Bisnes & Nikmat Memberi

April 06, 2011 — Penulis:

Kategori: Umum

Assalamualaikum, salam kebahagiaan untuk Tuan Puan, pembaca Majalah Niaga yang sentiasa dalam kasih sayang dan lindungan Tuhan.

Antara perkara yang mencabar ahli bisnes, terutamanya yang baru hendak bertapak, ialah memberikan perkhidmatan atau produk mereka secara percuma.

Ini berlaku kerana adanya anggapan memberikan sesuatu secara percuma, akan menyebabkan kerugian. Apa yang sebenarnya mereka terlepas pandang ialah, janji Tuhan – apa yang kita beri, Tuhan akan balas dengan berganda.

Mengadakan Program Motivasi Secara Percuma

Ingin saya kongsikan pengalaman pertama saya dalam bisnes training pada tahun 2008. Berbekalkan sijil kelayakan daripada beberapa institusi latihan, ringkasan modul, dan rasa percaya diri, saya membuat temu janji dengan Guru Penolong Kanan di sekolah lama saya.

Hati berdebar, perasaan bercampur-baur. Saya tidak putus-putus membisikkan sebanyak mungkin kata positif kepada diri sendiri, dan mengingatkan diri saya sendiri mengenai impian saya – mahu bergelar seorang trainer yang berjaya!

Saya menawarkan program motivasi tiga hari dua malam kepada pelajar calon-calon PMR seramai 40 orang, secara percuma. Saya berterus terang sahaja, saya melakukan ini bagi membina tapak bisnes saya, dan juga atas dasar kebajikan seorang alumni kepada para juniornya.

Meskipun Percuma, Berikan yang Terbaik

Syukur, tawaran saya disambut baik. Program percuma, tentulah tiada siapa yang menolak. Apatah lagi, saya memiliki kapasiti sebagai seorang yang dekat dengan mereka (alumni). Secara automatik ini dapat menambahkan markah kredibiliti saya, dengan syarat saya sendiri meyakini kualiti program atau produk yang saya berikan itu adalah baik lagi membawa kebaikan.

Peluang itu saya manfaatkan sepenuhnya dengan menyediakan segala yang terbaik, yang ada di tangan saya ketika itu. Kandungan modul, peralatan, muzik, dan sebagainya, saya atur dengan rapi. Saya bisikkan kepada diri sendiri, saya perlu kuat dan tabah, kerana program ini tempohnya selama tiga hari dua malam – tanpa bayaran, tanpa co-trainer, tanpa fasilitator pembantu. Segalanya perlu saya uruskan sendirian!

Syukur kepada Tuhan. Selesai program pada hari ketiga, saya mendapat maklum balas yang cukup baik daripada para peserta. Keseluruhannya amat berpuas hati dengan modul dan gaya penyampaian saya. Sambil tersenyum, saya katakan kepada diri sendiri, inilah modal saya yang seterusnya – testimonial pelanggan!

Disebalik Rahsia Memberi

Rezeki datang di tempat dan waktu yang tidak terduga. Pihak sekolah memberikan saya token sebanyak RM200.00! Subhanallah, terharu rasanya. Saya datang dengan tidak meminta dan mengharapkan sebarang bayaran. Dijamu makan sahaja sudah cukup baik.

Pada saya, situasi menang-menang sudah pun wujud apabila saya memberi training kepada pelajar, dan pelajar memberi testimonial kepada saya. Tidak disangka, Tuhan tambah pula rezeki yang lain walaupun tidak semewah mana. Syukur, Alhamdulillah!

Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah benar saya ini?

Sifu bisnes saya, Puan Ainon Mohd, ada berpesan, “Pada waktu kita benar-benar merasakan poket hampir kering, sedekahkan berapa sahaja wang yang masih ada pada kita dengan ikhlas, kerana Tuhan. InsyaAllah, kita akan menerima lebih daripada berapa yang kita berikan itu.”

Sentiasa Yakin Pada Janji Tuhan

Inilah janji Tuhan kepada manusia. Nabi Muhammad yang kita kasihi, ada mengatakan, “Tidak akan berkurang harta seseorang disebabkan bersedekah.”

Bersedekah, atau memberi, sudah dijamin pulangan kebaikannya oleh Tuhan dan Nabi Muhammad.

Justeru, kita perlu menjauhi rasa kedekut dan berkira hendak memberikan produk atau perkhidmatan percuma kepada pelanggan pada permulaan bisnes. Kita perlu berani dan percaya kepada ‘modal hangus’. Terlalu memikirkan kerugian yang akan dialami dalam jangka masa pendek, akan menyekat kita daripada menerima rezeki yang berlipat ganda.

Jadi, kita perlu percaya kepada jaminan Tuhan, dan terus fikirkan keuntungan yang akan kita perolehi dalam jangka masa yang panjang malah berlipat ganda.

Sebiji kuih raya sampel, boleh membawa kepada tempahan beribu biji kuih.

Sepeket sabun sampel, boleh membawa kepada jualan beribu botol.

Seringgit diskaun, boleh membawa kepada beribu pelanggan baru.

Percayakan janji Tuhan, dengan sepenuh hati. Dia sentiasa berpegang pada janjiNya, selagi kita meletakkan pergantungan tertinggi hanya kepadaNya.

Mudah-mudahan bisnes Tuan Puan akan lebih meriah dan berlipat ganda apabila sering ‘memberi’.

Salam kebahagiaan sampai sorga. Jumpa lagi!

*Kredit gambar yang diambil daripada Flickr (adrimarensi) , (brianmorley) & (bolvadinli)


Tags: , , ,

Komen (15)

  1. Syukran diatas perkongsian yang bermanfaat ini Cik puan Azzah AR.
    Sesungguhnya artikel ini memberikan peringatan khusus buat diri
    ini yang juga bergelar manusia dan seri alpa dengan nikmat-Nya.

    Segala puji bagi-Nya.. didoakan semoga rezeki cik puan berlipat
    ganda hendaknya dengan perkongsian ilmiah ini. Amin ya rabbi..

  2. Orang yang dapat memberi yang terbaik walau ia percuma adalah orang hebat. Orang yang dapat memberi walau dia dalam kekurangan adalah orang yang luar biasa hebat.

  3. Terima kasih atas perkongsian ini Puan Azzah. Saya sebenarnya tidak memahami konsep MEMBERI sebelum ini. Kini, masa untuk menebus semula:)

    ‘Big Like’ untuk komen Tuan Zahiruddin Zabidi.

  4. Terima kasih atas perkongsian cik Puan Azzah. artikel sentiasa ditunggu-tunggu. artikel ini mengingatkan saya quote yang sering saya kongsikan di Facebook “the more you give, the more you get” 🙂

    1. Terima kasih Tuan Hasbul Aqill yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Benarlah, the more YOU give, the MORE you get! 😀

  5. Ganjarannya testimoni pelanggan dan word of mouth, saya suka. Memberikan talk secara percuma sebagai platform memperkenalkan diri dan kebolehan kita.

  6. T.kasih pada Pn. Azzah atas tip bisnes yang menarik. Tip ni menambahkan lagi keyakinan saya bahawa lebih banyak kita memberi, lebih banyak yang kita akan terima dari Tuhan. Jangan lokek untuk bagi diskaun atau hadiah percuma untuk customer atau prospek bisnes kita.

    Jazakillah.

Leave a Reply to Azzah AR Batal (Cancel)