ISI KANDUNGAN
Sedutan kisah lalu: Muaz menemui Formula Bisnes 4P, iaitu asas permulaan sesuatu bisnes. Farhan menyokong formula itu, dan menyuruh Muaz memperincikan lagi peta mindanya menggunakan aplikasi online percuma.

Buat kesekian kalinya, Muaz tersengih. Sebaik Farhan hilang daripada pandangan, dia melompat dan terus duduk di hadapan komputer sahabatnya itu. Ada tersisip sekeping nota berpelekat berwarna kuning dengan catatan, ‘http://www.mindmeister.com.’
Lebar senyum Muaz kali ini sehingga nampak gigi geraham bongsu.
Mari Siapkan Peta Minda
‘Muaz Ekspres… here we go!’

Pantas jari jemari Muaz menggerakkan tetikus dan menekan-nekan papan kekunci, sambil wajahnya bertukar-tukar ekspresi; daripada sengihan lebar sehingga kerutan tujuh lapis di dahi. Skrin di hadapannya semakin memaparkan pelbagai warna dan ikon.
Sesekali dia bangun, sesekali dia menepuk dahi. Ada masanya dia menggeleng, dan ada masanya dia mengangguk-angguk laju sambil senyum menyeringai.
“Siap!”
Separuh terlompat Muaz dari kerusi, lalu berjoget-joget seperti gelek tarian Chicken Dance. Dia membuka mulut dengan luas, tetapi tiada suara keluar. Kemudian, dia menarik nafas panjang, lalu meregang-regangkan otot bahu dan pinggang.
Langsung tidak disedarinya, Farhan sudahpun berdiri bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh.
“Gembira nampak? Apa yang sedang diraikan?”
Tangan Muaz yang sedang cantik mengeliat, terkaku seketika. Dia menoleh ke arah Farhan, tersengih, lalu menurunkan tangan perlahan-lahan.
“Peta minda aku sudah lengkap. Mari, aku tunjukkan dan terangkan.”
Farhan senyum. Dia mengambil kerusi tanpa penyandar, dan duduk di sebelah Muaz.
“Bentangkan hasil kerja engkau.”
Tergelak Muaz.
“Aku rasa seperti dalam kem motivasi pula, pembentangan LDK. Sudah lama aku tidak lalui aktiviti seperti itu.”
“Bentangkan hasil kerja engkau.”
Masa Untuk Persembahkan Rancangan Bisnes
Ulangan kata-kata Farhan bernada datar dan tegas itu mematikan sengih di wajah Muaz. Dia berdehem, lalu memulakan pembentangan.

“Baiklah, aku akan….”
Belum sempat Muaz meneruskan kata, Farhan mencelah sambil tersenyum, “Comel betul peta minda engkau. Siap ada ikon-ikon.”
Muaz ketawa kecil.
“Aku masih ingat, otak manusia bukan sekadar sukakan warna yang pelbagai. Otak manusia juga sukakan gambar berbanding teks. Aku belajar buat Visual Map semasa dalam latihan PLKN dahulu.”
Fungsi Visi dan Misi Bisnes
Farhan menepuk-nepuk bahu Muaz, lalu berkata, “Bagus, teruskan.”

Muaz berdehem lagi.
“Aku mulakan dengan profil. Setiap bisnes perlukan profil yang mengandungi visi, misi, dan nilai. Visi adalah matlamat yang ingin dicapai. Misi adalah cara mencapai visi. Dan nilai adalah praktis ataupun amalan dalam menjalankan misi bagi mencapai visi itu.”
Terjungkit kening Farhan, kemudian dia mengangguk-angguk.
“Aku kagum dengan bahasa engkau, dan aku mahu dengar lagi. Teruskan.”
“Selain itu,” kata Muaz sambil telunjuk dituju ke ikon-ikon di skrin, “bisnes juga memerlukan jenama dan pakejing baik bagi memperkenalkan dan menjual produk kita di pasaran. Logo, warna korporat, dan slogan juga perlu ditetapkan bagi penjenamaan dan pakejing.”
“Apa slogan untuk Muaz Ekspres?”
Muaz terkebil-kebil. Dia menggaru dagu.
“Cepat dan… tepat?”
Bola mata Farhan naik ke atas. Dia menggeleng.
“Engkau fikir, engkau balai polis?”
Tip Hasilkan Slogan Bisnes
Tersengih Muaz sambil menggaru-garu belakang kepala.

“Begini,” kata Farhan sambil mencapai pen dan kertas, dan menyambung, “Syarat mencipta slogan yang baik adalah slogan itu perlulah memenangkan pelanggan.”
Muaz mengangguk-angguk perlahan, sambil mata tekun memandang apa yang dituliskan oleh Farhan.
“Kerana dirimu begitu berharga. Ini slogan produk kosmetik terkemuka, Loreal. Apa kau rasa, apabila mendengar slogan itu?”
“Aku terasa dihargai.”
“Baik. Kini sesiapapun boleh terbang. Slogan siapa?”
“AirAsia… ya, pertama kali mendengarnya, aku terus berasa mampu menaiki kapal terbang, walaupun aku bukan orang kaya.”
“Jadi, Muaz Ekspres?”
Muaz mengurut-urut dagu, sambil berkata, “Aku pasti fikirkan yang terbaik untuk bakal pelanggan!”
(bersambung….)
Kredit: MindMeister, Mind Mapping Software Blog,
Tidak sabar menunggu episod seterusnya…
Terima kasih, tuan. Maaf lewat sedikit sambungannya.
menarik tu.. siap boleh buat peta minda kat handphone je.
Memang menarik. Di mana-mana pun boleh melakar idea.
Bagus dan berinfomatif..
Lebih bail baca citer camni compare ngan cerpen cinta yang berlambak di pasaran.
Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan yang baik.
Menarik!!… Tak sabar menunggu sambungannya.
Sejak baca cerpen ini, baru tersedar betapa pentingnnya
‘peta minda’…
Terimakasih cikpuan Azzah..
Terima kasih, Tuan Jimie. Insya-Allah sambungannya sedang diusahakan. Mari berpeta-minda!