-
Pengiklanan Premium
Bisnes & Nikmat Kerja Keras
Ditulis oleh Azzah AR pada 09 Jun 2011 dalam Inspirasi Usahawan, Tip Perniagaan
Assalamualaikum, salam sejahtera kepada Tuan Puan, para usahawan dan bakal usahawan yang sentiasa disayang Tuhan.

Apabila membuat keputusan berhenti kerja makan gaji bagi berbisnes sepenuh masa, bermaksud kita memilih bagi bekerja lebih keras daripada sebelumnya, dan bersedia menghadapi segala jenis cabaran mental, fizikal dan emosi.
Bisnes adakalanya disalah tafsir sebagai jalan keluar daripada situasi berat, dan beban kerja yang berlaku dalam kerjaya makan gaji. Berputus asa dengan kerenah majikan, bosan dengan politik pejabat, berasa gaji yang diperoleh tidak berbaloi berbanding kerja yang diusahakan, dan pelbagai alasan lagi diberikan.
Jadi, jalan akhir yang terlihat adalah berhenti kerja makan gaji dan memulakan bisnes sendiri.
Pengalaman Hijrah – Makan Gaji ke Bisnes Sendiri
Mohon izin saya berkongsi kisah. Saya nekad berhenti kerja makan gaji pada hujung tahun 2007. Kerja saya yang terakhir adalah sebagai Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kerja yang saya paling suka, malah inilah kerja makan gaji paling lama pernah saya lakukan, iaitu selama empat tahun.

Sebelumnya, paling lama saya bertahan 10 bulan sahaja di sesebuah tempat kerja. Menjadi jurulatih PLKN – duduk sepenuh masa di dalam kem, mendepani kerenah pelatih yang pelbagai latar belakang kehidupan, berurusan dengan pegawai tentera dan awam, tidur tidak tentu masa dan pelbagai lagi kisah manis pahit yang dihadapi menjadikan ia sebagai kerjaya makan gaji terbaik dan paling berharga pernah saya alami.
Nekad berhenti dari PLKN semasa saya masih diamanahkan sebagai Ketua Jurulatih Modul Kenegaraan & Khidmat Komuniti. Dalam fikiran saya, bukanlah kerana bosan atau rasa terbeban dengan kerja menadah muka kepada cahaya matahari dan embun itu.
Saya berhenti kerana berfikir, ‘Aku sudah empat tahun melakukan kerja ini. Aku mahu kerja begini sehingga bila?’ Ya, saya mahu perubahan!
Bermula tahun 2008, saya bergerak sendirian dalam bisnes. Sejak itu, saya bekerja keras menempatkan kompeni saya dalam industri latihan. Saya ke sana ke sini menyertai pelbagai kursus dan bengkel berkaitan. Saya sewa ruang pejabat dan menjadikannya bilik latihan yang kecil.
Hasil Kerja Keras Selama 3 Tahun
Saya beli , rujuk dan baca berpuluh-puluh buku dalam bidang bisnes dan latihan, . Saya mula aktif dalam Facebook dan berkawan dengan orang-orang hebat dan berjaya. Waktu dan tarikh mula tidak menentu.

Makan dan tidur mula berterabur. Semuanya saya kuatkan juga kerana bisik saya pada hati,
‘Sakit ini hanya pada permulaan, dan aku tidak akan berpatah balik!’
Alhamdulillah, empat tahun bekerja keras dalam bidang yang mencabar ini, Tuhan beri rezeki kepada saya bagi menubuhkan kompeni kedua iaitu Hero Edutaining Services, membuka Kedai Buku Bacha di Kuala Pilah, dan terkini, mengubah suai bilik latihan yang ada komputer menjadi bilik latihan bentuk kelas dan dinamakan Akademi Hero.
Ini adalah hasil berbisnes bukan kerana putus asa makan gaji. Ini adalah hasil kerja keras.
Persepsi ‘bisnes adalah jalan keluar daripada tekanan kerja makan gaji’ adalah salah sama sekali. Tidak ada kerja yang tiada tekanan. Bergantung kepada kita bagaimana mengendali, menghadapi dan mengawalnya.
Melihat kawan-kawan yang berbisnes mempunyai masa lapang yang banyak, waktu kerja yang amat fleksibel, pendapatan bersih terus masuk ke poket sendiri, juga menjadi antara penyumbang hati kita terdorong mengikut jejak mereka.
Realiti Bisnes – Kerja Keras Kunci Kejayaan
Ketahuilah, Tuan Puan yang saya hormati. Bisnes tidak semudah yang dilihat. Malah, saya percaya ramai ahli bisnes yang bersetuju dengan kenyataan saya ini iaitu, ‘bisnes memerlukan kerja keras yang berganda-ganda, berbanding kerja makan gaji.’

