Kodak Gagal & Bankrap Selepas 131 Tahun Operasi

March 05, 2012 — Penulis:

Kategori: Konvensional

Kebanyakan penganalisa ekonomi meramalkan, pada tahun 2012 banyak syarikat-syarikat besar akan merasai kesan kegawatan ekonomi dunia akan menjadi lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.

kodak-gagal-dan-bankrap

Ia dimulakan dengan berita pengumuman penutupan bahagian kamera jenama Kodak sehingga terpaksa memfailkan perlindungan bankrup.

Pengumuman ini mengejutkan pemain-pemain industri korporat dunia terutama di Amerika Syarikat. Ini kerana syarikat Eastman Kodak Co. (Kodak) mempunyai reputasi sebagai salah satu syarikat global yang paling berinovasi.

Semenjak diasaskan 131 tahun yang lalu oleh George Eatsman, Kodak merupakan perintis dan pencetus kepada idea dan inovasi baru dalam industri fotografi.

5 Inovasi Kodak Sebelum Bungkus Tikar

Mula memperkenalkan kameranya pada tahun 1888 dengan slogan ‘You press the button, we do the rest’,  Kodak berterusan menghasilkan pelbagai inovasi baru yang menjadi standard baru dalam industrinya antaranya seperti berikut:

  1. Menghasilkan gulungan filem penggambaran yang mampu merakam filem dengan suara  (1929).
  2. Memperkenalkan filem Kodachrome yang mampu merakam gambar berwarna (1935).
  3. Memperkenalkan kamera ‘instamatic’ iaitu kamera pertama yang mudah digunakan oleh orang biasa malah oleh kanak-kanak dengan kaedah ‘point and shoot’ (1963).
  4. Menghasilkan kamera digital (1975).
  5. Melancarkan laman web yang membolehkan pengguna memuat naik gambar dan berkongsinya dengan pengguna lain (1997).

Malah ramai yang tidak menyedari kamera dan filem Kodak digunakan untuk mengambil gambar pertama di bulan pada tahun 1969.

Namun, apa yang menyebabkan syarikat gergasi Kodak, yang pernah menguasai 90% pasaran filem dan kamera Amerika Syarikat, ditinggalkan jauh oleh pesaingnya dalam industri kamera digital?

Terdapat dua faktor yang dikenalpasti oleh penganalisa industri menyumbang ke arah kegagalan Kodak yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang mempunyai perniagaan sendiri:

Tidak Berani Berubah

Penganalisa industri bersependapat  ini adalah faktor utama kegagalan Kodak.

kodak-gagal-dan-bankrap-1

Walaupun Kodak merupakan syarikat pertama yang menghasilkan teknologi kamera digital, namun ia tidak menggunakan kelebihan tersebut untuk menguatkan lagi cengkaman pasarannya yang pada ketika itu menguasai 85% peratus pasaran kamera di Amerika Syarikat.

Malah, jurutera Kodak yang menghasilkan teknologi tersebut pada tahun 1975, Steve Sasson, menggambarkan reaksi dingin pengurusan tertinggi Kodak terhadap inovasi tersebut seperti berikut :

‘But it was filmless photography, so management’s reaction was this, “that’s cute but don’t tell anyone about it.”

Sedangkan, ironinya, melalui kajian pasaran yang dijalankan Kodak sendiri pada tahun 1981, mereka menganggarkan era kamera digital bakal menggantikan era kamera berasaskan filem dalam tempoh sepuluh tahun lagi.

Pada masa yang sama, pesaingnya seperti Sony dan Canon melihat peluang tersebut dan membuat tepat dengan membuat pelaburan besar dalam pengeluaran kamera digital.

Menurut pakar pemasaran di Amerika Syarikat, Avi Dan, sebab utama pengurusan Kodak mengabaikan teknologi kamera digital adalah kerana mereka bimbang ia akan menjejaskan jualan gulungan filemnya, dan kertas gambar Kodak yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan Kodak.

Pengurusan Kodak sedar sekiranya ia beralih kepada kamera digital sebagai produk utama, ini bermakna  bahagian pengeluaran gulungan filem dan kertas gambar Kodak akan ditutup sepenuhnya kelak.

