Ikhlas dan Jujur Dalam Dunia Perniagaan

April 23, 2014 — Penulis:

Kategori: Konvensional / Perniagaan

Dua sifat yang merupakan elemen terpenting yang perlu ada dalam diri seorang usahawan adalah jujur dan ikhlas. Terutamanya bagi mereka yang melakukan jualan. Sifat ikhlas dan jujur yang ‘genuine’ mampu menyebabkan bakal pembeli atau pelanggan mudah menerima kehadiran peniaga baik di peringkat permulaan, peringkat penerimaan penawaran dan seterusnya jualan berulang.

Bersikap jujur bukan hanya penting kepada pelanggan, malah kepada diri sendiri. Faedahnya tidak lain akan berbalik kepada diri kita sendiri. Namun, bukan mudah untuk menerapkan dua sifat ini dalam diri. Beberapa perkara perlu dijauhi agar sifat jujur dan ikhlas dalam berniaga dapat ditanam dalam diri.

Berangan

1. Elakkan Berangan

Elakkan penyakit Mat Jenin daripada menguasai diri kita. Angan-angan penting dan berkesan hanya jika apa yang diangankan itu diusahakan.

2. Elakkan Mengumpat

Bergosip dan mengata orang bukan pada tempatnya pasti akan memakan diri kita semula. Semakin kita amalkan akan membawa kepada sikap tidak puas hati terhadap sesuatu perkara dan berdendam. Ia mampu membuatkan fokus tugasan kita tersasar jauh. Bersikap jujur agar apa juga tindakan yang dilakukan. Bekerja dan berjual belilah secara amanah, pelanggan akan datang dengan sendiri.

3. Terima Kegagalan

Andai kata menemui kegagalan janganlah mudah melatah, kecewa atau berputus asa. Bedah siasat segera dan kenal pasti penyebabnya supaya pembetulan segera boleh dilakukan dengan sebaik mungkin agar tidak lagi diulang di masa hadapan.

Sekali kita gagal bukan bermakna kita akan gagal sentiasa. Jujur untuk bersedia menerimanya sebagai satu pengajaran dan iktibar buat kita mematangkan lagi pengalaman sedia ada.

4. Jangan Mudah Memberi Alasan

Bertindak jujur, apa juga yang dihadapi walaupun memeritkan diri kita sendiri terima seadanya dan elakkan memberi pelbagai alasan dengan sensasi sebagai ayat pelepas diri.

 5. Bertanggungjawab Sepenuhnya

Akui segera setiap kesalahan atau kecuaian yang berlaku semasa urusan jual beli. Bertanggungjawab sepenuhnya agar kita terus jujur dan ikhlas dengan apa juga hasil daripada tangan dan usaha kita sendiri. Bersikap jujur dan terima dengan hati yang terbuka. Elakkan penipuan dan berdengki sesama insan.

Jujur dan Ikhlas Berniaga

Ikhlas dan Jujur Kunci Kebahagiaan

Kejujuran dan ikhlas boleh diumpamakan seperti seekor semut hitam yang berada di atas batu hitam di malam yang kelam. Ia memang benar wujud tapi amat sukar untuk dilihat dan disedari. Latihlah diri kita agar sentiasa jujur dan ikhlas bukan kepada orang lain sahaja tetapi pada diri kita sendiri.

Tidak ada gunanya berjaya sampai ke pintu langit sekalipun seandainya kejujuran dan keikhlasan langsung tidak wujud dalam diri. Hanya kejujuran dan keikhlasan yang dapat memandu kita ke arah lebih bertanggungjawab dan bertungkus lumus dalam melakukan jualan secara berhemah dan baik di mata bakal pembeli mahupun pelanggan.

Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya Allah telah memberikan wahyu kepada ku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim).

Kredit foto: settingforthrapadmalandofchaos


Tags: , , , , , ,

Komen (4)

Pendapat anda?