentor dan Sifu.Terima kasih cik puan Azzah Abdul Rahman.

    10. Azzah AR pada 10 May 2011

      Tuan Puan yang dimuliakan,

      Di sini saya tambahkan beberapa tip umum bagi bermentor:

      1. Tadah ilmu. Semasa mentor berkongsi ilmu, dengar sambil diam. Ada orang jenis tidak sabar-sabar, suka mencelah dan bertanya di tengah-tengah perkongsian. Perlu sabar, kerana mungkin jawapan kepada soalan kita itu, kita boleh dapat selepas selesai sesi perkongsian. Andaikan, mengapa kita patuh sahaja kepada solat 5 waktu dan tidak mempersoalkan mengapa hanya 5 waktu? Mengapa perlu rukuk, sujud? Sebab kita percaya perintah dan ajaran Tuhan itu tentulah yang terbaik dan ada rasionalisasinya. Dan kita hanya dapat jawapannya selepas kita melakukannya berulang kali. Begitu juga dengan mentor yang lebih banyak pengalaman daripada kita. Setiap ajaran dan perkara yang disuruh kita buat, pastilah yang baik dan ada rasionalisasinya.

      2. Bertanya. Bertanya selepas puas mencari sendiri jawapan dan tidak berjumpa. Atau bertanya bagi mengesahkan sesuatu info.

      3. Berdamping. Berdampingan dengan mentor, dan juga mentee-mentee lain yang bersifat mendorong. Hadir ke mana sahaja ada kursus atau talk atau apa sahaja sesi perkongsian ilmu yang diadakan oleh mentor kita. Walaupun sudah banyak kali pergi, atau kita rasa tajuknya tidak berkaitan dengan kita. Pasti ada sekurang-kurangnya satu ilmu yang baru dan berguna. Pasti.

      4. Inspirasi ulama masa silam. Para imam besar zaman silam, merantau jauh meninggalkan negeri dan keluarga bagi menuntut ilmu dengan mentor mereka. Ini namanya pengorbanan masa dan tenaga demi ilmu. Mentor juga tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebagaimana ibu bapa tidak mengharapkan balasan daripada anak-anak. Imam-imam besar dahulu, membalas budi mentor mereka dengan membersihkan kawasan rumahnya, menjerang air, mencari kayu api dsb. Jadi kita di zaman ini boleh melakukan kaedah yang sama yang bersesuaian.

    11. Mohd Hamzahri Bin Abd Hamid pada 11 May 2011

      Terima kasih atas perkongsian yang sangat berguna.. Sangat bersetuju mengenai perlu adanya mentor untuk kita terus berjaya. Pengalaman diri sendiri pada peringkat awal berniaga tanpa mempunyai mentor agak sukar untuk berkembang dalam perniagaan sehinggalah saya mendapatkan mentor dalam memberi galakan dan tunjuk ajar dan alhamdulillah proses untuk mencapai matlamat menjadi sangat mudah. Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk terus berkongsi ilmu seperti cik puan Azzah demi kebaikan bersama.

      Terima kasih!

      • Azzah AR pada 13 May 2011

        Terima kasih Tuan Hamzah kerana sudi membaca dan bersetuju. Terima kasih juga atas doanya. Semoga kebaikan bermentor ini dapat disebarkan kepada rakan-rakan trainer kita yang baru mula berniaga sendiri, insyaAllah :)


    Tinggalkan Komen Anda