Tuan Puan, dalam bisnes, tiada pelanggan bermaksud tiadalah makan.
Dengan rendah diri, saya berpesan; apabila ada keinginan berbisnes, perlu bersedia untuk kerja keras. Keluarkan sementara dari kamus kehidupan kita, istilah rehat dan cuti. Maka keluarga perlu diberi penjelasan supaya mereka mengerti.
Biasakan diri dengan istilah ‘modal hangus’. Maka bersedialah mengikat perut dan menangguhkan kepuasan.
Saya menyampaikan pesan ini kerana sudah ramai kakitangan kerajaan dan swasta yang berhenti kerja dan mahu berbisnes, berkelakuan seperti bayi yang menunggu disuap makanan. Jika ibunya tidak menyuap, maka dia akan menangis kelaparan.
Maklum sahaja, ketidakupayaannya berfikir dan bergerak menghalang dia mencari dan menyuap makanan ke mulut sendiri.
5 Tip Kejayaan Bisnes

- Usah mengharap orang memberi ilmu, sebaliknya kita sendiri perlu kerja keras mencari dan mendapatkan ilmu.
- Usah mengharap orang menyediakan semuanya, sebaliknya kita sendiri perlu kerja keras mendapatkannya.
- Usah berfikir mahu copy paste hasil kerja orang berjaya, sebaliknya usaha dan kegigihan orang berjaya itu yang perlu kita copy paste dalam diri.
- Usah harap orang menyuap, kita sendiri belajar cari makanan di dapur dan suap ke mulut.
- Usah harap orang berikan ikan, kita sendiri beli joran dan mata kail, dan pancinglah ikan untuk dimakan.
- Usah duduk mengharap malaikat membawa turun syurga ke rumah kita, sebaliknya kita yang perlu berusaha dan kerja keras sehingga Tuhan perkenankan para malaikat mengangkat kita ke syurga.
“Bekerjalah kamu untuk duniamu seakan kamu hidup selamanya, dan bekerjalah kamu untuk akhiratmu seakan kamu mati esok hari” [Abdullah bin Umar Al-Khattab]
Mudah-mudahan dengan kegigihan dan kerja keras, bisnes Tuan Puan akan menjadi lebih sukses, malah suksesnya membawa hingga ke sorga.
Jumpa lagi!
Nota kepada pembaca: Mohon baca artikel Bisnes & Nikmat Risiko selepas membaca artikel ini.
Kredit gambar yang diambil dari Flickr (penzes, masri, mynasir, ninas_photos)
Tags: azzah abdul rahman, bisnes dan nikmat kerja keras, cara untuk berjaya dalam perniagaan, rahsia usahawan berjaya, sifat seorang usahawan berjaya, tip bisnes, tip kejayaan bisnes
Adakah artikel ini sangat berguna dan bermanafaat buat anda? Jika ya, isi nama panggilan dan email utama anda di bawah untuk menerima artikel terbaru terus ke email anda. Seramai 1468 orang yang telah mendaftar! Anda bila lagi?




