Kesilapan Besar Yang Sering Berlaku Dalam Pengiklanan

February 04, 2011 — Penulis:

Kategori: Strategi Online & Offline

Terdapat satu cara ringkas untuk menjawab pelbagai soalan berkaitan pengiklanan. Tanya kepada diri anda

“Adakah cara ini membantu seorang jurujual untuk menjual barangannya?”.
“Adakah ini membantu saya menjual jika saya bertemu dengan prospek?”

Jawapan yang jujur terhadap soalan-soalan di atas mampu mengelakkan kesilapan besar dalam proses pengiklanan.

Pengiklanan adalah proses kejurujualan. Prinsip-prinsip asas pengiklanan sama dengan prinsip-prinsip kejurujualan. Justeru, setiap persoalan pengiklanan wajar dijawab menggunakan standard kejurujualan.

Anda patut memberi perhatian besar kepada perkara ini. Tujuan pengiklanan adalah untuk mendapatkan jualan. Sama ada sesebuah iklan menguntungkan atau tidak, disukat melalui nilai jualan produk atau servis yang berjaya diperolehi.

Pengiklanan Adalah Kejurujualan Yang Digandakan

Perbezaan antara pengiklanan dan kejurujualan adalah bilangan audiens. Pengiklanan adalah proses kejurujualan yang digandakan. Jurujual berkomunikasi dengan seorang prospek pada suatu masa manakala pengiklanan bekomunikasi dengan ribuan orang.

Dalam sesetengah keadaan setiap perkataan dalam satu iklan boleh berharga sehingga beratus-ratus ringgit. Jadi setiap iklan perlulah menjadi super-salesman, bukannya salesman yang biasa-biasa sahaja.

Kesilapan seorang jurujual dalam proses kejurujualannya mungkin melibatkan kos yang rendah. Sebaliknya kesilapan seorang pengiklan akan melibatkan kos yang berkali ganda. Berhati-hatilah semasa menulis iklan.

Jurujual Baik VS Jurujual Kurang Baik

Jurujual yang kurang baik akan memberi kesan yang sedikit sahaja terhadap sesebuah perniagaan, kerana mungkin ada jurujual lain yang mampu melakukan proses jualan dengan lebih baik. Sebaliknya iklan yang kurang baik akan memberi kesan terhadap keseluruhan perniagaan anda.

Apabila menulis iklan, letakkan dalam fikiran anda bahawa anda perlu meyakinkan pembeli tegar. Dalam setiap apa yang anda tulis, bayangkan anda bertemu secara bersemuka dengan beliau. Jika dalam keadaan sebenar, tentu sekali anda akan melakukan yang terbaik untuk meyakinkan beliau.

Sesetengah penulis iklan akan pergi menjual produk atau perkhidmatan dengan bertemu prospek yang sebenar sebelum beliau menulis iklan. Mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah, rumah dan pejabat untuk mendapatkan reaksi pengguna tentang produk yang ingin dipasarkan.

Dengan cara ini, mereka belajar tentang pelbagai bantahan, dan cara untuk meyakinkan klien.

Kaji Prospek Terlebih Dahulu!

Mereka mempelajari tentang apa yang prospek kehendaki, dan juga yang tidak diingini. Sebahagian dari mereka menemuramah prospek dan sebahagian yang lain menghantar kaji selidik untuk mengkaji kehendak prospek.

Mengapa penulis-penulis berkenaan sanggup melalui kesukaran sedemikian semata-mata untuk menghasilkan sebuah iklan? Kerana mereka mengetahui bahawa sekadar menggunakan rasa hati adalah cara yang berbahaya.

Seorang penulis iklan yang kurang baik mungkin mengetahui secara mendalam tentang produk. Malangnya pengetahuan mendalam berkenaan membuatkan beliau terlupa tentang prospek.

Beliau sewajarnya mengetahui bahawa perkara yang menarik minatnya belum tentu menarik minat prospek. Sebaliknya penulis iklan yang bagus mempelajari selok belok prospek. Semasa menulis iklan, beliau cuba meletakkan dirinya di tempat prospek.

Berfikirlah Seperti Seorang Jurujual

Sebab utama pengiklanan gagal adalah ia menjual apa yang prospek tidak perlukan. Sebab penting yang seterusnya adalah kurang kefahaman tentang proses kejurujualan. Jadi, semasa menulis iklan letakkanlah diri anda di tempat seorang jurujual. Berfikir dan bertindaklah seperti seperti seorang jurujual dalam penulisan iklan.

Ingatlah bahawa kesilapan jurujual hanya mendatangkan kesan yang kecil terhadap perniagaan manakala kesilapan penulis iklan boleh mengakibatkan kerugian yang boleh menjejaskan keseluruhan perniagaan.

Kredit gambar yang diambil dari laman Flickr.com (mrbrkly) serta (caccamo)


Tags: , ,

Komen (16)

    1. Kajian pasaran adalah satu kemestian, jika kita mahu sampaikan mesej produk atau servis kepada prospek. Bahaya jika main redah, lebih-lebih lagi jika iklan kita memakan kos yang tinggi.

      Terima kasih atas perkongsian tuan. 🙂

  1. Saya setuju dgn apa yg dikongsikan…

    Iklan harus memenuhi kehendak pelanggan…

    Iklan yg menarik pelanggan akan memberi kesan ke atas jualan yg dihasilkan

    1. ya tuan, perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu dan anggap kita sebagai pelanggan.itu langkah terbaik untuk menghasilkan iklan yang betul-betul mantap!

    1. sama-sama imo imora. paling tidak, artikel ini membuka mata supaya kita perlu lakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan dalam pengiklanan 😉

  2. Pengiklanan adalah tunjang utama dalam apa jua bidang perniagaan. Tanpa pengiklanan yang berkesan, akan memberi kesan pada sesuatu perniagaan tersebut 🙂

  3. Terima kasih dengan perkongsian yang menarik ini…. penulis iklan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan halatuju sesuatu iklan itu…

  4. Terima kasih atas kesudian sahabat-sahabat membaca artikel ini. Ia ditulis berdasarkan kajian terperinci pakar-pakar dalam bidang pengiklanan dan juga pengalaman saya sendiri menulis iklan dan bahan-bahan promosi syarikat saya dan klien. Di samping itu, kajian tesis master saya juga tentang ini di mana saya telah membaca lebih 200+ buku

Pendapat anda?