Pada 29 April 2012, tim Majalah Niaga dijemput untuk membuat liputan mengenai Konvensyen Jutawan Muslim yang berlangsung di Flamingo Hotel, Ampang.

Menurut satu sumber yang diperoleh menyatakan, konvensyen ini dihadiri hampir 1,000 peserta dan tamat pada lewat malam.
Dalam artikel kali ini, kami bukan sekadar mahu mewar-warkan Konvensyen Jutawan Muslim, yang telah membuka minda orang ramai mengenai satu kemestian untuk menjadi seorang jutawan.
Dalam masa masa, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit sebanyak rahsia-rahsia para jutawan, yang dikongsikan dalam majlis ilmu yang penuh gemilang ini.
Rahsia Jutawan Kecil – Dato Hussamuddin
Satu daripadanya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Karangkraf, iaitu Dato Hussamuddin Yaacob.

Dalam konvensyen ini, beliau seringkali menyebut bahawa tubuh badannya yang kecil tidak menghalang dirinya untuk berfikiran besar. Malah beliau turut berkata:
“Kebiasannya, orang-orang kecil yang berjaya menguasai dunia.”
Bagi yang tidak mengenali syarikat Karangkraf, ia adalah syarikat penerbitan persendirian (independent) yang terbesar di Malaysia.
Dengan hasil jualan yang mencecah RM500 juta tahun ini, kekuatan syarikat Karangkraf sudah tidak perlu dipertikai lagi. Apa yang menarik di sini adalah kisah kejayaan beliau sebagai usahawan muslim jutawan.
Dari Hobi Menjadi Usahawan Muslim Jutawan
Dato Hussamuddin bermula dengan sebuah hobi yang sudah ditanam sejak kecil oleh ayahnya. Hobi ini yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan dan pemikir kreatif dalam menjalankan perniagaan berasaskan penerbitan dan penulisan.

Soalnya, apakah hobi yang dimaksudkan?
Satu aktiviti mulia. Iaitu membaca.
Konvensyen Jutawan Muslim adalah tempat beliau meluahkan obsesinya terhadap aktiviti membaca. Menurutnya, setiap bacaan boleh mengubah diri kita menjadi lebih baik setiap hari.
Dato Hussamuddin turut menegaskan, membaca itu adalah antara ayat keramat yang diturunkan dalam kitab al-Quran menerusi surah al-’Alaq, ayat 1:
“Bacalah (wahai Muhammad), dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”
Formula ini yang beliau gunakan untuk menjadi usahawan jutawan dalam bisnes penerbitan. Bukan itu sahaja, terdapat 17 lagi tip yang beliau kongsikan sepanjang dirinya berada di atas pentas Konvensyen Jutawan Muslim.
17 Tip Usahawan Muslim Jutawan – CEO Karangkraf
Berikut adalah perkongsian-perkongsian ilmu yang sama nilainya dengan sebuah emas untuk diambil oleh para pembaca Majalah Niaga, sebagai formula untuk menjadi usahawan muslim jutawan.
#17 – Mula Dari Bawah
Kebanyakan masa, kejayaan itu bermula dari bawah. Ia ibarat ketulan salji yang membesar hasil daripada gumpalan kecil-kecilan sepanjang perjalanan.
Konsistensi menghasilkan kejayaan-kejayaan kecil adalah lebih utama untuk menghasilkan kejayaan besar.
#16 – Banyakkan Membaca
Apabila membaca, kita menambah nilai dalam kehidupan sendiri. Ia secara tidak langsung mendorong kita berfikir seperti apa yang kita baca. Sebab itu Dato Hussamuddin sehingga hari ini masih mengamalkan aktiviti membaca.
Walaupun beliau sibuk menguruskan perniagaan, membaca tetap menjadi satu keutamaan.
#15 – Buat Dengan Sepenuh Jiwa
Beliau ibarat Steve Jobs (pengasas Apple). Melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa. Dengan itu baru muncul satu kepuasan dalam perjuangan.
