Mana Satu Tabiat Kewangan Saya?

May 12, 2014 — Penulis:

Kategori: Pengurusan Kewangan

Alhamdulillah bertemu kita lagi di Majalah Niaga, majalah dalam talian pilihan terbaik anda. Di kesempatan yang lalu kita sama-sama telah berkongsi beberapa asas penguasaan kewangan peribadi anda

Terutamanya tentang simpanan ideal, iaitu 20% daripada pendapatan anda dalam artikel yang lalu.

Sebelum saya lanjutkan perbincangan kita lebih spesifik dengan lebih banyak angka-angka peratusan, kali ini mari kita isytiharkan kategori diri kita bersama-sama.

Di akhir tulisan ini anda dapat mengenal pasti apakah kategori diri anda berkaitan kewangan, dan bagaimana ia dapat membantu tindakan tuan-puan selepas ini.

Buang Dahulu Ego

Tahukah tuan, ramai yang tidak ‘sedar’ yang dia itu terlalu kurus, terlalu comot, terlalu besar sehinggalah dia sendiri yang mengakui “Oh, kurusnya aku!”.

Ini kerana manusia tidak dapat lari daripada sifat semulajadi yang dinamakan sindrom penafian. Dalam perkataan yang lebih ringkas ianya cuma seringkas tiga huruf; EGO.

Baiklah tuan, kerana ego tuan tidak dapat membayar hutang kad kredit yang sudah mencapai 5 angka, ataupun tidak dapat membersihkan nama buruk tuan dalam senarai CCRIS. Malah ego juga tidak dapat membayar bil pembentungan rumah tuan.

Maka buanglah ia sekarang sebelum meneruskan pembacaan tuan. Ya, buangnya jauh sekarang.

Sudah?

Bagus, Alhamdulillah.

Ada empat (4) kategori tabiat manusia berkaitan kewangan. Seperti saya, tuan akan mendapati salah satu kategori ini akan lebih dominan berbanding kategori yang lain. Maka, jangan toleh lagi ego yang sudah dibuang tadi, kita teruskan membaca sekarang.

Kategori #1 – Penyimpan

Mungkin ramai juga yang perasan yang dirinya dalam kategori ini. Mereka yang di dalam kategori ini tidak semestinya mempunyai simpanan yang banyak, tetapi dia semestinya sukar mahu berbelanja.

Contohnya, untuk satu pembelian yang mudah, dia akan berfikir berpuluh kali bukan kerana mahu membanding harga, tetapi untuk menyediakan alasan penolakan untuk memilih supaya tidak membeli. Memilih menu makanan di kedai makan contohnya; sangat sukar.

Selain itu, Si Jimat ini tidak suka sangat berlabur kerana padanya lebih baik menyimpan. Kadangkala mereka yang berada di dalam kategori ini bersifat sangat bertanggungjawab.

Mungkin kerana latarbelakang keluarganya, anak sulung, kakak atau sebagainya. Pada mereka, lebih baik duit yang mereka ada dapat dimanfaatkan untuk kebaikan keluarga, adik beradik, ibu bapa dari dibazirkan tidak tentu hala.

Lebih baik disimpan.

Kategori #2 – Pemboros

Ramai senyum apabila kategori ini diumumkan. Saya yakin tidak perlu huraian panjang lebar untuk menjelaskan kategori ini. Orang kata,

‘Tepuk dada, tanyalah kad ATM’

Ini kerana, mereka akan kerap ke mesin ATM kerana banyak pembelian tidak dirancang berlaku. Ataupun tanyalah ‘kad kredit’ mereka, kerana merekalah (kad kredit) adalah saksi utama kejadian.

Biasanya mereka yang di dalam kategori ini disenangi rakan-rakan, bukan kerana baik sopan tutur kata, tetapi kerana mudah mendapat tempias dibelanja. Pantang ada duit lebih sedikit sahaja skrip ini akan kedengaran bila keluar bersama mereka: “Tidak mengapa, biar aku bayarkan.”

Mereka yang berada di dalam kategori ini akan mendapati yang mereka sudah banyak kali terlanjur membeli banyak benda, yang akhirnya tidak digunakan langsung ataupun terlalu sedikit digunakan.

Tidak percaya, cuba perhatikan almari baju anda. Teliti juga rak-rak di dapur anda. Juga lihatlah di laci-laci pejabat anda. Ataupun lihatlah sekitar di ruang simpanan kereta anda. Selain kerana ia adalah belian spontan, ia juga adalah kesan kejayaan para pengiklan di media.

Kategori #3 – Tidak Peduli

Perkataan yang biasa kedengaran daripada mereka yang berada dalam kategori ini ialah:

  • “Nantilah”,
  • “Tidak mengapa”,
  • “Tidak kisah” dan
  • “Sayang, mana bil elektrik rumah ini, sudah lama abang tidak nampak.”

Mereka yang berada dalam kategori ini biasanya tegar menangguh perkara berkaitan kewangan. Biasanya melibatkan bayaran ansuran, bil dan yang melibatkan rutin seperti menghidupkan lesen memandu dan sewaktu dengannya.

