Bukan Wang, Tetapi Impian

June 23, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri / Umum

“Korang ni sibuk beli rumah banyak-banyak, tamak betul.” “Harta bukan boleh dibawa mati.”

Ini antara dialog negatif yang biasa diterima oleh pelabur hartanah. Mereka dicop tamak, gilakan harta dunia dan punca harga rumah naik.

“Eh eh… kalau nak masuk tandas pun kena bayar, salahkah mereka berusaha meningkatkan taraf hidup?”

“Sepuluh ke dua puluh tahun lepas mereka tak beli rumah, harga rumah tak naik ke?”

Saya percaya pelaburan hartanah merupakan cara paling selamat walaupun perlahan untuk saya mencapai objektif pelaburan saya.

Kuasa Tarikan – ‘Kenapa’

Ya, yang paling penting dalam pelaburan hartanah bukan ‘berapa’ banyak rumah yang kita miliki, tetapi adalah ‘kenapa’ dan ‘bila’. Kenapa kita mahu buat pelaburan hartanah? Bila sasaran kita untuk kita capai ‘kenapa’ itu? ‘Kenapa’ adalah satu kuasa yang sangat penting. Jika ‘kenapa’ itu sangat penting, ia akan menjadi satu kuasa tarikan yang sangat kuat.

Maka segala pemikiran, fokus, keutamaan dan usaha akan tertumpu kepada ‘kenapa’ itu. Bagi saya, ‘kenapa’ itulah yang membuat saya menulis matlamat saya. ‘Kenapa’ itulah yang membuat saya mendisiplinkan diri saya dalam berbelanja.

‘Kenapa’ itulah yang menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada saya, yang setiasa membakar dalam diri saya. Memandangkan saya punya sumber yang sangat terhad, saya sentiasa mengamalkan berbelanja di bawah kemampuan.

Ini supaya saya dapat membeli lebih hartanah lagi untuk mencapai matlamat saya. Jika ‘kenapa’ anda tidak kuat, anda punya gaji sebesar mana pun, insya Allah anda takkan capai matlamat anda. Jika ‘kenapa’ anda hanya diada-adakan, hartanah hebat lalu depan mata anda pun anda tetap buta. penoreh getah

Saya seorang bekas penoreh getah. Ke ladang getah sejak di sekolah rendah dan mula menoreh getah ketika di Tingkatan 2. Ketika rakan lain mungkin sedang belajar  atau menonton televisyen di hari minggu, saya di ladang getah. Menoreh getah untuk mencari wang belanja harian. Adat remaja, sibuk mahu menonton rancangan televisyen kesayangan.

Maka berkejarlah saya mahu cepat pulang ke rumah jika Melodi ada menyiarkan cerita mengenai Ziana Zain. Ada kalanya motor rosak pula di ladang, maka usahkan impian menonton Ziana Zain lebur, terpaksa menolak motorsikal naik turun bukit pula pulang ke rumah.

2003 – Sengkek

Tahun 2003 selepas graduasi, saya dibebani masalah kewangan. Sebagai orang Jengka yang merantau ke ibu kota, kononnya ingin mencari rezeki tetapi dihantui masalah pengangguran dan kerja melompat-lompat. Akibatnya, poket saya kosong, sedangkan perut perlu diisi dan sewa rumah perlu dibayar. Mahu menelefon mak meminta wang? Pantang orang merantau minta wang dari kampung.

Tahun 2004, alhamdulillah saya ditawarkan pekerjaan tetap dan berpencen. Saya bertekad untuk menyelesaikan hutang-hutang yang saya bina dengan jayanya sebelum itu. Hutang-piutang yang saya terpaksa buat kerana mahu hidup dan kerana terpedaya dengan peluang pendapatan besar dari perniagaan yang menjanjikan harapan palsu.

2005 – Selesai Hutang Piutang

Tahun 2005, setelah saya menyelesaikan hutang-hutang jahat yang mencengkam, saya mula mencari-cari ilmu bagaimana untuk saya gandakan wang saya yang tak seberapa ada ini. Betulkah jika mahu menjana lebih banyak wang, saya perlu berniaga? Serik sungguh rasanya dibebani hutang dan anganan palsu. ‘Buku Cukup Wang Hati Tenang’ tulisan Puan Hajah Rohani telah banyak membuka mata saya mengenai pengurusan kewangan peribadi.

Baru saya tahu kepentingan simpanan, kuasa compounding, perbezaan simpanan dan pelaburan, memilih insurans yang betul dan yang paling penting, saya baru tahu orang makan gaji pun boleh menjana wang mereka berganda-ganda.

azizi ali

Selepas khatam membaca buku itu dalam masa dua hari, saya mula membaca buku Tuan Azizi Ali. Antarnya ‘Jutawan dari Planet Jupiter’, ‘Tuan Rumah Jutawan’ dan ‘Bagaimana Hendak Menjadi Jutawan Hartanah’.

Saya baca dan cerna isi kandungannya. Sangat murah harga buku-buku ini berbanding ilmu yang dikongsikan mereka. Sejak dari itu, saya menjadi makhluk asing dalam planet saya sendiri. Matlamat saya sangat besar.

Cita-cita saya sangat mahal. Jauh lebih mahal dari harga kasut baru, beg tangan baru atau pakaian baru yang boleh memenuhkan almari plastik saya ketika itu. Membaca buku ‘Jutawan Ekstreme’ oleh Tuan Azizi Ali pula membuka mata saya untuk mengejar impian saya. Jangan kejar wang hingga hidup dalam keadaan terpaksa.