Takut Rugi Besar

Disebabkan pelanggan tidak perlu lagi menggunakan gulungan filem dan mencetak gambar.

kodak-gagal-dan-bankrap-2

Kedua-dua produk Kodak tersebut mempunyai margin keuntungan mencecah 80% pada masa itu, dan mereka tidak sanggup mengambil risiko ‘mengorbankan’ margin untung yang sangat tinggi ini.

Meskipun menyedari kamera digital mempunyai potensi besar untuk menjadi penjana utama pendapatan Kodak. 

Kesilapan pengurusan Kodak di sini ialah ia melihat perniagaan Kodak sebagai sebuah pengeluar produk semata-mata. Jika Disney merupakan perniagaan yang menjual keriangan dan kegembiraan, maka Kodak pula sebenarnya adalah perniagaan penceritaan (story telling)’ .

Di mana sesiapa pun berpeluang merakam setiap detik indah dalam kehidupan mereka untuk dipelihara, dikongsi dan diceritakan kepada teman-teman dan generasi akan datang. Bukankah sekeping gambar lebih bermakna daripada seribu perkataan (a picture is worth a thousand words)?

Penting Lagi Fokus Pada Kehendak Pelanggan

Apabila produk menjadi fokus utamanya, maka Kodak hanya mementingkan cara untuk menghasilkan gulungan filem yang lebih baik dengan teknologi digital.

Sewajarnya, Kodak  menggunakan teknologi digital untuk membolehkan pelanggan merakam gambar dengan lebih mudah serta pada kos yang lebih rendah.

Tambahan, pengurusan Kodak pada masa itu percaya strategi pemasaran mereka yang disokong oleh bajet yang besar, akan dapat mempengaruhi pelanggan untuk kekal menggunakan gulungan filem bagi mengambil gambar.

Sedangkan realitinya, sikap dan kehendak pelanggan berubah mengikut perubahan teknologi dan contoh terbaik adalah perubahan dari penggunaan komputer peribadi atau riba kepada tablet komputer yang sedang berlaku sekarang.

Walaupun akhirnya Kodak menghasilkan kamera digitalnya secara serius untuk bersaing dengan Nikon, Canon dan Sony namun ianya telah terlambat.

Ini diakui sendiri oleh Antonio Perez, CEO Kodak pada Ogos 2011 yang mengatakan Kodak telah jauh ketinggalan di belakang pesaing-pesaingnya dalam era fotografi digital.

Pada yang sama kemunculan telefon bimbit berkamera turut menambah kesan negatif kepada jualan kamera digital Kodak.

Visi Syarikat yang Gelap Gelita

Dalam usahanya untuk mengekang kejatuhan pendapatannya dan penguasaan pasaran yang makin terhakis, Kodak membuat pelaburan dalam bidang-bidang perniagaan baru yang kebanyakannya tidak berkaitan dengan perniagaan terasnya, melalui pengambilalihan syarikat-syarikat lain.

kodak-gagal-dan-bankrap-3

Antara perniagaan yang dibeli adalah perniagaan bahan kimia, bahan pencuci, peralatan pengujian perubatan dan perniagaan farmaseutikal.

Hampir kesemua  perniagaan-perniagaan ini mengakibatkan kerugian besar pada Kodak, dan terpaksa dilupus atau dijual termasuk perniagaan farmaseutikalnya.

Kodak ada turut melabur di dalam bidang perniagaan yang berkaitan iaitu pengeluaran kamera digital, mesin pencetak inkjet dan membeli  hakmilik  laman web perkongsian foto iaitu ofoto.com, yang dijenamakan semula sebagai Kodak Gallery.

Secara kasarnya ia kelihatan seperti pelaburan yang bersesuaian. Namun begitu terdapat satu masalah pada modul perniagaan produk-produk barunya, iaitu masih memfokuskan pada usaha untuk mendapatkan pelanggan mencetak gambar. 

Kebebasan Kepada Pengguna

Seperti contohya, kamera digital Advantix Preview hanya membolehkan pengguna melihat gambar yang diambil. Tetapi gambar tersebut tidak boleh disimpan secara digital. Sebaliknya ia masih menggunakan gulungan filem.

Kamera EasyShare Kodak pula djual bersama mesin pencetak gambar (snapshot thermal printers) dan ofoto.com pula diposisikan sebagai laman web, yang turut membolehkan pengunjung mencetak gambar mereka secara pesanan melalui talian (online) .

kodak-gagal-dan-bankrap-4

Kodak gagal atau mungkin juga enggan untuk memahami bahawa fotografi secara digital adalah mengenai kebebasan kepada pengguna, untuk memilih sama ada ingin mencetak atau menyimpan sahaja gambar secara digital.

