Laman Web Keahlian – Kaedah & Konsep Penetapan Harga

February 18, 2013 — Penulis:

Kategori: Online / Perniagaan

Di dalam artikel saya sebelum ini, saya telah berkongsi dengan anda beberapa model laman web keahlian yang boleh anda sediakan. Pada kali ini, saya ingin berkongsi pula mengenai kaedah untuk menetapkan harga jualan ataupun yuran di laman web keahlian yang telah anda sediakan itu.

money1

Secara ringkasnya, terdapat 2 cara pembayaran yang boleh anda tetapkan untuk laman web keahlian anda iaitu pembayaran sekali sahaja (once-off) atau juga dikenali sebagai keahlian seumur hidup (lifetime membership) dan yang kedua adalah pembayaran berkala sama ada mengikut jangkamasa mingguan, bulanan atau tahunan.

Biar saya kupas dengan lebih lanjut mengenai kedua-dua cara pembayaran ini.

1. Pembayaran Sekaligus

Pembayaran ini adalah merupakan pembayaran untuk menjadi ahli kepada laman web keahlian yang anda mahukan dengan hanya perlu membayar sekali sahaja. Sebaik sahaja pembayaran tersebut dibuat, pelanggan tersebut tidak perlu lagi membuat apa-apa pembayaran lain lagi. Ia juga turut dikenali sebagai keahlian seumur hidup atau lifetime membership.

Sebaik sahaja pembayaran dibuat, si pelanggan akan didaftarkan menjadi ahli seumur hidup kepada laman web keahlian tersebut dan akan mendapat akses kepada ruangan keahlian selama-lamanya selagi laman web keahlian tersebut masih wujud.

Kebiasaannya isi kandungan dan maklumat yang diberikan keahlian dengan pembayaran sekaligus ini tidak akan banyak berubah pada masa akan datang. Oleh kerana itu, pembayaran cuma perlu dibuat sekali sahaja dan produk atau kandungan tersebut boleh terus diakses untuk jangkamasa panjang.

 

2. Pembayaran Berkala

Pembayaran berkala ini boleh digunakan sekiranya anda sentiasa mengemaskini laman web keahlian anda dengan maklumat serta kandungan terkini.

Sebagai contoh, anda mungkin menawarkan laman web keahlian yang memberikan bekalan grafik laman web yang terkini pada setiap bulan kepada ahli-ahli laman web keahlian anda anda. Oleh itu, sebagai si pemilik, anda akan bertindak untuk mengemaskinikan isi kandungan laman web keahlian tersebut dengan grafik yang terkini pada setiap bulan tanpa henti.

Sebagai pelanggan, mereka perlu membuat pembayaran yuran bulanan yang telah ditetapkan oleh anda untuk mendapatkan akses kepada koleksi grafik yang terkini untuk bulan seterusnya. Jika pelanggan tidak membuat pembayaran, maka mereka tidak akan mendapat akses kepada kandungan terkini itu.

Setelah anda membuat pilihan cara pembayaran manakah yang anda mahu tetapkan di laman web keahlian anda, langkah seterusnya yang perlu anda lakukan adalah menetapkan harga atau yuran yang akan dikenakan di laman web keahlian anda itu.

 

3 Peringkat Penetapan Harga

harga

Terdapat 3 tanda aras harga yang perlu anda ketahui untuk menetapkan harga ataupun yuran di sesebuah laman web keahlian iaitu Rendah, Pertengahan dan Tinggi. Berikut adalah penjelasannya dengan lebih lanjut:

1. Rendah (RM5-RM20)

Selalunya anggaran harga atau yuran untuk sesuatu laman keahlian yang rendah adalah dalam lingkungan RM5 – RM20. Ini bermaksud harga atau yuran yang dikenakan untuk menjadi ahli kepada laman web keahlian tersebut adalah rendah dan selalunya mampu dibayar oleh sebilangan besar pengguna internet.

Anda boleh menggunakan lingkungan harga ini sekiranya isi kandungan atau maklumat yang anda berikan kepada ahli-ahli adalah sesuatu yang boleh dan mudah diperolehi daripada penjual lain dan bukan merupakan produk yang unik serta mahal.

Sebagai contoh, anda menyediakan laman web keahlian yang memberikan langganan kepada resipi masakan istimewa pada setiap bulan kepada ahli-ahli anda atau memberikan langganan newsletter pemasaran internet kepada ahli-ahli anda pada setiap bulan.

 

2. Pertengahan (RM30-RM80)

Dengan peningkatan harga ini, ia perlu diimbangi dengan isi kandungan atau maklumat yang berkualiti dan juga eksklusif daripada anda. Sebagai contoh, anda boleh menawarkan langganan kepada newsletter pemasaran internet kepada ahli-ahli anda dan anda akan menyentuh infomasi-infomasi terkini yang masih kurang mendapat liputan di tempat lain.

Selain itu, tanda aras harga ini juga sesuai untuk sesebuah laman web keahlian yang menawarkan koleksi terkini secara berkala kepada ahli-ahlinya. Contoh mudah ialah laman web keahlian yang memberikan grafik laman web terkini secara berkala kepada ahli-ahlinya pada setiap bulan.

Peluang untuk mendapatkan bahan-bahan dan maklumat yang unik secara berkala akan membolehkan anda menawarkan harga atau yuran keahlian yang lebih tinggi untuk laman web keahlian anda.

Selalunya pada tahap ini, bilangan pengguna internet yang mampu menjadi ahli sudah semakin berkurangan.

 

3. Tinggi (RM100-RM1000)

Harga atau yuran pada tahap tertinggi sesuai untuk diberikan sekiranya anda memang menawarkan sesuatu maklumat atau kandungan yang premium iaitu ianya tidak boleh diperolehi di mana-mana tempat lain. Hanya anda sahaja sebagai pemilik laman web keahlian tersebut yang mampu memberikan maklumat atau kandungan khas tersebut kepada orang lain.

Selalunya harga atau yuran tinggi ini adalah dalam lingkungan RM100 – RM1000 dan cuma sebilangan kecil pengguna internet sahaja yang sanggup mengeluarkan wang untuk menjadi ahli kepada laman web keahlian ini. Harga ini perlu diimbangi dengan maklumat dan kandungan yang berkualiti serta telah disediakan khas oleh anda.

Laman web keahlian yang sesuai untuk tahap ini adalah keahlian premium yang tertutup untuk sebilangan ahli yang kecil sahaja seperti untuk personal coaching, kumpulan mastermind dan produk dengan hak Private Label Rights yang premium.

Itulah sedikit perkongsian saya pada kali ini berkenaan cara dan konsep untuk menetapkan harga dan yuran untuk laman web keahlian anda. Semoga ia dapat memberikan idea yang bernas kepada anda tentang cara untuk menguruskan laman web keahlian anda.

Apa yang penting di sini adalah laman web keahlian anda perlulah memberikan kualiti dan nilai terbaik yang boleh anda berikan kepada ahli-ahli anda tanpa mengira apa jua tahap harga yang anda gunakan.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya.

 

(Kredit gambar : ServerFreak.com)


Tags: , ,

Komen (6)

Pendapat anda?