Industri Kecil Sederhana – Pintu Ekonomi Dunia

December 30, 2013 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Konvensional / Perniagaan

Dalam kehidupan seharian manusia, kita diberi kekuatan akal dan jasmani untuk menguruskan kelangsungan hidup yang mencabar. Dunia yang dihamparkan Allah Taala menjadi tempat untuk mencari sesuap rezeki bagi memberi kepuasan naluri manusia amnya.

Kali ini penulis ingin berkongsi secebis ilmu kepada para pembaca tentang ilmu perniagaan yang sudah menjadi kerjaya sesetengah masyarakat kita iaitu Industri kecil sederhana. Ramai pihak tertanya-tanya mengapa tajuk ini dipilih?

iks

Pada hemat penulis, industri kecil sederhana inilah yang telah melahirkan bahkan mengeluarkan sejumlah peniaga atau usahawan menjadi seorang ‘role-model’ atau contoh terbaik bagi masyarakat di luar sana.

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan meningkat ke industri kecil sederhana seterusnya kepada perniagaan dengan skop yang lebih luas, ini merupakan kemuncak kejayaan seseorang dalam mengharungi liku-liku perniagaan dalam zaman serba moden ini.

Secara amnya industri kecil sederhana ini dilakukan oleh sejumlah 1-19 orang dalam membuat atau menghasilkan produk untuk dipasarkan. Ia banyak dimonopoli oleh masyarakat melayu Islam sebagai satu garis panduan dalam mendalami ilmu perniagaan.

kerepek2

Dalam hal yang demikian, ia berjaya menepis kata-kata sinis yang mengatakan bahawa orang melayu Islam hanya pandai menjadi pengguna sahaja tanpa memikirkan kaedah untuk mengeluarkan sesuatu produk untuk kegunaan umum.

Seharusnya kita bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kerana industri ini banyak dibantu oleh agensi kerajaan mahupun swasta dalam menjayakan ekonomi yang merupakan nadi utama kehidupan seharian. Agensi seperti MARA, GAPEM, bank-bank dan koperasi sudi mengeluarkan belanjawan bagi membolehkan mereka yang terlibat dalam industri ini meminjam serta mengusahakan perniagaan.

Penulis bukan ingin membicarakan tentang agensi swasta atau kerajaan yang membantu golongan ini, cukuplah sekadar kita memanfaatnya, hikmah serta kesan jangka panjang atau pendek dalam menceburi bidang ini.

Disini suka penulis lontarkan beberapa asas dalam mengembleng industri ini sebagai medium punca rezeki yang mana industri ini dijadikan platform atau tapak asas dalam ekonomi sesebuah syarikat atau keluarga.

Ia sebagai pemangkin ekonomi yang mana mengajar kita tentang urus masuk kewangan, sistem jual-beli, pembayaran hutang lapuk bagi mengelakkan kerugian atau defisit dan yang paling utama melabur untuk hari akhirat iaitu sedekah sebagai imbalan amalan ibadah kita diakhirat kelak.

Mengapa subjek pemangkin ekonomi menjadi terasnya? Hal ini bertepatan dengan hadis nabi kita Rasullah s.a.w, baginda bersabda;

“Sesungguhnya kemiskinan itu menghampiri kepada kekufuran”.

Daripada hadis yang dinyatakan jelas kepada kita bahawa setiap kekurangan dalam kehidupan berkait rapat dengan kesan jangka pendek mahupun panjang.

Segala kesiapsiagaan perlu diiringi dengan pemacu ekonomi yang kuat dan kukuh. Oleh sebab itu, istilah ekonomi tidak dapat lari dalam kehidupan kita dan perniagaan merupakan salah satu cabang yang perlu dipupuk minat dikalangan anak muda sebagai aset masa depan.

IKS Nelayan

Pendekatan yang berbeza meliputi kawasan bandar dan luar bandar sering dijadikan kayu pengukur dalam memberikan kepuasan yang setimpal. Oleh yang demikian, perancangan sesuatu gerak kerja haruslah dilakukan secara sistematik dan efisyen.

Sesuatu barang jualan yang hendak dipasarkan tidak terlepas daripada cara pemasaran, cara penjualan, sasaran pelanggan atau pun testimoni pelanggan. Ini merupakan sifir kehidupan orang berniaga yang sentiasa belajar daripada pengalaman sehari-hari.

Ikon atau ‘role model’ dalam bidang perniagaan tidak dapat lari dari bayang-bayang kesusahan ketika mula-mula bertapak dalam bidang perniagaan. Industri kecil sederhana ini merupakan medium pengenalan kepada ilmu perniagaan sebelum melangkah kepada skop yang lebih luas dan mencabar.

Kita sering impikan untuk menjadi seorang peniaga yang kaya raya, yang dapat membeli segala kehendak yang tidak putus-putus tapi kita sering abaikan bahawa setiap kesusahan pada permulaannya ada kesudahannya (kesenangan).

Doa

Bertepatan dengan firman Allah taala didalam surah al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud,

“Maka sesungguhnya setiap kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan”.