Dan realitinya, kebanyakkan pengguna kini memilih untuk tidak mencetak gambar tetapi berkongsi dengan rakan-rakan di laman web melalui e-mel, Facebook, Flickr dan pelbagai lagi laman media sosial. Era ‘cuci gambar’ untuk disimpan di dalam album telah lama berlalu.

Bagi penganalisa industri, apa yang berlaku di Kodak merupakan pengajaran amat penting kepada syarikat-syarikat gergasi yang lain.

Apabila pengurusan Kodak menolak teknologi kamera digital atas alasan bimbang ia membunuh produk sedia ada, ia sebenarnya membuka ruang kepada pesaing mereka untuk membunuh produk tersebut bagi pihak Kodak dan meraih keuntungan dari situ.

Sekiranya Kodak menumpukan kepada penjualan kamera digital pada masa itu, keuntungan yang dijana akan dapat mengimbangi kerugian bahagian gulungan filem dan kertas gambarnya.

Kegagalan Kodak berubah mengikut perubahan semasa dan berasa selesa (complacent) dengan kedudukan mereka mengakibatkan jenama Kodak yang telah bertahan lebih 131 tahun dalam industri fotografi kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Kredit:  Viktor Nagornyy, BC Lee,  Khánh Hmoong,  ekkiPics, Keilir Iceland, ILRI


Tags: , , , , , , ,

Komen (46)

  1. Perasan juga. Kodak dulu hebat dengan filem gulung. Sekarang ni kalau bercakap soal kamera digital takde orang pun akan kaitkan dengan Kodak.

    Antara point menarik adalah “tiada inovasi”. Nak maju dalam perniagaan perlu ada inovasi sebab zaman sentiasa berubah, maka selera pembeli pun berubah. Melakukan perubahan adalah sesuatu yg sukar bila kita dah selesa, tapi lambat lain kita perlu juga ikut trend market.

    1. btul2..masih ingat lagi sewaktu kecil-kecil dulu, pergi kedai gambar kodak then beli filem kodak..nak cuci gambar pergi lagi kedai tu..

      sekarang, sangat jarang ke kedai gambar kodak..semuanya boleh dilakukan sendiri dari segi ambil gambar hingga printing gambar.

  2. Baru jer wife tanya, filem gulung sekarang dah jadi apa? tengok-tengok nah..penulis & team majalahniaga dah tolong jawab..dengan terperinci lak tu..terima kasih.

    Tidak berani berubah merupakan faktor yang paling utama untuk mencapai kegagalan. Jadi, untuk berjaya kena berubah dan keluar dari comfort zone.

    Decide what your want, go for it..

  3. menakutkan…pada mereka apa yang mereka buat itu betul. tapi rupa2nya…….

    Apa yang paling penting disini, adalah kebolehan untuk meramal atau menjangka
    apa yang akan berlaku dalam masa 5-10 tahun akan datang…

    dalam kes kodak, mereka telah berjaya meramalkannya dengan baik, dukacitanya mereka
    tidak mahu berinovasi

  4. Erm, maksudnya sekarang kita kena sentiasa berubah mengikut keperluan zaman supaya tidak ketinggalan la yer. Kena berani membuat perubahan.. I got the point.. Thank you

  5. saya pernah baca artikel yang hampir serupa dalam the star bizweek beberapa minggu lalu mengenai kodak..minta saudara sertakan sumber asal artikel ini jika diterjemahkan untuk beri kredit kepada penullis asal dan sumber

    Ada fakta yang tidak betul dalam artikel tuan.Untuk pengetahuan syarikat kodak di USA yang bankrap.Tetapi Kodak Asia dan kodak malaysia masih ada dan model perniagaan mereka masih menguntungkan…

    minta maaf sekadar membetulkan fakta sumber asal artikel ini dan fakta mengenai syarikat ini

  6. Saya sangat suka artikel ini..terutama perenggan :

    Apabila pengurusan Kodak menolak teknologi kamera digital atas alasan bimbang ia membunuh produk sedia ada, ia sebenarnya membuka ruang kepada pesaing mereka untuk membunuh produk tersebut bagi pihak Kodak dan meraih keuntungan dari situ.