Terpaksa bangun tidur dan menghadapi pekerjaan dalam dunia yang anda tidak suka. Sebaliknya, kejarlah impian anda dan wang akan mengikut anda nanti. Saya pegang kata-kata ini erat dalam hati. Teringat impian saya semasa di sekolah menengah dulu. Saya mahu menjadi peguam. Saya mahu belajar undang-undang.

Teringat pula harapan saya mahu membina masa depan yang lebih baik dalam kerjaya yang saya suka. Bukan saya tidak sukakan kerja yang tetap dan berpencen ini. Cuma ia bukan impian saya. Ia bukan diri saya yang sebenar. Saya akan jadikan ia sebagai batu loncatan untuk saya capai impian saya sebenarnya. Saya akan kejar ‘kenapa’ saya dengan sesungguh hati.

2014 – Tahun Mendekati Impian

Alhamdulillah… kini tahun 2014. Saya gembira berkongsi perjalanan pelaburan hartanah saya dalam blog saya, propertywaltz.com.

Saya gembira berkongsi rahsia pelaburan hartanah dalam bengkel dan seminar yang saya anjurkan atau yang saya dijemput memberi perkongsian. Saya juga bahagia menulis kesilapan dan teknik yang saya telah lakukan untuk pelajaran dan pengajaran semua. Saya rasa bersyukur dapat menulis untuk pembaca Majalah Niaga.

uitm Setelah hampir 5 tahun pengajian secara luar kampus, saya telah berjaya memperoleh Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang (Kepujian) dari UiTM. Ia kemudian diikuti oleh Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan.

Dengan pelaburan hartanah sebagai sandaran, saya berani memohon cuti tanpa gaji selama 300 hari dari kerja tetap dan berpencen itu. Walaupun ia bukan meletak jawatan, ia merupakan permulaan saya mencapai ‘kenapa’ saya itu.

Bukan Sekadar Mengejar Wang Keuntungan

Pelaburan hartanah bukan mengenai wang. Ia bukan mengenai berapa ribu wang yang kita perolehi setiap bulan. Ia bukan mengenai berapa ratus ribu keuntungan setiap kali anda menjual rumah anda. Ia bukan mengenai berapa juta nilai hartanah yang anda punya.

Tapi sebaliknya, pelaburan hartanah adalah mengenai impian. Impian yang menjadi ‘kenapa’ kita buat pelaburan hartanah. Sekuat mana ‘kenapa’ itu menentukan sekuat mana usaha kita dalam mengejar impian yang boleh dicapai melalui pelaburan hartanah. Impian setiap orang berbeza. Ada yang mahu mengembara ke serata dunia.

impian kehidupan

Ada yang mahu bawa seisi keluarga menunaikan haji. Ada yang mahu bina dana pendidikan anak-anak. Ramai juga yang ingin lebih masa dengan anak-anak dan keluarga supaya tidak lagi keluar rumah sebelum matahari muncul dan pulang selepas matahari tenggelam. Inilah antara impian yang menjadi ‘kenapa’ kita buat pelaburan hartanah.

Pelaburan hartanah juga bukan mengenai perlumbaan dengan rakan lain. Mungkin rakan kita punya sumber yang lebih, maka dia boleh mempunyai hartanah bernilai 10 juta dalam masa 5 tahun sahaja.

Mungkin sumber rakan lain pula agak sedikit maka dia hanya mampu mengumpul rumah kos rendah sahaja. Itu tidak penting. Sebaliknya kita berlumba dengan diri sendiri. Berapa disiplinkah diri kita? Berapa nekadkah kita dalam mengejar impian kita?

Apabila pelaburan hartanah yang diusahakan telah berjaya membawa anda atau setidaknya membantu anda mencapai impian anda, anda telah berjaya. Pelaburan hartanah bukan mengenai mengejar wang, tetapi mengenai mengejar impian. Hanya anda sahaja yang tahu berapa kuat impian anda itu. Anda yang tentukan.


Tags: , , ,

Komen (17)

  1. Cerita yang amat memberikan inspirasi. Dari kisah yang diceritakan kami tahu cik puan Rohaniah adalah orang yang biasa macam kami semua tapi ada impian yang luar biasa yang menjadikan cik puan Rohaniah di tahap sekarang.

    Tahniah diucapkan buat cik puan

    1. ya, saya orang biasa sahaja. Kerja pun biasa sahaja. Tak ada bantuan ibu bapa pun ketika mahu bermula.Tiada bantuan sesiapa. Semua atas diri sendiri sahaja. Terima kasih.. saya percaya orang lain boleh buat lebih hebat lagi.

  2. maaf mencelah,bagi saya,pelaburan hartanah ini yang menyusahkan orang lain,anda hanya memikirkan keuntungan sendri tanpa kisah tentang orang lain.harga hartanah semakin melambung.mungkin anda berjaya dengan impian anda.bagaimana pula dengan nasib orang lain?harga rumah semakin tidak masuk akal.susah untuk golongan sederhana dan miskin untuk membeli rumah sekarang.mungkin xboleh membelinya lagi pada suatu hari nanti.

    1. 10 tahun lepas saya tak beli rumah, harga naik juga tuan. Kenaikan harga bukan disebabkan kita orang Islam ni beli rumah. Tapi ada banyak faktor lain. Tanah makin sedikit, jadi harga makin naik. Bahan binaanmakin mahal. Kalau kita orang islam ni beranggapan begini dan tak mahu beli rumah, sudahnya non-muslim sahajalah yang akan beli sebab mereka nampak potensi pelaburan hartanah dalam perjuangan mereka mengajar impian.

  3. As salam puan. Tahniah kerana puan bjaya mnempatkn diri dlm bidang pelaburan hartanah. Maaf puan, boleh saya tahu apa kaitan yang mendorong puan untuk cuti tanpa gaji.

Pendapat anda?