Menjejaki Penyewa Dari Syurga

January 02, 2013 — Penulis:

Kategori: Hartanah / Pelaburan

Bagi mereka yang pernah bergelar tuan rumah bagi rumah sewa, mereka pasti setidak-tidaknya mempunyai pengalaman pahit menguruskan penyewa.

Justeru itu, kebanyakan pelabur-pelabur hartanah lebih senang untuk menggunakan teknik ‘flipping’ (beli dan jual) bagi menggandakan pulangan pelaburan mereka, tanpa perlu melalui seribu satu macam kerenah penyewa.

Walaubagaimanapun masih terdapat segelintir pelabur yang masih menyimpan beberapa buah rumah untuk disewakan bagi memperolehi pendapatan bulanan darinya. Namun, satu-satunya perkara yang pasti meresahkan mereka ialah:

Bagaimana untuk memastikan yang penyewa mereka adalah daripada kalangan penyewa dari syurga?

Siapakah penyewa dari syurga yang saya maksudkan? Tidak lain tidak bukan para penyewa yang tidak culas ketika membayar sewa bulanannya. Dalam masa yang sama, mereka adalah daripada kategori pembersih dan bertanggungjawab, yang menjaga rumah anda seperti mana rumah mereka sendiri.

Sejujurnya penyewa dari syurga bukan mudah untuk dijejaki. Namun berdasarkan pengalaman selama lebih 10 tahun menguruskan penyewa, terdapat 4 ciri penyewa syurga yang perlu anda kenal pasti bagi meminimakan risiko penyewa ‘lari malam’ mahu pun ‘rumah rosak’. Keempat-empat ciri tersebut adalah:

Penyewa #1 – Ketepatan Masa

menjejaki penyewa Syurga

Penilaian saya terhadap bakal penyewa bermula dari pertemuan pertama lagi iaitu ketika sesi tinjauan rumah (site viewing). Jika janjinya jam 8 malam, maka perlu si penyewa berada sebelum atau tepat jam 8.

Sekiranya si penyewa terlewat barang seminit dua, maka sudah pasti merit penilaian saya akan mula berkurang. Rasionalnya, jika masa yang dijanjikannya dipandang sambil lewa, apatah lagi ‘due date’ untuk membayar sewa bulanannya.

Penyewa #2 – Gaya Pertuturan

Terlalu banyak komplen dan kata-kata yang angkuh menjadi asbab penolakan secara total terhadap bakal penyewa terutamanya ketika sesi tinjauan rumah dilakukan. “Kenapa perlu ditolak secara total?”, pasti itu yang bermain-main di fikiran anda bukan?

Rasionalnya, jika sebelum menyewa sudah banyak komplen yang diperdengarkan, apatah lagi jika rumah sudah diduduki dan jika kata-kata angkuh yang menjadi halwa telinga anda sebelum bergelar penyewa, apakah akan timbul rasa hormat kepada tuan rumah selepas rumah sudah dihuni?

Penyewa #3 – Penampilan Diri

Pertemuan pertama juga saya peruntukkan untuk menilai penampilan diri bakal penyewa saya. Dari hujung rambut sehingga ke hujung kuku kaki akan saya lihat kebersihannya.

Malah, haruman badan yang dipakainya juga akan menjadi bonus tambahan untuk saya memilihnya. Rasionalnya, jika kebersihan diri sendiri sudah dititik-beratkan, apatah lagi kebersihan sekelilingnya.

Penyewa #4 – Rupa Paras

Rupa paras sebenarnya merupakan faktor opsyenal di dalam pemilihan bakal penyewa. Malah ia lebih dilihat sebagai pakej yang didatangkan khas dengan penampilan diri.

Kebiasaannya, bakal penyewa yang pandai menjaga penampilan dirinya secara tidak langsung akan memperlihatkan rupa paras yang menarik di mata mereka yang memandangnya. Ia sekaligus menjadi asbab penting untuk dimasukkan ke dalam senarai penilaian bakal penyewa.

Inilah 4 ciri yang sering saya perhatikan di sepanjang 14 tahun saya bergelar tuan rumah. Alhamdulillah, hampir 90% daripada para penyewa saya tidak pernah lewat membayar sewa bulanan mereka.

Malah ada di antara mereka yang turut mengambil inisiatif mencantikkan rumah yang bukan kepunyaan mereka. Jadi, mungkin para pembaca boleh cuba untuk mempraktikkannya agar anda juga mampu menjemput penyewa dari syurga mendiami rumah sewa anda.

Kredit: Moyan_Brenn_BACK_FROM_ICELAND,Jeda Villa Bali


Tags: , ,

Komen (5)

  1. Terima kasih kepada penulis dan di harap ada artikel susulan dari penulis aka abang ensem. Kalau rumusan saya betul, 4 faktor ini berkisar tentang attitude bakal penyewa, mungkin ada lagi faktor2 lain yang penulis sedia berkongsi. Terima kasih banyak bro.

  2. pengalaman orang lambat bayar yg melemaukan…saya pernah ada pengalaman sewakan rumah kepada pengerusi surau…puunn selalu buat hal juga. Pendek kata, bab ni kene tengok menyeluruh juga dan rezeki masing2 lah.

Pendapat anda?