  7. Antara pengajaran yang boleh saya dapati daripada artikel ini adalah:

    1) Usahawan harus berani melakukan perubahan biarpun perubahan itu melibatkan risiko
    2) Inovasi dalam perniagaan adalah kunci untuk sesebuah perniagaan itu maju ke hadapan
    3) Jangan mudah berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapi sekarang

    Terima kasih Team Majalah Niaga. Syabas! 🙂

  8. Salam,
    Jika Kodak masih ingin mengekalkan produk filem gulung mereka, mungkin mereka patut memasuki pasaran lomografi memandangkan kamera lomo adalah kamera analog yang menggunakan gulungan filem.

    Bagaimana pun, mereka perlu lebih inovasi berbanding pesaing sedia ada yang telah pun menguasai pasaran

  9. Dulu kamera digital kodak yg paling murah dalam pasaran.. jadi bagi pembeli kamera digital pertama kali, kamera jenama kodak selalunya menjadi pilihan..

  10. Ya, Kodak sememangnya jenama yang sinonim dengan filem, sehingga kita terdengar perbualan seperti “Alamak, kodak dah habislah” atau “Nak pergi kedai kamera, nak beli kodak”.

    Namun keengganan untuk berinovasi kerana berada di dalam zon selesa akhirnya membunuh diri.

  11. Sejak menggunakan kamera kompak digital, saya tertanya-tanya juga; apa dah jadi dengan syarikat yang jual kamera & filem seperti itu, tapi tak pernah cuba cari jawapannya. Satu maklumat yang amat menjadi pengajaran…

  12. Punca kegagalan syarikat KODAK adalah disebabkan mereka gagal mengenali yang mana satu pelaburan versi aset dan yang mana satu pelaburan versi liabiliti. Mereka percaya pelaburan pada gulungan filem mampu memberikan keuntungan sehingga 85% dan kesannya, mereka gagal ‘nampak’ potensi pelaburan pada digital filem. Ingat !!! Apabila teknologi berubah, pelaburan bisnes juga perlu berubah. Dan KODAK tidak mahu berubah serta selesa dengan kedudukan NO 1 dalam pasaran gulungan filem wal hal pesaing2 mereka seperti CANON, OLYMPUS dan NIKON sedang bertungkus-lumus membuat pelaburan besar pada teknologi terkini – digital filem. Bagi ketiga-tiga pesaing KODAK ini, pelaburan pada digital filem adalah aset dan percaturan mereka berjaya. Akhirnya, apabila KODAK tertinggal jauh dan cuba mengejar kembali pesaing2 dengan cuba melabur pada aset sebenar iaitu digital filem, kesannya… KODAK tertinggal jauh ke belakang. Tambah memburukkan keadaan, akibat hilang VISI dan MISI syarikat, mereka mengambil risiko membuat pelaburan pada benda2 yang tiada kaitan dengan indusri filem seperti bahan kimia. Itulah punca utama KODAK gagal diselamatkan. Ingat !!! Gagal merancang adalah merancang untuk gagal.

  13. Syed Fauzi
    March 6, 2012

    Saya sangat suka artikel ni. Ianya dapat membuka minda para usahawan bahawa dalam perniagaan kita perlu berfikiran kreatif dan inovatif…pelbagai faktor perlu di titik berat kan dalam pembangunan perniagaan contoh macam apa yang telah berlaku pada Kodak 🙂

  14. DIsebabkan tidak mahu berubah mengikut peredaran zaman telah membuatkan kodak gagal.Kadang-kadang,kita perlu inovasi dalam perniagaan supaya ianya sentiasa berkembang menempuh cabaran yang mendatang.Great artikel

  15. Pengajaran yg paling penting, kita kena mengikut perubahan zaman dalam menjalankan perniagaan. hanya dengan berubah barulah kita dapat menyesuaikan business dgn keadaan semasa. bab ini yg susah.

  16. Terima kasih untuk artikel yang sungguh menarik ni,Kalau 20 tahun yang lepas,kamera yang menggunakan filem memang banyak,kini semua dah guna kamera digital

  17. assalamualaikum

    saya dapat serba sedikit daripada mesej yang diceritakan

    perubahan adalah sesuatu yang penting dan ia akan sentiasa berlaku. tak mungkin cara yang sama akan tetap boleh digunapakai walaupun masa berlalu

  18. sekarang ni hampir-hampir boleh terlupa Kodak pernah wujud.

    apa yang dialami oleh Kodak memang patut jadi pengajaran kepada semua yang berniaga.

