Minda Separa Sedar Seorang Peniaga

October 30, 2014 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan / Motivasi / Pembangunan Diri

Apa Itu Minda separa sedar?

Minda separa sedar boleh adalah lokasi semua mengenai diri kita tersimpan. Kepercayaan kita, kemahiran kita, pengalaman kita dan apa sahaja maklumat yang sudah kuat dan sebati dalam diri dan minda. Minda separa sedar ibarat iceberg (bongkah ais) – keras dan kukuh di bawahnya.

Minda Separa Sedar - Iceberg

Minda sedar pula berperanan sebagai penapis dan tempat proses maklumat sebelum sesuatu perkara itu disimpan di dalam minda separa sedar.

Lihat diri kita sendiri sebagai contoh, aktiviti memberus gigi. Oleh kerana aktiviti ini telah diajar kepada kita sewaktu kecil lagi, maka ia sudah sebati di dalam diri. Dan apabila sesuatu aktiviti itu sudah kita ‘biasa’ atau mahir, ia sudah tersimpan di dalam minda separa sedar. Minda Sedar kita telah bekerja sewaktu ‘ilmu’ memberus gigi itu diajar kepada kita.

Ia bukan soal susah atau senang, tetapi adakah ia telah diserap masuk ke dalam minda separa sedar? Jika ia sudah masuk, maka secara automatik akan menjadi sesuatu yang mudah.

Contoh lagi, Aishah seorang pembuat roti, kerja beliau seharian adalah mengadun, menguli dan membakar roti. Chinta pula seorang suri rumah yang baru sahaja mahu cuba-cuba membuat roti untuk anak-anaknya. Proses membuat roti adalah sama, ‘senang’ bagi Aishah tetapi ‘susah’ buat Chinta.

Mengapa? Kerana di dalam minda separa sedar Aishah sudah tersimpan ‘proses membuat roti dari A-Z’, manakala Chinta pula masih menggunakan minda sedarnya untuk proses dan menapis maklumat membuat roti.

Minda Seorang Peniaga

Seperti proses membuat roti diatas, berniaga juga adalah satu jenis gabungan kemahiran. Kemahiran yang merangkumi proses membuat jualan, analisis pasaran, seni-seni melayan pelanggan, merangka dan merancang keluar masuk untung rugi, menambah nilai dan lain-lain lagi.

Peniaga yang baru perlu banyak menggunakan minda aktif atau minda sedar dengan menggali sebanyak mungkin ilmu dan mencuba kaedah-kaedah yang telah dipelajari itu.

3 Peraturan Penting Sebelum Menjual

Terlalu banyak input dan ilmu yang perlu diserap. Dan ilmu yang telah dipraktikkan akan lebih mudah diserap minda separa sedar. Saya ringkaskan ilmu dan kemahiran berniaga yang perlu dikuasai dahulu sebagai asas membina sebuah perniagaan.

  • Ilmu dan kemahiran membuat jualan (sales)
  • Seni-seni melayan kehendak dan pertanyaan pelanggan (customer service)
  • Merancang untung rugi sesuatu projek (cash flow)

Terpulang samada mahu ‘mencuba’ sendiri kemahiran yang ingin dipelajari atau bekerja dengan syarikat orang lain untuk membina mana-mana kemahiran diatas.

Baiklah, balik kepada minda separa sedar tadi. Antara perkara yang sangat penting untuk menjadikan sesuatu kemahiran itu terserap masuk ke dalam minda separa sedar adalah kita perlu jelas dengan apa yang dipelajari itu.

Semakin kita jelas dan biasa, maka ia akan semakin cepat terserap masuk ke dalam minda separa sedar. Saya ringkaskan, gunakan ketiga-tiga elemen ini apabila membuat sesuatu pekerjaan,

  • Fikiran (untuk logical)
  • Hati (untuk kepercayaan)
  • Fizikal (untuk aktiviti)

Jalan Pintas Penyerap Maklumat

Adakah jalan pintas untuk proses menyerap maklumat ke minda separa sedar? Ya, ada. Saya beri contoh situasi, ambil cerita Aishah dan Chinta membuat roti di atas. Chinta boleh menggunakan jalan pintas dalam proses membuat roti dengan belajar, berkawan dan bekerja dengan Aishah yang sudah mahir. Semakin dekat dan faham Chinta dengan Aishah, maka semakin cepat ia mahir proses membuat roti itu.

Seperti itu juga jalan pintas buat seorang peniaga, cari seorang peniaga yang boleh anda contohi, dekati, berkawan dan bekerja boleh membantu anda memahami proses berniaga itu dengan lebih dekat dan cepat.

Atau boleh juga, lakukan apa yang dipanggil ‘visualization’ atau ‘affirmation’. ‘Visualization’ boleh difahami sebagai proses melihat dan merasai perkara atau objek yang diingini setiap hari. Manakala ‘affirmation’ pula proses mengulang ayat kunci untuk menjadi seseorang atau mencipta kemahiran yang diingini setiap hari.

Kedua proses ini perlu dilakukan dan diulangi setiap hari sehingga ‘menjadi’.

Contoh, ‘visualization’ – impian anda adalah memilki sebuah perniagaan kedai runcit di kawasan kediaman anda (maka lakukan proses bayangan kedai runcit anda penuh dengan pelanggan setiap hari, dengan diri anda sebagai ‘casher’ mungkin. Dan bayangan anda sebaiknya disertai dengan gambar kedai yang sebenar).

visualization

‘Affirmation’ – impian anda adalah menjadi seorang penulis bestseller , ulang ayat berikut dengan penuh kepercayaan setiap hari (‘saya seorang penulis buku bestseller’)

Bahaya Minda Separa Sedar

Minda separa sedar bukan sahaja membuatkan anda rasa ‘mudah’ untuk berbuat sesuatu, tetapi ia juga sedang mengawal anda daripada buat sesuatu yang diluar kebiasaan untuk menjaga ‘keselesaan’ anda.

Oleh itu, ia menjadi tugas kita untuk pecahkan dan keluar dari keselesaan itu dengan terus mencari dan menanam benih-benih kebaikkan dan kemahiran yang bermanfaat untuk diserap masuk kedalam minda separa sedar.

Balik kepada asas, apabila sesuatu perkara sudah terserap masuk kedalam minda separa sedar, dengan sendirinya ia menjadi sesuatu yang mudah pada kita.

Mulakan dengan menanam aktiviti ringkas tapi bakal memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang ramai di masa akan datang. 

Tip Menanam Kemahiran Bercakap Dan Menjual

Jadikan perkara berikut sebagai kebiasaan ;

  • Senyum
  • Bertanya dan bertegur dengan orang yang tidak dikenali
  • Memuji dengan ikhlas

Apabila 3 perkara diatas telah anda biasa, pasti lebih mudah untuk anda terlibat dengan aktiviti menjual pula.


Tags: , ,

Komen (1)

Pendapat anda?