Fungsi dan Faktor Ergonomik Dalam Pejabat

January 13, 2012 — Penulis:

Kategori: Pejabat

Apa itu ergonomik?

Fungsi Ergonomik Dalam Pejabat

Menurut wikipedia, nama ergonomik berasal daripada perkataan Greek iaitu ergos (kerja) dan nomos (undang-undang semulajadi). Bermaksud, rekaan mesin atau produk yang disesuaikan dengan fizikal manusia.

Prinsip-prinsip ergonomik adalah untuk membaiki penggunaan antara pekerja dengan tempat kerja. Jenis peralatan yang mereka gunakan, bagaimana proses kerja dilakukan, dan persekitaran tempat mereka bekerja.

Penulis buku Bodyspace-Anthropometry, Ergonomics and the design of Work, Stephen Pheasant  mengatakan, ruang kerja pejabat yang asas mempunyai hanya meja dan kerusi, pengguna hanya melakukan dua pekerjaan sahaja iaitu:

  1. Tugasan berasaskan kertas- membaca, melakar dan menulis.
  2. Tugasan berasaskan skrin- komputer, projektor dan televisyen.

Akibat Tiada Unsur Ergonomik Dalam Pejabat

Menurut  kajian bahagian kesihatan dan keselamatan alam sekitar Universiti Alabama di Huntsville, Amerika Syarikat. Sebanyak 275,000 kes pekerja mendapat musculoskeletal disorders (MDs) iaitu kesan gangguan ke atas otot, sendi, tendon dan ligamen.

Tangan Cedera Ketika Di Pejabat

Kajian pihak mereka juga mendapati 13 peratus kecederaan di tempat kerja datangnya daripada Carpal Tunnel Syndrome (CTS) iaitu sindrom sakit di bahagian pengelangan tangan dan nisbah 3:1 iaitu wanita, cenderung mendapat sindrom ini berbanding lelaki.

4 Faktor Ergonomik Dalam Pejabat

Terdapat empat faktor ergonomik yang terdapat dalam sesebuah pejabat iaitu:

  1. Perabot
  2. Pencahayaan
  3. Laluan
  4. Ventilasi (pengudaraan)

#1 – Perabot

Perabot utama di pejabat ialah meja dan kerusi kerja. Meja kerja ketinggian standard ialah 29 – 30 inci tinggi. Meja yang berbucu melengkung lebih baik daripada meja  berbucu tajam.

Perabot dan Workstation Pejabat

Manakala meja berbentuk ‘L’ lebih  mudah untuk mencapai semua benda yang diperlukan oleh seorang pekerja.

Apabila menggunakan kerusi kerja, cuba ubah ketinggian kerusi supaya paras siku selaras dengan permukaan meja. Jika backrest kerusi tidak selesa, letak kusyen kecil sebagai sokongan.

Armrest kerusi perlu cukup besar (panjang dan lebar) untuk menyokong dan merehatkan lengan anda ketika bekerja. Oleh itu, buat pelaburan dalam membeli kerusi yang selesa, berkualiti, dan boleh dilaraskan setiap komponennya seperti backrest, armrest, dan seat height.

#2 – Pencahayaan

Percahayaan yang tidak sesuai di dalam pejabat, boleh mengakibatkan ketidakselesaan pada diri pekerja seperti kekeringan mata, sakit kepala, dan hilang tumpuan kerja.

Ruang Pencahayaan Dalam Pejabat

Dengan kebanyakan kerja kini dilakukan mengunakan komputer, kita menerima cahaya daripada skrin monitor dan silau yang berlebihan.

Bagi mengatasi masalah ini, pastikan cahaya pejabat terang tanpa terdapat banyak bayangan atas meja kerja, kurangkan brightness level skrin monitor dan pasangkan kemasan tingkap pejabat seperti wood blinds atau vertical blinds, jika sinaran cahaya matahari terus ke komputer anda.

#3 – Laluan

Ruang laluan antara meja kerja yang minima dan selamat ialah kelebaran dua orang berdiri seiring (1,350 mm atau terhad 4 kaki lebar).

Dekorasi Ruang Laluan Di Pejabat

Memudahkan dua orang melalui secara serentak atau seorang pekerja membawa barang tanpa terjadinya pelanggaran dengan meja kerja atau  dinding pembahagi meja kerja tersebut.

#4 – Ventilasi (Pengudaraan)

Pengudaraan yang tiada aliran udara boleh mengakibatkan kita menghirup udara kotor dan pelbagai lagi bau-bauan yang kurang  menyenangkan, yang terkumpul semalaman di dalam pejabat.

Ventilasi - Pengudaraan Aircond

Oleh itu, sebelum pejabat mula beroperasi, elok membuka tingkap untuk udara semulajadi yang segar masuk dan udara kotor keluar.

Selain itu, pastikan suhu dijaga bagi mengelakkan kepanasan akibat suhu panas cahaya lampu pejabat atau sejuk seperti kutub utara. Servis penyaman udara pejabat mengikut masa yang ditetapkan dan  pasangkan air-freshener untuk kesegaran bau wangi ruang.

3 Tip Mengelakkan Kesakitan Ketika Duduk Lama Menghadap Komputer

  1. Lakukan senaman ringkas bagi meregangkan otot-otot badan di ruang kerja kita.
  2. Gunakan teknik Pomodoro® 30 minit. 25 minit digunakan untuk fokus melakukan kerja dan 5 minit untuk kita berehat sebentar.
  3. Lihat pemandangan landskap hijau untuk merehatkan mata yang kering akibat mengadap terlalu lama skrin monitor komputer.

Apabila pejabat lebih ergonomik, pekerja berasa lebih sihat, selesa dan selamat . Selain itu, produktiviti kerja pekerja akan meningkat dan berkualiti.

Disokong oleh  David J. Oborne, penulis buku Ergonomics at Work, apabila memahami bagaimana kita melakukan kerja atau berinteraksi dengan peralatan, dan apabila manusia dengan mesin dalam keadaan lengkap melengkapi, produktiviti kita akan meningkat.

Bagi pemilik sesebuah perniagaan, para pekerja merupakan aset syarikat. Ini merupakan salah satu resepi bisnes AirAsia dan merupakan faktor utama kerjayaan syarikat kapal terbang tambang murah itu.

Jika pekerja kita sakit dan tidak dapat diganti, syarikat boleh rugi.

Oleh itu, jadikan pejabat kita tempat yang selamat dan selesa untuk bekerja.

Kredit gambar: EzuDrmsm69, Cpierry, V-e-m, Stacey Huggins, Ethosource


Tags: , , , , ,
kajiankes

Kajian Kes Majalah Niaga

Ini pendedahan ekslusif bagaimana kami menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM5xxx sebulan menggunakan platform blog. Percuma dalam tempoh masa TERHAD.

Muat Turun Sekarang

Komen (1)

  1. Pengguna komputer di Malaysia perlu diberi kesedaran tentang kepentingan ergonomi dalam penggunaan komputer. Jika tidak, generasi Y berkemungkinan akan mendapat berbagai penyakit yang disebabkan oleh penggunan komputer secara tidak ergonomi.

Pendapat anda?