Konsep Mentor-Mentee Dalam Perniagaan

March 03, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Konvensional / Perniagaan

Individu yang baru menceburi dunia perniagaan sebaiknya memilik seorang mentor perniagaan. Fungsi mentor sebagai ‘penunjuk arah’ selain membantu usahawan-usahawan baru mencapai matlamat dalam perniagaan merekal.

Banyak yang boleh dipelajari daripada mentor antaranya tentang asas-asas jualan, strategi pemasaran serta pengetahuan tentang produk. Kreativiti dan dorongan perlukan pemangkin dan disinilah peranan seorang mentor diperlukan.

Perkataan mentor berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud rakan, kaunselor atau penasihat yang boleh dipercayai.  Mentor biasanya terdiri dari orang yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam sesuatu bidang.

Sementara mentee pula merujuk kepada individu yang menerima tunjuk ajar daripada seorang mentor. Mentor yang berpengalamann dan berpengetahuan luas bertindak sebagai pembimbing, rakan dan konsultan kepada mentee yang memerlukan bantuan.

Mentor

Adalah penting untuk memilih mentor yang berwibawa. Ia bermaksud mentor yang memiliki pengalaman dalam bidang yang diceburinya serta memiliki ilmu yang relevan.

Dalam memastikan program atau hubungan mentor-mentee ini berjaya dilaksanakan, beberapa tindakan yang perlu diambil adalah:

i. Fahami Keperluan Memiliki Mentor

Sebagai orang baru yang menyertai bidang jualan, sama ada penyediaan atau pencarian mentor dilakukan dengan sebaiknya. Berkongsi pengalaman adalah satu tindakan bijak daripada seorang mentor kepada menteenya. Ini sudah pasti akan memberikan dorongan terbaik kepada mentee dalam mendapatkan informasi dan maklumat yang diperlukan.

Tiada Petunjuk

ii. Tetapkan Jangkaan

Penerangan daripada mentor tentang segala peranan, tanggungjawab, prosedur dan sasaran perlu dibekalkan kepada mentee dengan betul. Mentee harus jelas hala tuju dan maklumat tentang bidang yang diceburinya.

iii. Rangka Pelan Perancangan

Sebaik-baik manusia ialah yang merancang dan berusaha, setelah itu menyerahkan segala-galanya kepada yang Esa. Gunakan dan olah semula pengalaman yang pernah dilalui mentor untuk membangunkan perniagaan sendiri serta merancang perjalanan bisnes yang lebih baik.

Kehadiran mentor bukanlah semata-mata memenuhi kuota yang diperlukan tetapi sebenarnya untuk membangunkan karier jualan agar lebih cemerlang dan berjaya. Ketelusan dan keikhlasan mentor dalam memberi ilmu serta mentee sebagai penerima ilmu membuahkan hasil yang cemerlang.

iv. Wujudkan Hubungan Profesional Yang Baik Antara Mentor dan Mentee

Keakraban akan menghasilkan kerjasama dan ukhuwah yang padu. Bersahabatlah dan jalinkan hubungan profesional dengan sebaik yang mungkin agar keredaan dan ganjaran dari Allah turut bersama-sama dalam usaha meraih rezeki yang berkat.

Mentor dan Mentee

Konsep Mentor-Mentee Zaman Rasulullah saw.

Lihat semula sirah Rasulullah di mana konsep mentor-mentee ini telah lama wujud; hanya berlainan konsep dan bidang atau tujuan. Ambil contoh hubungan Rasulullah dengan Malaikat Jibril yang telah membentuk keperibadian Rasulullah, sekaligus menjadikan baginda seorang yang cukup disegani dan dihormati bukan sahaja para sahabat tetapi juga oleh pihak lawan.

Lihatlah pula bagaimana Rasulullah telah berjaya membentuk keperibadian para sahabat baginda sehingga menjadikan mereka antara yang paling digeruni dan dihormati. Baginda amat menitikberatkan konsep jalinan ukhuwah dan silaturahim sesama para sahabat.

Tanpa adanya konsep mentor-mentee ini sudah pasti sehingga kini agama Islam tidak berkembang serta tidak dapat disebarkan ke seluruh pelosok dunia. Konsep inilah yang sepatutnya diterapkan dalam diri individu yang baru menceburi bidang jualan / perusahaan.

Mentor sebagai pendidik, pengajar, memperbetul dan menegur dengan tujuan penambahbaikkan. Jauhi sifat angkuh dan sombong serta menidakkan kebergantungan kepada mentor. Kita adalah insan yang sentiasa mempunyai kelemahan.

Setidak-tidaknya, dengan kehadiran mentor berpengalaman, akan ada yang ‘menarik’ kita semula ke landasan apabila perjalanan kita sedikit tersasar daripada haluan.

Kredit foto: hellsbells75blueforgemartijnvandellenyngvi


Tags: , , , , , ,

Pendapat anda?