Bisnes & Nikmat Memilih

July 08, 2011 — Penulis:

Kategori: Umum

Assalamualaikum, salam sejahtera kepada Tuan Puan, para usahawan yang gigih dan cekal lagi berdedikasi tinggi.

Dalam kamus bisnes, ada satu perkataan magis iaitu ‘pilih’.

Pilih – memilih – dipilih – terpilih – pilihan.

Dalam kisah bisnes kita. Ada kalanya, kita ditimpa rasa sukar dan boleh jadi hingga tahap kekeringan wang yang melampau, sehingga hanya mampu makan mi segera yang dimasak kembang setiap hari bagi mengisi perut.

Pada waktu ia berlaku, apakah yang ada dalam fikiran kita?

Contoh. Apabila kita berasa sukar menjual sesuatu produk baru. Sudah beberapa minggu masih tidak laku. Boleh jadi berbulan-bulan, graf jualan kita masih tidak menaik, malah sentiasa dalam keadaan plateau. Lebih menggentarkan jika graf jualan menurun.

Reaksi – Mengeluh dan Menyalahkan Keadaan

Ada rakan-rakan kita apabila menghadapi situasi begini, mereka mula berkeluh-kesah, menyesali penglibatan mereka dalam bisnes, mengutuk diri sendiri, mengutuk pasaran, mengutuk pelanggan dan akhirnya angkat bendera putih kepada bisnes lalu terjun semula ke dalam dunia makan gaji.

Tuan Puan, apabila kita merasakan susah dalam melakukan atau menghadapi sesuatu, maka kembalikan memori kita ke detik lampau. Ke detik semasa kita membuat pilihan keramat itu.

Setiap perkara yang kita lakukan, adalah pilihan kita sendiri. Setiap perkara yang kita lalui juga adalah daripada apa yang kita pilih sebelum itu. Kita sentiasa memilih perkara yang kita fikirkan terbaik pada waktu pilihan itu dibuat. Justeru, adalah tanggung jawab kita sepenuhnya terhadap setiap pilihan yang kita ambil.

Setiap Pilihan Wujud Dalam Tangan Kita

Dalam sehari – tidak usah kata sehari, dalam satu pagi pun, ada beratus – mungkin beribu pilihan yang kita lakukan, sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Seawal Subuh, jam penggera berbunyi.

  • Kita punya pilihan; mencelikkan mata, atau terus pejam mata.
  • Kita punya pilihan; terhadap penggera itu – Stop atau Snooze.
  • Kita punya pilihan; terus bangun dari katil, atau sambung tidur.
  • Kita punya pilihan; bangun terus ke bilik air, atau bersenam dahulu.
  • Kita punya pilihan; berus gigi, atau berwuduk dahulu.
  • Kita punya pilihan; berus gigi dengan ubat gigi, atau air paip sahaja.
  • Kita punya pilihan; mandi sekarang, atau mandi kemudian.
  • Kita punya pilihan; mandi bersabun, atau mandi kerbau.
  • Kita punya pilihan; mengeringkan badan, atau kekal basah.
  • Kita punya pilihan; memakai baju, atau tidak memakai baju keluar rumah.
  • Dan seterusnya….

Setiap pilihan yang kita ambil, adalah kerana pada waktu itu, kita percaya ia adalah pilihan terbaik.

Contohnya. Kita ada pilihan memakai baju atau tidak memakai baju bagi keluar rumah. Kita boleh memilih tidak memakai baju keluar rumah, tetapi kita sedar itu bukanlah pilihan yang terbaik. Kita boleh nampak pelbagai kesan buruk pasti kita hadapi sekiranya itu pilihan kita, walaupun kita belum melakukannya.

Lalu, kita percaya pilihan yang terbaik adalah memakai baju keluar rumah. Maka kita pun memakai baju dan keluar dari rumah.

Mantik ringkas:

Saya terpaksa pakai baju keluar rumah.
Kalau saya tidak pakai baju, saya akan malu.
Kalau saya malu, saya akan menyendiri.
Kalau saya menyendiri, saya akan mengalami kemurungan.
Kalau saya mengalami kemurungan, saya akan jatuh sakit.
Kalau saya jatuh sakit, saya akan… A.
Jadi, lebih baik saya pakai baju daripada saya …B.
Saya bukannya terpaksa. Saya MEMILIH pakai baju kerana ia pilihan terbaik untuk saya!

Seperti dalam bisnes. Kita memilih bisnes dan bukan makan gaji adalah kerana kita percaya bisnes adalah yang terbaik untuk kita. Apabila kita memilih bisnes, bermaksud kita bersedia menerima apa sahaja yang akan mendatangi kita – baik mahupun buruk.

Apabila kita percaya bisnes adalah pilihan terbaik, maka apa jua yang berlaku, tidak akan menghadirkan walau secubit penyesalan dalam hati kita. Tiada sesiapa memaksa, kerana kita sendiri yang sudah memilihnya. Jadi, kita sebagai orang yang sudah membuat pilihan terbaik, kita bertanggungjawab atas pilihan yang kita ambil.

Dunia Bisnes – Tiada Istilah ‘Saya Menyesal’

Tidak ada istilah ‘menyesal’ dalam kamus bisnes. Segala yang kita usahakan adalah pilihan kita sendiri. Apabila kita mendapat untung, itu bonus bagi kita. Jika kita kerugian, itu adalah peluang bagi kita memperbaiki dan menambahbaiki diri dan perniagaan kita. Apa yang lebih penting, kita sudah memilih berusaha dengan sehabis baik.

Apabila kita memilih bisnes, kita bersedia menghadapi cabaran luar biasa.
Apabila kita memilih bisnes, kita bersedia menghadapi persaingan luar biasa.
Apabila kita memilih bisnes, kita bersedia menghadapi kerugian luar biasa.
Dan kita bersedia bertanggungjawab kerana bisnes adalah pilihan terbaik kita.

Semoga bisnes Tuan Puan semakin maju dengan pilihan-pilihan terbaik yang Tuan Puan ambil, dan semoga ia dapat menyemarakkan kesejahteraan masyarakat secara berterusan dan berpanjangan. Amin.

Pilih, jangan tak pilih!

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (mhwildwoodarkworld, tinkerbella, cobra 11)


Tags: , , , , , , , , ,

Komen (15)

  1. Salam. Sungguh bermanfaat sekali artikel yang ditulis ini. Kita hendaklah membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan ini. Terima kasih atas perkongsian hebat ini.. 🙂

  2. Zulhilmi Zainudin
    July 8, 2011

    ‘..Apabila kita memilih bisnes, kita bersedia menghadapi cabaran luar biasa’. 😀

  3. Sekiranya kita tidak memilih, orang yang akan pilihkan untuk kita. Itulah resam hidup yang kita perlu memilih antara banyak pilihan dalam hidup ini. Pilihan itu akan menentukan bagaimana corak hidup kita. Kenapa biarkan orang yang mencorak hidup kita?

  4. ISMAIL BIN MOHAMAD
    July 10, 2011

    Saya begitu berminat membaca isi kandungan dalam majalah niaga. (Saya anggapnya sebagai
    menerima ilmu perniagaan). Tapi buat masa ini saya masih lagi belum menjalankan apa-apa
    perniagaan. Kerana masih dalam perancangan. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan.

  5. Artikel yang mem’bako’ lagi keazaman saya untuk terus bertahan dalam bisnes yang diceburi kerana minat ini. Terima kasih Cikpuan Azzah.

Leave a Reply to ISMAIL BIN MOHAMAD Batal (Cancel)