Kenali Si ‘Pembunuh Senyap’ Karier Jualan

March 19, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Komunikasi / Pemasaran

Siapa yang tidak suka pada kejayaan. Semua orang pasti berkehendak agar apa yang diidamkan menjadi satu realiti. Berlumbalah masing-masing bagi membuktikan apa yang diidamkan bukanlah satu dongengan kosong.

Kesungguhan dan kegigihan seseorang dalam mengejar impian tersebut memberi petunjuk kepada kejayaan yang bakal di kecapi. Jika dilakukan dengan betul, pasti kejayaan akan menjelma mengikut apa yang telah diusahakan dengan gigih selama ini.

Memang seronok apabila berjaya mencapai impian namun ia boleh juga melalaikan seseorang. Kejayaan merupakan satu ujian dari Allah yang perlu kita hadapi dan tempuhi. Perlu sematkan sentiasa di minda, ujian itu bukan saja datang dalam bentuk kesukaran, malah kesenangan juga satu ujian.

Cuma bentuk ujian terhadap manusia berbeza-beza. Dalam kita menjaga agar karier kita berada dalam satu situasi yang baik dan menyeronokkan, jangan pula kita lupa dan alpa kerana jika kejayaan tersebut tidak di jaga dan di pelihara, ia mampu menjadi pembunuh secara senyap pula buat karier kita sendiri.

Oleh itu pelihara sebaik-baiknya agar sama sekali tidak menjejaskan karier jualan kita di masa sekarang dan seterusnya di masa hadapan pula. Elakkan perkara-perkara ini daripada berlaku:

Lupa Diri

1. Mudah lupa diri

Jangan mudah berlagak sombong dan merasa diri sudah terlalu hebat dengan apa yang telah dikecapi selama ini. Kejayaan yang dinikmati bukanlah lesen untuk menjadi bongkak dan takbur.

Terlalu meninggi diri akan menjerumuskan kita kepada lembah kealpaan dan kegagalan. Percayalah jika perkara ini kita kekalkan sudah pasti bakal pembeli, pelanggan dan rakan setugas kita akan lari meninggalkan kita pula.

 2. Bercakap besar

Perkari yang paliing perlu dielak ialah bercakap besar. Pasti orang yang berada di hadapan kita akan meluat dan membenci kelakuan kita. Urusan jualan tidak akan berlaku sekiranya kita menonjolkan sifat negatif secara konsisten.

 3. Rasa diri lebih hebat

Jika kita merasa diri hebat, sudah pasti ada yang lebih hebat daripada kita. Jika kita mudah rasa diri hebat bermakna kita akan mudah memandang rendah keupayaan orang lain.

Bagaimana kita hendak membantu dan menolong seseorang jika kita sibuk merasa taksub dengan kehebatan diri sendiri. Ego dan perasaaan seperti ini perlulah dibuang jauh-jauh agar tidak memakan diri sendiri kelak.

The Sopranos

 4. Mula mementingkan diri sendiri

Pasti sukar melakukan jualan apabila sikap tamak sudah mula menular dalam diri kita sendiri. Sikap tamak ialah apabila tidak memikirkan kepentingan diri orang lain tetapi sibuk memikirkan apa yang boleh dibuat untuk memuaskan nafsu diri sendiri terlebih dahulu.

Orang yang tamak sering memanipulasi keadaan yang boleh mendatangkan keuntungan pada dirinya sahaja. Tanpa mengira situasi, keuntungan yang ada pada orang lain seboleh-bolehnya akan di tarik juga kepada diri sendiri.

5. Lebih banyak menerima daripada memberi

Usahawan yang memiliki sifat ini sering memikirkan apa yang boleh diperolehnya semaksimum yang termampu. Komisyen dan pendapatan tambahan menjadi buruan utama tanpa memikirkan usaha orang lain yang melakukannya.

Jika boleh, semua keuntungan, bonus, komisyen dan lain-lain lagi akan dikaut untuk kepentingan diri sendiri. Bersedekah, menghulurkan derma jauh sekali. Ia dikira rugi yang amat sangat apabila merasakan apa yang diterima selama ini, hasil pencarian titik peluh diri sendiri.

Berperibadi Mulia

Sekiranya kejayaan yang telah diraih tidak ‘dipagari’ daripada sifat-sifat buruk yang disebutkan di atas, ia pasti akan membunuh dan meranapkan karier jualan dan perniagaan kita secara senyap tanpa kita sedari. Jauhkan sifat seolah-olah segala usaha dan kejayaan datangnya daripada kerajinan diri sendiri tanpa bantuan sesiapa walaupun Allah.

Sentiasa sedar hidup ini umpama sebuah bulatan ada masanya kita berada di puncak dan ada kalanya tiba-tiba sahaja kita berada di bawah pula. Sebagai seorang usahawan, sentiasalah mendahulukan akal dan pertimbangan wajar sebelum melakukan apa jua perkara yang berkait rapat dengan karier keusahawanan.

Kredit foto: headacheluc_htaylorkelleyoneredpantherusaid


Tags: , , , ,

Komen (2)

Pendapat anda?