#14 – Buat Perkara yang Kita Suka
Sinergi di antara membangunkan bisnes dengan perkara yang kita suka dan melakukannya dengan sepenuh jiwa, adalah sinergi yang menjamin kekayaan dan kepuasan dalam perniagaan.
#13 – Jaga Aliran Wang
Menurut Dato Hussamuddin, pemilik bisnes hanya boleh membelanjakan 10% daripada keuntungan perniagaan mereka. Ini bagi menjaga aliran tunai syarikat supaya tidak mudah tenggelam dalam masa yang singkat.
#12 – Berniaga Dengan Hati Ikhlas
Hati yang ikhlas dalam berniaga akan membuatkan usahawan muslim jutawan itu lebih tenang, dan diberkati Tuhan.
#11 – Sedekah dan Tolong Orang Ramai
“Jika berkemampuan, bersedekah sebanyak yang mungkin untuk membantu orang ramai.”
Dato Hussamuddin menyatakan Karangkraf mempunyai peruntukan RM4 juta setiap tahun, untuk dijadikan sebagai biasiswa kepada para pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
#10 – Setiap Masalah, Ada Peluang Besar
Jangan lihat masalah sebagai satu penghalang. Tetapi lihat dari dinding yang berasingan iaitu peluang besar yang akan membawa keuntungan yang berkali-kali ganda banyaknya.
#9 – Karekter Adalah Rahsia Potensi Diri
Labur masa, tenaga dan wang untuk mendalami karakter dan fungsi diri sendiri bagi menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian gunakan ia sebagai kekuatan utama dalam perniagaan.
#8 – Bersaing Secara Sihat
Jangan takut pada pesaing. Kerana mereka adalah golongan yang akan mencetuskan lebih banyak kreativiti dalam perniagaan kita. Pemilik perniagaan yang takut bersaing adalah mereka yang tidak akan berjaya dalam bisnes yang diceburi.
#7 – Kuasa Memberi Kepada Pelanggan
Rata-rata usahawan yang baru bermula seringkali ragu-ragu apabila ingin mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan pertama mereka. Ini yang menjadikan perniagaan itu hidup segan, mati tak mahu.
Amalkan konsep ‘berikan yang terbaik’ untuk setiap pelanggan. Setiap kali kita memberi, Allah akan permudahkan perjalanan rezeki kepada hambaNya.
#6 – Hargai Pekerja
Kukuhnya sesebuah syarikat milik usahawan muslim jutawan itu bukan sahaja kerana pengasasnya. Tetapi kesetiaan dan usaha daripada golongan pekerjanya.
Oleh yang demikian, sebagai pemilik perniagaan, tugas kita adalah menjaga sebaik mungkin pekerja-pekerja syarikat. Berikan yang terbaik untuk mereka supaya para pekerja rasa dihargai dan bermotivasi untuk membangunkan syarikat.
#5 – Untung dan Labur
Usahawan jutawan yang bijak adalah mereka yang menggunakan keuntungan untuk dilaburkan. Ini kerana ia dapat menggandakan wang kita tanpa perlu berusaha keras.
Cara ini diberi nama money makes money (duit buat duit).
#4 – Lengkapkan Diri Dengan Ilmu
Sehingga hari ini, setiap aktiviti yang kita lakukan adalah berdasarkan ilmu yang wujud dalam diri sendiri. Justeru itu, sentiasa mencari peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu.
Untuk berjaya dalam perniagaan, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu perniagaan.
#3 – Fokus Pada ‘Organic Growth’
Apa yang penting dalam perniagaan adalah keuntungan yang konsisten dan pembangunan bisnses yang organik.
Ramai usahawan Melayu muslim yang tergila-gilakan pendapatan pantas dalam perniagaan. Secara tidak langsung ia membunuh bisnes sendiri.
#2 – Sentiasa Ada Mentor
Setiap apa yang kita lakukan, jalan pintas untuk berjaya adalah menerusi sistem mentor.