  19. baru tau kodak da tutup.. patut cari kedai kodak kat sini da takde. nostalgia kalau pakai camera kodak.. paling nostalgic, filem die tu.. nanti 10 tahun akan datang mesti akan terkenang dan konfem ada akan pakai dan buat collection camera kodak xD

  20. wuihhhhh superb article ! yep..kene berani berubah..jangan duk syiok sendiri je 🙂

    peringatan tuk saya dan peniaga peniaga lain di luar sana

  21. Diharapkan penulis juga dapat berikan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Kodak.

    Bagi saya, mereka perlu menstrukturkan kembali perniagaan mereka, seterusnya melakukan pelaburan untuk mencipta produk baru yang belum terdapat di pasaran (atau menambahbaikkan ciri2 yang ada pada produk sedia ada oleh pesaing) seterusnya melakukan promosi secara besar-besaran di pasaran tempatan dan antarabangsa.

    Mungkin simple solution ini dapat menyelamatkan jenama Kodak daripada lupus di telan zaman. Tetapi semua ini melibatkan kos yang sangat tinggi. (mungkin mereka juga boleh melakukan joint venture?)

    Apa pendapat anda?

  22. Saleha ratimin
    April 24, 2012

    Kesian kat kodak… Terima kasih atas info yang memberikan idea dan pengajaran ni..

  23. Satu perkongsian yang menarik. Perniagaan perlu mengutamakan kehendak pelanggan. Trend juga boleh berubah dan pernigaan perlu bijak meramalkan perubahan tersebut + segera bertindak untuk menjadi perintis dalam perubahan tersebut..

  24. aku memang pengguna kodak sejak dulu..kamera terakhir masih berjenama kodak dan masih berbaki gulungan filem dalam kamera tersebut..dan aku simpan semenjak 2002..dengan niat nak cuci filem tu..lepas tu aku lupa dan simpan dalam almari..baru2 ni aku jumpa balik kamera lama tu..dan perasan masih ada gulungan filem yang masih berbaki..jumlah bilangan snap..biasanya 36 kali..aku bawak kamera tu pergi kedai gambar dgn niat nak ‘cuci’..malangnya kamera aku dan gulungan filem tu dah jadi bahan sejarah..apek cina tu pun kata dah hampir 8 tahun dia tak ‘cuci’ kaedah lama ni..semua print gambar melalui komputer sahaja skrg..baru aku terfikir..inovasi adalah penting..kalau kita abaikan inovasi..kita akan ketinggalan..itulah yg berlaku kepada kodak..kesian kat aku…walaubagaimanapun..sebagai pelanggan setia kodak..aku sentiasa meyebut ‘kodak’ menggantikan ‘say cheese’…

  25. Menarik artikel ni. Terima kasih kepada penulis.

    Awal tahun 2000 dulu saya peminat kamera digital jenama Kodak sebab bila print out foto, fotonya lebih cantik dari kamera jenama lain. Tapi sayang, Kodak dah bangkrap. Saya rasa kalau kodak berjaya dengan kamera digitalnya, mungkin ia mampu bersaing.

  26. Rosliah Fahmi
    July 17, 2014

    Very very informative, especially on the suggestion that Kodak kena berubah mengikut perubahan citarasa pelanggan…sy sgt setuju kerana apabila zaman nilai serta citarasa sudah pasti akan berubah apatah lagi diiringi dengan kehadiran teknologi yg baru. Well researched article. I like it.

  27. dulu masa belajar di politeknik pernah gunakan kodak namun agak leceh sebab perlu cuci gambar dan beli filem. kos untuk filem memang mahal.

    bila pasaran kamera digital masuk, ianya amat mudah. kos pula hanya sekali keluar je untuk beli camera dan nak cuci gambar tu terpulang pada diri sendiri. namun pada zaman sekarang ni memang betul. pengguna dah jarang nak cuci gambar melainkan gambar itu betul2 bermakna seperti gambar konvo, gambar perkahwinan dan sebagainya.

  28. Zaman ni bila pengasas dah tak ada banyak company yg cuma pentingkan keuntungan tinggi jangka pendek untuk bonus pihak pengurusan atasan dan keuntungan pelabur saham. Dengan jumlah persaingan yg tinggi jika company2 besar ni dapat pengurusan macam ni, alamatnya tunggu nak bungkus.

Pendapat anda?