The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.
  • KL Gangster dan RM11 Juta – Formula Kejayaan Syamsul Yusof

    Ketika pengumuman filem KL Gangster akan ditayangkan di pawagam pada 9 Jun 2011, majoriti rakyat Malaysia berpendapat filem ini adalah satu lagi filem yang hanya digembar-gemburkan bagus daripada segi ‘trailer’ yang menarik perhatian sahaja.

    Shamsul Yusof, pengarah filem KL Gangster

    Namun pengarah filem ini, iaitu Syamsul Yusof, berjaya membuktikan sekali lagi, filem KL Gangster adalah filem yang bakal menghasilkan kejutan, serta jauh lebih baik daripada filem-filem genre samseng yang pernah dihasilkan pengarah lain.

    Selain daripada filem KL Gangster, anak pengarah filem terkenal Yusof Haslam ini telah berjaya membuktikan sentuhannya dalam dunia seni ini mempunyai magik tersendiri. Berikut adalah jumlah kutipan filem-filem yang telah beliau hasilkan sebelum ini.

    • Evolusi KL Drift – RM4.5 juta.
    • Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam – RM4.5 juta.
    • Evolusi KL Drift 2 – RM6.2 juta.
    • Khurafat – RM8.3 juta.

    Jika dilihat dalam bentuk statistik atau graf, purata keseluruhan jumlah kutipan filem Syamsul Yusof ini menunjukkan satu prestasi yang baik. Beliau juga turut membuktikan berkali-kali, anak muda tempatan juga mempunyai bakat yang setaraf seperti pengarah filem antarabangsa. Bezanya cuma terlalu kurang peluang yang diberikan, untuk mencungkil bakat mereka.

    Kejutan Kutipan RM11 Juta dan Rahsia Belakang Tabir

    Menurut entri dalam blog Syamsul Yusof, beliau menyatakan jumlah kutipan filem KL Gangster sudah mencecah RM11 juta. Jumlah ini juga dikatakan telah melakar satu sejarah baru, dalam industri perfileman Malaysia. Kerana jumlah kutipan sebanyak RM11 juta adalah jumlah yang paling tinggi untuk filem tempatan.

    Aksi-aksi KL Gangster

    Bukan itu sahaja, filem ini juga ditayangkan di pawagam negara luar seperti Brunei dan Singapura, berdasarkan pemerhatian kami menerusi laman sosial Facebook, sambutannya positif dan menggalakkan.

    Malah ada seorang pengguna Facebook yang tinggal di Singapura menyatakan, filem ini mendapat sambutan yang hangat pada hari pertama ditayangkan di sana.

    Persoalannya, adakah Syamsul Yusof mempunyai formula-formula kejayaan rahsia? Adakah jumlah kutipan dan kejayaan filem ini dirancang? Dalam blog beliau menyatakan…

    5 Formula Kejayaan Syamsul Yusof

    #1 – Usaha Berterusan Tanpa Kenal Erti Jemu

    Usaha itu satu kemestian. Tetapi dalam kita berusaha, kita akan menemui pelbagai jalan buntu dan masalah. Bagi yang tidak mempunyai matlamat jelas dalam kehidupannya, masalah-masalah begini yang akan membuatkan kita terduduk, sekaligus membuat keputusan untuk mengaku kalah.

    David Teo dan Syamsul Yusof

    Bagi Syamsul, usaha itu harus dilakukan secara istiqamah. Malah kita tidak seharusnya jemu dengan apa yang sedang kita usahakan. Yakinlah ia pasti akan tercapai. Lambat atau cepat, semuanya di tangan Tuhan.

    Seperti pesan Adly Mukhtar, pengasas syarikat Flarebiz Network,

    “Rehatlah jika terpaksa. Tetapi jangan sesekali mengaku kalah.”

    #2 – Buka Minda dan Dengar Pandangan Orang Sekeliling

    Dalam situasi tertentu, kita akan rasa diri kita ini hebat. Kerana dahulu kita pernah capai apa yang orang lain kata mustahil. Akibat daripada pengalaman ini, kita memekakkan telinga untuk mendengar pendapat orang lain.

    Tetapi berbeza dengan pengarah filem berusia 27 tahun ini, beliau memberitahu formula kejayaan yang digunakan adalah memiliki sifat minda terbuka. Malah beliau juga turut mendengar pandangan para sahabat lain seperti krew, rakan-rakan, dan pelbagai lagi.

    Bagi Syamsul, setiap seorang mempunyai keistimewaan sendiri dan setiap nasihat itu pasti ada kebaikannya. Jangan kerana pangkat yang tinggi, kita tidak pernah mengambil nasihat daripada orang yang rendah daripada kita.

