Angkasawan Negara Sheikh Muszaphar Shukor Lancar Portal AladdinStreet.com

January 27, 2016 — Penulis:

Kategori: Berita Bisnes

Syarikat e-dagang yang berpangkalan di Malaysia, Aladdin Group of Companies, melabur US$5 juta untuk mewujudkan Aladdinstreet.com.my , iaitu platform beli-belah e-pasaran patuh Syariah dan Halal pertama negara.

Pengasas Bersama Kumpulan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata laman e-dagang itu, yang dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini, akan memenuhi keperluan perkhidmatan perbankan dan kewangan, farmaseutikal, fesyen, kosmetik dan kecantikan serta makanan dan minuman.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, platform e-dagang itu, dengan sasaran 1,500 peniaga, akan menyediakan 30,000 produk dalam talian”, katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal aladdinstreet.com.my oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini Rabu.

Mengenai penyertaan peniaga dalam laman beli-belah secara dalam talian itu, Sheikh Muszaphar, yang juga angkasawan pertama negara, berkata ia adalah melalui jemputan.

Beliau berkata syarikat turut menyasarkan pasaran Islam dan bukan Islam di lebih 30 buah negara di seluruh dunia, termasuk India, Eropah, China, Indonesia dan Timur Tengah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Aladdin Azizi Meor Ngah berkata syarikat dijangka melabur kira-kira US$100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi aktiviti pemasaran dan promosi di luar pasaran Malaysia.

E-platform antarabangsa, Aladdinstreet.com, yang akan memenuhi keperluan pasaran global, akan dilancarkan pada suku kedua 2016.


Komen (1)

Pendapat anda?