Harta Intelek – Hak yang Perlu Dihargai

September 05, 2011 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Sebagaimana harta ketara yang kita miliki seperti kereta, rumah dan wang ringgit, harta intelek juga perlu dilindungi bagi memastikan pemiliknya memperoleh hak, dan manfaat daripada harta intelek yang dihasilkan.

Perlindungan harta intelek membolehkan pengkarya dan pencipta bebas menghasilkan karya dan ciptaan masing-masing tanpa sebarang ancaman.

Penulis Buku yang Terseksa

Bagi seorang penulis buku, banyak masa dan tenaga dihabiskan bagi menghasilkan karya yang berkualiti untuk bacaan pembaca setianya. Setiap karya dihasilkan berdasarkan kajian bertahun-tahun dan pengalaman penulis yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Apa akan terjadi jika karya penulis ini tidak mendapat sebarang perlindungan? Sudah tentu karya penulis ini tidak akan dihargai dan sesiapa sahaja boleh mengubahsuai, menyalin dan meniru karya penulis ini sesuka hati tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada penulis.

Sekiranya hal ini berlaku, penulis tidak akan lagi bebas berkarya memandangkan hasil karyanya terdedah pada pelbagai ancaman. Penulis juga tidak akan mendapat manfaat dari segi kewangan hasil royalti penjualan bukunya, memandangkan buku-bukunya telah dibuat salinan dan dijual oleh pihak lain tanpa kebenaran penulis serta penerbit bukunya.

Si Pencipta yang Dipergunakan

Seorang pencipta pula sudah tentu bertungkus lumus siang dan malam, untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan baru bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah, hasil daripada penggunaan produk ciptaannya.

Setiap ciptaan memerlukan kos yang tinggi serta kajian selama bertahun-tahun bagi menghasilkan ciptaan yang sempurna dan memberi manfaat kepada umum. Namun malang bagi pencipta ini kerana hasil ciptaannya telah ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pihak ini telah menjual hasil ciptaannya dan mendakwa ciptaan ini adalah hasil idea pihak yang meniru tadi. Pencipta yang menghabiskan sebahagian daripada kehidupan sehariannya mencipta ciptaan tadi telah kehilangan hak, dan tidak mendapat sebarang manfaat kewangan hasil daripada ciptaannya.

Memandangkan ciptaannya mudah untuk dieksploitasi oleh pihak lain tanpa sebarang sekatan, maka pencipta tadi telah berhenti menjadi seorang pencipta, dan negara telah kehilangan sorang pencipta yang mampu menghasilkan ciptaan-ciptaan yang memberikan manfaat kepada negara.

Kepentingan Harga Intelek

Di atas adalah dua situasi yang akan berlaku sekiranya karya dan ciptaan, yang merupakan antara bentuk harta intelek tidak mendapat sebarang perlindungan undang-undang. Perlindungan harta intelek akan memastikan pengkarya dan pencipta mendapat perlindungan sewajarnya, daripada sebarang manipulasi dan eksploitasi tanpa kebenaran terhadap hasil karya dan ciptaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain daripada perlindungan, undang-undang harta intelek diwujudkan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap pengkarya dan pencipta bagi setiap karya dan ciptaan yang dihasilkan.

Walaubagaimanapun, penghargaan dan pengiktirafan yang penting adalah daripada masyarakat awam sendiri. Ini boleh dilakukan dengan mengelakkan daripada melakukan sebarang kesalahan-kesalahan pelanggaran harta intelek seperti membuat salinan tidak sah, menjual dan membeli produk cetak rompak dan sebagainya.

Perlindungan harta intelek amat penting bagi memastikan seorang pengkarya terus berkarya, dan seorang pencipta terus mencipta. Tanpa perlindungan, sebarang karya atau ciptaan hanya tinggal sebagai karya, dan ciptaan yang tidak akan memberi sebarang pulangan serta manfaat kepada pengkarya dan pencipta.

Kita sebagai masyarakat awam juga harus mengelakkan dari melakukan kesalahan pelanggaran harta intelek bagi memberi sokongan dan penghargaan kepada pengkarya dan pencipta.

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (iantan, Alvaro Isidoromr_t_in_dc)


Tags: , , , ,

Komen (1)

Pendapat anda?