Maka kita telah dibekalkan dengan ilmu yang tidak putus-putus dari al-Quran itu sendiri yang sentiasa menggesa agar kita sebagai orang Islam meletakkan kejayaan sebagai keutamaan bagi melihat hasil daripada setiap kerja yang kita lakukan.

Inilah yang perlu ada dalam diri setiap individu supaya melihat industri kecil sederhana ini sebagai batu loncatan dalam meletakkan kita setaraf dengan ahli perniagaan mahupun usahawan, pelaksanaan ini memerlukan usahasama antara komuniti masyarakat khususnya dikalangan orang Melayu Islam sendiri. Berikut saya sertakan contoh sebagai “azimat’ sebelum menceburi bidang ini.

Antara ikon yang telah berjaya termasuklah:

1) Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary

Seorang tokoh peniaga yang paling berjaya. Bagaimana beliau berjaya? Beliau memulakan perniagaan hanya dengan menternak lembu disamping membuka syarikat pengangkutan. Syarikat pengangkutan ini berfungsi sebagai medium memasarkan beras.

Beliau membeli lori tersebut melalui pinjaman Mara. Ini sebagai langkah awal beliau dalam mengembleng industri kecil sederhana sebelum melangkah menjadi seorang usahawan terkenal.

2) Ezanny Nizarif- Pelakon

Siapa yang tidak kenal dengan pelakon tanah air ini yang banyak menghiasi televisyen. Disebalik bakat lakonan beliau, tersirat bakat berniaga yang menjadi pendapatan sampingan. Beliau telah menghasilkan produk yang menjadi kegemaran masyarakat setempat iaitu belacan dan kicap.

Produk beliau berjaya dijual diserata pasaraya bahkan menjadi serampang dua mata untuk mempromosi nama beliau dalam dunia hiburan dan lakonan .

3) Dato’ Syed Mashor Syed Mahmood – Pengasas Produk Rempah ADABI

Nama yang sinonim dengan produk makanan terkenal tanahair iaitu ADABI. Beliau yang memulakan perniagaan dengan kosong akhirnya telah memasarkan hasil produk makanan ADABI sehingga dikenali ramai.

Bermula operasi di kilang kecil di Batu Caves sehingga berpindah ke kilang-kilang yang lebih besar sesuai dengan permintaan pelanggan yang makin meningkat. Bahkan jenama ADABI ini berjaya menembusi pasaran hasil daripada kesungguhan dan hasil keluaran industri kecil sederhana.

Usaha + Kesungguhan + Doa + Tawakal = Kejayaan

Berdasarkan 3 contoh yang penulis sertakan tadi, di harapkan ia mampu memotivasi pembaca supaya melihat industri ini sebagai perniagaan yang menguntungkan serta memberi pulangan kepada hasil perlaburan.

Meraka semua hanyalah manusia biasa seperti kita, akan tetapi motivasi diri dan kesungguhan yang membuatkan mereka berjaya disamping berdoa kepada Allah Taala sebagai pergantungan kita kepada-Nya.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud,

“Sembilan dari sepuluh pintu rezeki terletak didalam perniagaan”.

Doa dan Tawakal

Oleh yang demikian dalam apa jua lapangan hidup kita dalam menceburi bidang perniagaan, janganlah kita mengabaikan junjungan kita Rasullah s.a.w sebagai seorang ahli peniaga yang jujur dan amanah, sebagai contoh tauladan dalam sudut ekonomi dalam melaksanakan tugas baginda ketika di Mekah.

Baginda berjaya menjual barang dagangan Siti Khatijah sehingga membawa keuntungan bahkan baginda diajar berniaga sejak muda lagi ketika mengikuti ayah saudara baginda Abu Talib ke Syam untuk berniaga kambing.

Hasilnya, ketika syiar Islam mula berkembang di kota Mekah, lahir sahabat Nabi s.a.w, Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uthman serta Abdul Rahman b. Auf serta ramai lagi lahir dari celah-celah kehidupan masyarakat Arab sehingga menjadi peniaga yang berjaya.

Inilah sunnah rasul dan nabi iaitu berniaga. Perkara yang dilihat mudah untuk mendapatkan pendapatan akan tetapi memerlukan kesabaran dan kesungguhan untuk mendapatkan hasilnya. Walau apa pun segala pekerjaan kita, hendaklah kita niatkan sebagai ibadah agar mudah-mudahan menjadi ‘bonus terkumpul’ kita diakhirat kelak.

Sesungguhnya Allah tidak meletakkan bebanan melainkan kesanggupan hamba itu sendiri. Penulis berharap agar industri kecil sederhana ini menjadi pelopor bagi orang Islam khususnya agar ‘penyakit umat’ iaitu kemiskinan dapat dihindarkan.

Penyakit ini boleh menjadi duri dalam daging sesebuah tamadun manusia sehingga membawa kesan kepada akidah itu sendiri (qada dan qadar). Ini kerana agama Islam tidak menghalang seseorang itu menjadi kaya raya akan tetapi harta kekayaan tersebut haruslah dijadikan ‘jambatan’ untuk meraih keredhaan dan keberkatan dari Allah taala.

Kredit Foto: UriyEQFnxuITkFatOuuuoIirumgemrehan00mdpaiLYuCuwI


Tags: , , , , , ,

Komen (1)

Pendapat anda?