Bisnes & Nikmat Menahan Diri

August 01, 2011 — Penulis:

Kategori: Umum

Assalamualaikum, salam kebahagiaan kepada tuan puan, para usahawan yang berjiwa kental dan sentiasa dalam kasih sayang Tuhan.

Apabila menyebut Ramadan, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kebanyakan manusia biasa adalah tidak boleh makan siang.

Mari kita renung lebih dalam lagi. Ibu bapa, ustaz ustazah sering berpesan,

“Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.”

Apakah yang mereka maksudkan sebenarnya?

Menahan lapar dan dahaga di siang hari adalah simbolik kepada satu perkara yang lebih besar. Ramadan adalah satu kursus intensif selama 30 hari, bagi mendidik nafsu dan menahan diri daripada melakukan sesuatu yang biasa dilakukan.

Tuan puan, diri kita dikawal oleh diri kita sendiri, dengan pemantauan para malaikat dan afirmasi Tuhan. Setiap apa yang kita lakukan adalah pilihan kita sendiri, dan kita bertanggung jawab atas setiap pilihan yang kita ambil.

Dalam bisnes, satu perkara yang sukar dikawal oleh segelintir usahawan adalah apabila terhidangnya selambak wang di depan mata.

Kisah Seorang Sahabat – Bekerja Tanpa Gaji

Saya ingin berkongsi kisah benar yang diceritakan oleh sahabat saya. Sebuah hotel bercirikan Islam baru dibuka. Dimiliki oleh beberapa orang rakan kongsi sebagai lembaga pengarahnya. Hotelnya cantik, besar dan nampak gah (saya lihat di laman webnya).

Hotel itu dibuka beberapa bulan sebelum Ramadan. Maka ramailah pekerja yang direkrut termasuklah suami kepada sahabat saya ini.

Bulan berganti bulan, pekerja semakin gelisah. Ramadan semakin hampir, namun gaji mereka masih belum pernah dibayar walau sesen. Wang simpanan semakin susut. Apabila ditanya kepada pihak pentadbiran, tiada jawapan munasabah yang diperoleh.

Tiba-tiba, seorang demi seorang pengarah syarikat muncul dengan kereta mewah yang baru. Mercedes, BMW dan sebagainya.

Tidak berpuas hati dengan apa yang dilihat, para pekerja mula menyiasat. Lalu terbongkar, rupa-rupanya pinjaman syarikat baru sahaja diluluskan oleh pihak bank. Pengarah-pengarah syarikat didapati menggunakan wang pinjaman berjuta itu, bagi membeli kereta baru masing-masing.

Sedangkan gaji pekerja masih belum dibayar!

Akhirnya, pekerja berpakat meninggalkan hotel itu. Dan hari ini, saya Google nama hotel itu sudah tidak wujud lagi.

Tuan puan, ini bukanlah kes pertama usahawan lupa diri apabila mendapat wang pinjaman perniagaan mahupun keuntungan besar secara mendadak.

Apakah faktor yang mendorong kepada kelakuan ini?

Lupa dan Gagal Menahan Diri Daripada Nafsu

Apa yang saya perhatikan, kebanyakan mereka yang mudah lupa diri dan gagal menahan diri apabila dihidangkan dengan wang yang banyak di depan mata, adalah:

  1. Mereka yang selama ini hidup susah dan asyik merungut,
  2. Mereka yang bisnesnya berkiblatkan keuntungan dunia semata-mata.

Sifu bisnes saya, Puan Ainon Mohd, sering mengingatkan kami para mentee-nya dengan perkataan ‘menangguhkan kepuasan’. Beliau sendiri adalah contoh yang terbaik kepada kami.

Selama beliau menjalankan training, beliau mengumpul wang sehingga terkumpul sejumlah yang banyak dan dapat menubuhkan Kumpulan PTS. Selepas 11 tahun, lihatlah di mana PTS berdiri sekarang dan semakin berkembang. Menahan diri dan menangguhkan kepuasan adalah kata kuncinya.

Wang selambak di hadapan mata, sama ada pinjaman atau keuntungan mendadak, bukanlah untuk dibelanjakan bagi memuaskan diri sendiri. Jika muncul keinginan memiliki kereta mewah, membeli kondominium, gajet tercanggih, beg tangan edisi terhad dan sebagainya, tanya dahulu kepada diri sendiri,

“Apakah pulangan yang akan saya dapat selepas saya membelinya?”

Jika jawapan kepada soalan itu ialah ‘kepuasan diri’ ataupun ‘dipandang mulia oleh masyarakat’, sedangkan bisnes masih terkontang-kanting dan hutang masih belum langsai, maka lupakan sahaja keinginan itu.

Nyata ia hanya keinginan dan bukan keperluan. Bisnes kita masih memerlukan wang untuk dibesarkan. Kita tidak mahu mati mengejut dengan hutang yang bertimbun. Kita perlu menahan diri. Kita lebih perlu dipandang mulia oleh Tuhan daripada manusia.

Kaya Bukan Sekadar Menjadi Jutawan

Alang-alang jadi usahawan, biar kita bersara sebagai orang tua yang memiliki harta berjuta-juta.

Alang-alang jadi usahawan, biar kita mati meninggalkan sejumlah harta yang cukup supaya keluarga kita tidak meminjam, dan meminta-minta kepada orang lain.

Alang-alang jadi usahawan, biar kubur kita sentiasa wangi. Berkat doa orang-orang yang menerima zakat kita setiap bulan.

Kaya sekejap, melarat bertahun, tidak memberi sebarang manfaat baik kepada diri, keluarga dan orang di sekeliling.

Hidup serba sederhana kerana kekayaan dikongsi dengan orang lain, manfaatnya adalah syurga.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini cukup mendidik hati, jiwa dan akal kita bagi menjadi seorang usahawan yang sukses menahan diri. Amin.

Selamat berpesta ibadah!

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (shutter-rebelschristopherdpottszyaheami)


Tags: , , , , , ,

Komen (12)

  1. salam ramadhan buat penulis. artikel yang sangat hebat!

    apa yang saya dapat dari artikel ni ialah:
    1. utamakan keperluan dari kehendak diri
    2. alang2 dah membuat sesuatu perkara biarlah sampai sukses, dan banyak lagi — biar pembaca cari sendiri jugak hehe 😉

  2. Terima kasih atas artikel yang menarik ini terutamanya kedatangan bulan Ramadhan ini. Pastikan bulan yang mulia bukan sahaja menahan makan dan minum tetapi terutamanya perkara2 yang membatalkan puasa iaitu mengikut nafsu. Tepuk dada tanya iman.

  3. Salam.Satu pesanan yg amat berguna…saya juga sering mendengar kisah yg hampir sama spt ini, yg berlaku di kalangan ramai usahawan kita. Sifat berlumba-lumba utk menonjolkan diri dan kemewahan yg akhirnya memakan diri… Semoga kita sama2x mengambil iktibar.

  4. rencana hari ni sempena ramadan pertama memberi ngatan pada semua supaya sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah pada hamba nya untuk renungan semua.

Leave a Reply to Ahmad Tarmizi Batal (Cancel)