Lebih Berharta, Lebih Banyak Pilihan

December 31, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi

Memerhati isu banjir yang berlaku, banyak pengajaran yang kita boleh pelajari. Antaranya ada pemilik bisnes yang kaya turun padang membantu individu-individu yang terlibat dengan banjir. Masing-masing saling membantu dan bersatu untuk menyeru sumbangan daripada orang lain.

Ada usahawan internet juga turut menawarkan harga produk terbaik mereka pada harga runtuh.

orang miskin

Semata-mata untuk mengumpulkan dana bagi membeli barang keperluan untuk disalurkan ke tempat-tempat banjir.

“Orang kaya yang bersyukur, yang berdiri dengan kebenarannya itu lebih utama dari orang fakir yang sabar.” – Ibnu ‘Atha

Alangkah nikmatnya apabila kita menjadi salah seorang daripada pemilik bisnes kaya, yang dapat memberi sebanyak-banyaknya harta, dan keperluan yang mereka perlukan.

Dengan ada lebih banyak harta, kita ada lebih banyak pilihan untuk bantu. Hatta ada daripada diketahui, mereka siap beli bot untuk tujuan bantuan ke sana. Allahu akbar. Betapa beruntungnya andai kita menjadi salah seorang daripada mereka.

Perniagaan Yang Tiada Rugi Dan Sentiasa Untung

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu. Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). – Surah As Saff: 10 – 11

Daripada ayat di atas, maka beruntunglah apabila si kaya dapat membantu sebanyak-banyak kepada si miskin atau yang memerlukan.

Orang kaya

Apabila kita menjadi saudagar yang kaya, kita ada lebih banyak pilihan dalam memberi sumbangan hatta pertolongan.

Mencemburui Orang Kaya

Maksud cemburu di sini bukan bersifat negatif. Sebaliknya ia adalah cemburu bersifat positif yang penting kita tanamkan dalam diri, supaya menjadi inspirasi untuk kita berusaha dan menjadi kaya seperti mereka. Malah, mungkin lebih daripada mereka.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Tidak boleh iri hati melainkan dalam 2 perkara iaitu:

1. Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah).

2. Orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.

(Hadis Riwayat Al Bukhari)

Ada juga dikongsi status Facebook tentang seorang jutawan yang menyumbangkan sumbangan yang banyak. Yang merefleksi, apabila berlaku sebarang isu bencana alam seperti isu banjir, merekalah individu yang dapat berada di barisan hadapan untuk membantu dengan membelanjakan harta mereka.

7 Manfaat Menjadi Kaya

1. Membayar zakat yang banyak

2. Sedekah wang ringgit yang banyak

3. Bebas menunaikan haji dan umrah di saat mahu

4. Berkemampuan memberi wang nafkah kepada ibu bapa lebih daripada perlu

5. Mempunyai akses membantu orang dalam kesusahan pada bila-bila masa

6. Peroleh kebebasan kewangan – tiada hutang, pendapatan lebih daripada keperluan

7. Dapat lebih menjaga kesihatan dengan mendapatkan makanan yang berkhasiat sama ada murah atau mahal

Justeru, penting untuk kita sentiasa berusaha dan mengimpikan kehidupan yang lebih baik dari semasa ke semasa. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Ada pepatah,

“Don’t compare your chapter 1 to someone else’s chapter 20.”

Yang sebaiknya adalah kita memerhati dan menilai pencapaian kita sendiri. Perbaiki dari masa ke semasa. Kerana gunung itu terdiri daripada kerikil-kerikil batu. Yakni, kejayaan-kejayaan besar adalah gabungan kejayaan-kejayaan kecil.

Dengarkan video Muslim Harus Kaya oleh Ustaz Bagus Hernowo untuk kita merenung tentang sebagai umat Islam, penting menjadi kaya.


Tags: , ,

Pendapat anda?