Cara Menarik Pelanggan – 5 Tip Tukar Pelanggan Menjadi Kawan

September 17, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Komunikasi / Pemasaran

Dunia perniagaan yang semakin kompetitif memerlukan usahawan untuk sentiasa mengubah strategi perniagaan. Pelanggan pada masa kini mempunyai pelbagai pilihan, antara jenama antarabangsa mahupun jenama kedai online lokal. Bagaimanakah caranya kita mengambil hati pelanggan agar mereka bukan sahaja tertarik untuk berjual beli dengan kita, malah menjadi pembeli setia yang juga dapat menjadi agen kita?

Antara cara yang paling baik adalah dengan menganggap setiap pelanggan adalah kawan kita. Berikut adalah 5 tip untuk menukar pelanggan kepada kawan:

  1. Berurus niaga dengan telus

Sebagaimana kita tidak akan menipu kawan baik kita, begitu jugalah kita harus berinteraksi dengan pelanggan. Tunjukkan keikhlasan hati ketika memberikan maklumat yang pelanggan kehendaki.

pembeli

Ceritakan dengan jelas segala kelebihan dan juga kekurangan sesuatu produk. Letakkan harga berpatutan dan bermurah hati memberi potongan sekiranya munasabah.

  1. Ingat tarikh lahir

Pelanggan suka dilayan seperti sahabat baik. Justeru, sebaiknya setelah mereka membuat bayaran, tanyakan sekali tarikh lahir dan simpan maklumat di dalam database. Berikan ucapan dan potongan istimewa sebagai penghargaan. Pasti pelanggan akan berbesar hati dan sentiasa mengingati kita.

  1. Permudahkan urusan pembelian

Sebagaimana kita sering membantu meringankan beban kawan-kawan, begitu juga yang harus kita lakukan kepada pelanggan. Cari jalan untuk memudahkan urusan pembelian mereka. Usah remehkan dengan peraturan yang bukan-bukan.

penjual kebab

Jikalau ada borang yang harus diisi, bantu isikan bagi pihak mereka. Sekiranya barang yang dibeli terlalu banyak dan berat, beri pertolongan untuk angkat ke kereta. Pertolongan kecil sebegini memberi makna yang besar bagi pelanggan.

  1. Berikan mereka ruang

Apabila kawan kita berada dalam kerunsingan, kita memberi ruang kepada mereka untuk bersendiri dan berfikir. Taktik ini juga boleh dilakukan kepada pelanggan. Setelah memberi penerangan kepada pelanggan, tinggalkan mereka sebentar agar mereka dapat memikirkan pilihan mereka.

Jangan terus-terusan mendesak, kerana ia akan menyebabkan mereka berasa rimas. Begitu juga dengan pelanggan runcit, pelayan tidak harus terus-menerus menuruti pelanggan sepanjang mereka di kedai hingga mereka berasa seperti diekori.

Cukup dengan menyapa hormat dan memberitahu bahawa anda berada di sekitar kawasan kedai dan dapat membantu sekiranya diperlukan.

  1. Berjumpa sentiasa

Sebagaimana persahabatan semakin erat apabila sering bersua, begitu juga dengan jalinan persahabatan dengan pelanggan. Hantarkan emel mesra bertanya khabar sambil berkongsi perkembangan perniagaan terbaru. Ataupun jemput pelanggan ke acara beramah mesra bersama pelanggan di kedai. Ada pelbagai cara yang dapat usahawan lakukan untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan supaya pelanggan sentiasa dekat di hati kita.

penjual buah

Pelanggan tidak mahu dilayan seperti mesin cetak wang semata. Mereka juga tidak mahu layanan plastik yang bermuka-muka daripada penjual. Pelanggan pada masa kini adalah pelanggan sofistikated yang amat mahir berjual beli. Seumur pandai mengira wang, sudah bermula aktiviti pembelian mereka. Layanlah pelanggan sebagaimana kita mahu dilayan sebagai kawan. Sudah pasti perniagaan kita bukan sahaja dingati, tetapi juga diberkati.


Tags: , ,

Komen (1)

  1. Wow. Artikel ini telah membuka mata sy tentang strategi mcm mana menjdikan pelanggan itu menjdi kwn kita. Terima ksh atas penulisan yg penuh manfaat ini.

Pendapat anda?