Mereka sangat gemar membuat bayaran apabila perkhidmatan itu diputuskan. Contohnya bil Astro dan talian telco. Malah mereka tidak pernah mempedulikan bil, sehingga mereka tidak pernah membuka pun bil-bil tertentu yang sudah diketahui isi perutnya.

Malah lebih ekstrem selagi tiada perintah mahkamah, ataupun ugutan dari surat peguam mereka tidak terlintas pun membayar ansuran berkenaan.

Dan lebih menghairankan lagi, mereka tidak sedar pun bila mereka menyimpan ataupun bila mereka berbelanja.

Tahu-tahu sahaja duit sudah habis dibelanja.

Kategori #4 – Sami

tabiat kewangan

Mereka yang di dalam kategori ini tidaklah bermaksud mereka yang hari-hari ke tempat kerja berkaki ayam, memakai kain lilit badan dan membawa tasbih besar.

Skrip pilihan mereka yang berada di kategori ini ialah:

  • “Ini dunia semata-mata”,
  • “Bukannya boleh bawa masuk kubur’,
  • “Susah hendak jawab dengan malaikat nanti kalau banyak sangat duit” dan
  • “Kalau kaya tidak bahagia pun tidak berguna juga”.

Mereka yang berada di dalam kategori ini cepat membezakan ini dunia dan ini akhirat. Mereka cenderung untuk tidak melibatkan diri dalam hal ehwal kewangan kerana menganggap mereka kurang beragama, atau kurang soleh, atau kurang iman, atau kurang baik jika terlalu banyak mengurus atau mengambil tahu urusan kewangan.

Mereka rasa bahagia dan sempurna jika langsung tidak berurusan dengan duit.

Nah, itu dia empat (4) kategori tabiat manusia tentang kewangan. Dari empat pilihan, pilih dua yang hampir dengan diri anda. Sekarang ambil masa, tarik nafas perlahan-lahan, nilai secara adil, pilih satu yang lebih dominan dengan diri anda.

Tidak mengapa jika anda boros, ramai juga yang boros sedang tersenyum di luar sana. Tidak mengapa jika anda sami, kerana ia tidak melibatkan akidah, ia hanya satu cara muhasabah diri berkaitan kewangan.

Baik, sekarang isytiharkan diri anda.

Saya bernama _________________________. Tabiat kewangan saya ialah _______________________.

Lega bukan? Alhamdulillah.

Persoalannya, apa perlu saya isytiharkan diri sebegini?

Ini kerana ketahuilah tabiat itulah yang selama ini mengawal rasional tuan di dalam membuat keputusan kewangan.

Ini kerana tuan akan mendapati yang tuan perlahan-lahan menjadi sama 100% atau sebaliknya 100% dari ayah dan ibu tuan-tuan.

Ini kerana jika tuan mendapati tabiat sedia ada tuan merugikan, tuan boleh pilih untuk membiasakan diri dengan tabiat yang lebih baik dan menguntungkan masa depan tuan.

Ini ironinya tuan, hayati ayat-ayat akhir artikel ini.

Transformasi Tabiat Kewangan Hari Ini

Jika tuan mendapati tuan ialah penjimat, tuan menyedari sendiri alangkah baik jika tuan boleh sedikit berbelanja bagi berhibur dan menghargai diri sendiri.

Jika tuan ialah pemboros, tuan akan menyedari alangkah baiknya jika tuan dapat beringat sedikit, dan menyimpan untuk kehidupan masa hadapan serta demi kelapangan fikiran tuan sendiri.

Jika tuan jenis yang tidak peduli, tuan akan menyedari alangkah baiknya jika tuan dapat menyimpan, dan berbelanja dengan teratur dan sistematik demi kehidupan yang lebih realisitik.

Jika tuan seorang sami, tuan akan mendapati alangkah baiknya jika tuan dapat mengerjakan haji lebih awal dan membuat wakafan seperti yang digalakkan. Hanya jika tuan tahu bagaimana untuk menyimpan dan menggandakan pendapatan yang ada.

Pasti ada caranya. Ada dikalangan mereka di luar sana yang boleh menyimpan dalam masa yang sama berbelanja dengan bebas, berbelanja dalam masa yang sama beramal.

Itulah yang Allah beritahu kita dalam ayatnya Az-Zumar 39:9;

“Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.

Insya Allah, ikuti ruangan ini di masa akan datang, kita akan kongsikan lagi langkah-langkah penguasaan seterusnya.

Main layang berdepa-depa,
Haus tekak meminum bekal;
Bila tahu diri siapa,
Kurang ditambah, buruk ditinggal.

Kredit gambar: (davitydave,Mr ATM)


Tags: , , , , , ,

Komen (3)

  1. Asas untuk menjadi kaya ialah menyimpan. Tanpa menyimpan, kita tak akan ada modal untuk melabur.

    Mungkin bagi sesetengah orang, nasihat supaya menyimpan kedengaran begitu kuno. Tapi itulah langkah pertama dalam meraih kebebasan kewangan.

    Tabiat menyimpan perlu dipupuk daripada awal lagi . Lebih awal kita bermula lebih baik. Namun sekiranya kita masih belum ada tabiat menyimpan ini lagi, ianya boleh dimulakan sekarang.

Pendapat anda?