Bercakap mengenai kerja keras, saya kagum dengan Irfan Khairi. Dia telah mengadakan 2 mini seminar dalam 1 hari di mana satu seminar memakan masa lebih kurang 4jam. Menurut pekerjanya, sikap beliau memang begitu , biar penat asalkan dapat memuaskan hati.
Betul, Tuan. Orang yang bekerja keras, tidak akan berasa penat kerana kerja keras adalah passion-nya. Kepuasan hati lebih utama.
Teringat juga ceramah dr fadzilah kamsah, buat kerja biar bersungguh-sungguh dan dengan penat lelah, baru kita berpuas hati dengan hasil kerja kita yang sempurna.
Benar sekali
Posting kali ni memang memberi inspirasi. Memang betul, buat bisnes bukannya mudah dan jalan keluar kepada kerja makan gaji. kedua-dua pekerjaan tersebut ada kelebihan masing-masing.
Terima kasih, Tuan. Ya, keduanya ada kelebihan masing-masing. Sebagai manusia yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian, kita pasti tahu apa yang lebih baik untuk diri kita sendiri
Terima kasih atas artikel ini. Ia memberi peringatan dan manfaat kepada mereka (saya) sebelum membuat keputusan besar itu.
Terima kasih kembali. Mudah-mudahan Tuan dapat membuat keputusan terbaik untuk diri Tuan sendiri, insyaAllah.
Terima kasih atas artikel yang diberikan.Memang betul bukan senang nak jadi senang.Memang berbeza antara kerja makan gaji dgn kerja sendiri.Kita malas tak ada ‘sesuap nasi’ utk kita. Mana2 kerja ada masalah dan tekanan.Bagi saya biar kerja dgn org dahulu sebelum kerja sendiri kerana ingin mencari pengalaman dan kenal antara satu sama lain.Satu tindakan yang berani utk merubah diri anda.Syabas.
Terima kasih kembali. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Tuan. Setiap orang yang ingin berbisnes, mesti kerja makan gaji dahulu bagi mendapatkan pengalaman dan pembelajaran.
Perkongsian yg sangat bermanfaat dan memberi seribu inspirasi…terima kasih Azzah.
Saya sangat kagum dengan org yg berniaga…konsep Tawakkal mereka adalah yg tertinggi, pergantungan hanya pada Allah SWT setelah berusaha bekerja keras…tiada pergantungan pada majikan dan makhluk2 ciptaan Allah yg lain yg juga rezkinya diberi Allah SWT…dan sudah pasti tawakkal pada Allah itu pasti meningkatkan lagi iman dan amal kerana bimbang takut2 Allah menarik rezkinya…sedangkan org yg makan gaji walau berbuat dosa dan kurang amal tidak risau kerana cukup bulan tetap masuk gajinya…
Saya juga sedang dalam proses utk memulakan perniagaan…doakan semoga perniagaan yg kita jalankan sama2 semakin menambah iman dan amal kita dengan konsep tawakkal yg tinggi dan sepenuhnya hanya pd pencipta kita…amin.
Amin. Terima kasih Puan Raihan. Mudah-mudahan segala yang terbaik untuk Puan. Amin.
Artikel yg mengimbas kembali kerja keras saya yg bermula 6 tahun sudah.. Manisnya barulah dapat dirasai sekarang.Bila saya fikir semula ia bukan sekadar kerja keras tetapi passion terhadap sesuatu perkara menyebabkan kita seronok dalam melakukan sesuatu perkara itu dan menyebabkan kita tidak boleh berhenti melakukannya. oh! bekerja terasa seperti sedang bemain gama FIFA di PS3..unstoppable!
Artikel yang hebat cik/puan Azzah…peace yoh!
Terima kasih Tuan Halif. Ya, apabila kerja dengan passion, kerja keras tidak terasa!
terima kasih diatas perkongsian ini. tiada pelanggan tiada makan ternyata bisnes tidak semudah yang disangkakan.
Terima kasih kembali
Artikel yang menarik. Cuma boleh kata, bekerja keras dan di tambah dengan networking dan hebahkan bisnes kita, baru boleh cari makan. Selalu berjumpa orang yang malu untuk memberitahu bisnes mereka.
Terima kasih. Betul. Saya kerap jumpa usahawan wanita IKS, yang bila ditanya, jawapannya, “Kedai jahit je….” Hmm….
Saya mahu perubahan! Itulah sebab yang paling utama dan bagus sekali.
Terima kasih!
perkongsian yang memberi inspirasi kepada mereka yang berhasrat menjalankan perniagaan sendiri. teringat kata-kata seorang pakar motivasi..
” 9/10 sumber pendapatan kita adalah daripada perniagaan, begitu juga dengan usaha dalam perniagaan perlulah juga 9 kali ganda daripada kerja makan gaji”
andai usahanya sama sahaja dengan makan gaji, bererti dia belum bersedia menghadapi suasana perniagaan.
Thanks, Puan Azzah!
Setuju. Terima kasih kembali!
terima kasih ats motivasi Akak/Cik/Puan Azzah..
Terima kasih, Tuan
bila kerja keras..nikmatnya takde nilainya..
Setuju!
setuju dengan bro titan… sebuah artikel yang membuka mata saya mengenai erti sebenar berbisnes…need to work more harder now..
Mudah-mudahan dipermudahkan!
Nikmat kerja keras ini hanya dirasai oleh mereka yang pernah berada dalam situasi ini. Yakni situasi yang indah, seindah-indahnya.
Artikel yang menginspirasikan. Terima kasih!