Dato Hussamuddin menyarankan agar setiap peserta konvensyen berusaha untuk mencari seorang mentor yang berjaya dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi.
#1 – Kawan Kita Penentu Kejayaan
Dengan siapa kita berkawan, itu adalah penentu kejayaan. Oleh sebab itu, berhati-hati ketika memilih rakan-rakan sekeliling. Pilih rakan yang menyokong usaha dan impian, dan jalan kejayaan sentiasa wujud di hadapan mata.
Rahsia Usahawan Muslim Jutawan Terbongkar
Mudah-mudahan kesemua tip yang dikongsikan berdasarkan pengalaman penulis sepanjang mendengar perkongsian CEO Karangkraf ini, dapat dimanfaatkan oleh para pembaca Majalah Niaga.

Bagi para pembaca yang turut hadir ke Konvensyen Jutawan Muslim, mohon dapat kongsikan pendapat kalian mengenai majlis ilmu ini menerusi ruangan komen yang disediakan di bawah.
yang paling kritikal tu ,10% saja boleh gune.huhu.sebabnya kalau bisnes untung juta2 sekalipon,tapi tetap boros guna 90% untung untuk joli,emangnya bankrup dong bisnes ><
seperti yang dikatakan oleh datu' rusly sendiri,mengikut pengalaman beliau,perbelanjaan kewangan adalah penentu kejayaan sesuatu bisnes.
yang lain ? marketing !
Jutaan terima kasih Aqif sebab sudi kongsi. Sedih tak dapat pegi konvesyen jutawan muslim huhu..
Melihat Karangkraf yang BESAR sekarang ini, saya asyik teringatkan Karangkraf yang kecil dan baru bertapak di Taman Tun Dr Ismail, KL. 17 tip ini bukan milik CEO Karangkraf seorang sahaja tapi dikongsi oleh semua staff Karangkraf. 17 tip ini juga boleh menjadi milik kita.
Tahniah kepada rakan-rakan yang dapat menghadirkan diri Konvensyen Jutawan Muslim ini.Apa yang diberikan di dalam artikal ini memang terbaik dan saya rasa orang yang hadir pun lagi terbaik mendapatkan ilmu di sana.
terbaik lah…
Saya suka tip yang no 6. hargai pekerja… selalunya orang melayu bila dah jadi bos mengaut untung yang bnyak akan lupa diri. dah tak kenal pekerja … meninggi diri. nak kerja hnya kuantiti, kualiti tak dipedulikan… cakap besar… cakap belakang.. customer yang oder kecik dah dilupakan, walhal customer yang kecik ni lahh yang tolong dia sewaktu dia mula nak bangun.
Point ke 2 amat penting..jika ada mentor..jalan kejayaan semakin jelas berbanding usaha tanpa mentor
Terima kasih banyak buat Majalah Niaga atas perkongsian ini.
Saya sangat bersetuju dengan poin #5 Untung dan Labur.
Sebagai usahawan kita seharusnya bijak merencana kewangan syarikat.
Elakkan dari mengambil keuntungan syarikat untuk kegunaan peribadi.
Ini boleh merencat perkembangan dan kelancaran perjalanan syarikat.
Alhamdulillah..saya dapat turut hadir ke Konvensyen Jutawan Muslim tersebut..
Sangat banyak perkongsian yang telah diberikan oleh para Jutawan disana. Yang paling terpenting adalah semuanya dikalangan Jutawan Muslim, dan kebanyakan mereka berpesan kepada audiens supaya banyakkan bersedekah dan jgn lupa zakat, supaya harta yg diperolehi lebih berkat dan subur..
Jutaan terima kasih di atas perkongsian tip-tips kejayaan di atas. Yang penting praktikkan tips yg diberi dengan sebaik mungkin FIKIRAN MEMPUNYAI 2 “outlet” iaitu percakapan dan perbuatan yang akan menterjemahkan tips menjadi kenyataan.