    Dengarlah nasihat orang sekeliling, dan ambil perkara yang baik-baik sahaja.

    #3 – Jangan Malu Bertanya Orang Berpengalaman

    Syamsul Yusof ketika pelancaran salah satu filemnya

    Pepatah Melayu pernah menyatakan,

    “Malu bertanya sesat jalan.”

    Dalam dunia keusahawanan juga begitu. Kita perlu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Ini bertujuan untuk:

    • Memendekkan ‘learning curve’ untuk mencapai sesuatu.
    • Mendengar nasihat orang yang sudah lalui situasi itu.
    • Mendapatkan tip dan formula untuk mengelakkan kita daripada terjerumus dalam kancah kegagalan.

    Hal ini bukan sahaja dinyatakan oleh Syamsul Yusof, malah dalam temubual pihak Majalah Niaga bersama Dato’ Chef Li, beliau menyatakan betapa pentingnya untuk kita memiliki mentor. Agar kita tahu apa yang patut dilakukan, serta apa yang perlu dielakkan ketika memulakan perniagaan.

    #4 – Sikap Sombong Akan Makan Diri

    “Janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi, dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” – Al Israa’ 37

    Ayat al-Quran di atas menunjukkan betapa rendahnya martabat orang yang sombong di sisi Tuhan. Seringkali kita lihat seseorang yang mempunyai jawatan tinggi, kekayaan harta yang banyak mempunyai sikap sebegini. Malah orang yang miskin juga tidak terlepas daripada sikap takabbur ini.

    Syamsul Yusof

    Nasihat pengarah Syamsul Yusof, kita perlu sedar setiap perbuatan yang kita lakukan, hasilnya berada dalam tangan Tuhan. Jika ia membenarkan kejayaan itu berlaku, maka ucapkan tanda syukur dan terima kasih kepada-NYA.

    Jangan bersikap sombong, kerana kelak ia akan makan diri kita sendiri.

    #5 – Restu Ibu Bapa dan Keluarga Dorongan Utama

    Kisah Si Tanggang yang disumpah menjadi batu oleh ibunya jelas menunjukkan, perbuatan mengkhianati ibu bapa adalah satu dosa besar. Perbuatan menjaga ibu bapa juga ditegaskan dalam surah an-Nisa’, yang membawa maksud:

    “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada orang tua (ibu bapa).”

    Shamsul Yusof dan Yusof Haslam

    Justeru itu, dalam apa jua perniagaan yang kita lakukan, dapatkan restu ibu bapa terlebih dahulu. Kerana dengan keizinan mereka, maka Tuhan akan makbulkan impian-impian yang ingin kita kecapi.

    Ini adalah formula-formula kejayaan yang digunakan oleh Syamsul Yusof, untuk memperoleh kutipan filem sebanyak jutaan ringgit. Ia boleh digunakan dalam dunia keusahawan, kerana setiap nasihat itu, walau pun datangnya daripada arah yang berbeza, ia tetap boleh digunakan untuk tujuan yang sama.

    Salam kejayaan untuk para pembaca jutawan.

    P.S: Apa respon tuan dan puan terhadap filem KL Gangster ini? Bagi kami, memang filem yang lain daripada lain.

    Kredit gambar yang diambil dari Flickr (Facebook KL Gangster, Facebook Syamsul Yusof, Gua.com.my, kamellsouloftom)

    Pengiklanan Premium

    Tags: , , , , , , , ,

    Aqif Azizan merupakan usahawan internet, dan pengasas syarikat Inovattic. Syarikat teknologi maklumat yang menerbitkan informasi menggunakan media baru. Antara projek yang mendapat liputan media secara meluas adalah Majalah Niaga dan Komik Niaga.

    Visit author's website

    Adakah artikel ini sangat berguna dan bermanafaat buat anda? Jika ya, isi nama panggilan dan email utama anda di bawah untuk menerima artikel terbaru terus ke email anda. Seramai 1468 orang yang telah mendaftar! Anda bila lagi?

    1. Safwan Seth pada 28 Jun 2011

      Saya pernah berjumpa dengan syamsul yusof ketika preview filem Khurafat. Beliau memang seorang yang rajin mengkaji filem-filem hantu dari dalam dan luar negara sebelum menghasilkan filem Khurafat. Hasilnya filem itu meraih kutipan RM8.3 juta

      Tahniah diucapkan kepada Syamsul Yusof:)

      • Aqif Azizan pada 28 Jun 2011

        Perkara yang baik-baik itu kita ambil. Yang keruh itu kita buang jauh-jauh. Terima kasih Tuan Safwan. :)

    2. Ahmad Tarmizi pada 28 Jun 2011

      Memang tak disangkal lagi pencapaian yang dilakukan oleh Syamsul Yusof memang luar biasa. Cuma apa yg sy dapat rumuskan di sini apa pun kita buat dan usaha jgn mudah kalah. Cuba dan cuba tapi mestilah apa yg kita nak cuba kena buat kajian dan lakukan dgn segera. Senang aje utk kita baca 5 formula tapi bolehkah kita buat semua formula itu dlm kehidupan kita seharian. Tahniah admin dan Syamsul Yusof.

      • Aqif Azizan pada 28 Jun 2011

        Terima kasih. Formula ini sesuai digunakan untuk mana-mana kerja digunakan sekali pun. Inilah tujuan sebenar entri ini ditulis. Kerana ingin buka minda kita semua, setiap usaha itu pasti akan ada ganjarannya. Tetapi yang penting adalah niat terlebih dahulu.

    3. Pustaka NurIman pada 28 Jun 2011

      Kata orang “Melayu Mudah Lupa”…betul tidak terpulang kepada kita yang menetukannya atau usaha kita untuk menyangkalnya. Pesan kepada Syamsul (diri sendiri & semua) – jangan mudah lupa diri atas kejayaan yang dicapai. Moga kejayaan terus menerus dicapai

      • Aqif Azizan pada 28 Jun 2011

        Mudah-mudahan kita dapat ambil perkara yang baik-baik. :)

    4. Anonymuslim pada 28 Jun 2011

      Anda tidak patut mengaitkan ayat quran utk menyokong hiburan yg lalai ( KL Gangster)

      • Aqif Azizan pada 28 Jun 2011

        Terima kasih atas teguran ini. Namun apa yang diketengahkan adalah usaha yang cuba ditonjolkan. Mohon para pembaca tidak salah faham. :)

    5. nazarudinyaacob pada 28 Jun 2011

      terbaik! pencapaian anak muda yang patut dijadikan contoh! syabas Syamsul Yusuf.

      • Aqif Azizan pada 28 Jun 2011

        Terima kasih Tuan Nazarudin Yaacob. Semoga usaha ini dilihat daripada perspektif yang baik. ;)

    6. Akmal Najiy pada 28 Jun 2011

      anak muda yg hebat, “MEMEYY LAAA” (ayat KL gangster) dicontohi semangat keusahawanannya. :)

    7. ahmadyani pada 28 Jun 2011

      Semangat dan cara kerja itu yang hendak ditiru. Perangainya…janganlah ditiru

      • Aqif Azizan pada 29 Jun 2011

        Benar tuan. Tujuan saya menulis entri ini adalah untuk berkongsi perkara bermanfaat yang boleh diambil kebaikannya sahaja. ;)

    8. sayacomel pada 29 Jun 2011

      rezeki anak bapak nih. hehe..

    9. Syed Fauzi pada 29 Jun 2011

      Kuasa permasaran yang hebat tahniah Shamsul Yusof. Kita take it positif way mudah2an kita dapat manfaat =)

    10. Firdaus Latib pada 29 Jun 2011

      Pemilihan pelakon yang terlibat dan jalan cerita yang ‘jelas’ membantu menjayakan filem ini.

      Manakala, faktor-faktor kejayaan tersebut sememangnya karakter yang perlu ada dalam diri para usahawan lebih lebih lagi restu ibu bapa.

    11. Abdul Rahman pada 29 Jun 2011

      Filem ini memang Young and Dangerous ;-)

      http://en.wikipedia.org/wiki/Young_and_Dangerous

      • Aqif Azizan pada 29 Jun 2011

        Bab kongsi gelap. Abdul Rahman lebih arif daripada saya. Hehe.

    12. ella pada 05 Sep 2011

      KL Gangster memang filem yang best, tak jemu walau ditengok berkali-kali. Kali pertama tengok banyak tak faham apa yang disebut dan dimaksud. Dah 2 – 3 kali tengok baru boleh faham .. Perkataan-perkataan yang disebut pulak adakalanya lucu..

    13. lili pada 11 Oct 2011

      tag line paling aku suka, “serammm nih!”. STYLE DOWH! hehe..

    14. code7 pada 26 Oct 2011

      good point… yang baik itu diambil sebagai panduan, supaya kita tidak ketinggalan untuk mencipta lebih banyak kejayaan…


    Tinggalkan Komen Anda