ISI KANDUNGAN
Sedutan kisah lalu: Muaz yang sedang kebuntuan, didatangi seorang mat despatch.

Tanpa disangka-sangka, pertemuan itu memberikan idea bisnes kepadanya iaitu bisnes penghantaran barang.
Mata Muaz terkebil-kebil memandang motosikal yang memecut dengan bunyi seperti motobot itu.
‘Aku sangka, mat despatch hanya hantar surat sahaja. Ada juga mat despatch yang hantar bunga….’
Tiba-tiba Muaz berdiri.
“Hantar barang! Bisnes perkhidmatan penghantaran barang!”
Muaz melompat-lompat. Kedua tangannya digenggam dan dihayun-hayun ke bawah.
“Aku sudah dapat idea! Motor cabuk! Hantar barang! Terima kasih, Tuhan!”
Idea Lebih Mahal Daripada Hasil Kerja
Pintu rumah Farhan diketuk berkali-kali. Selang seminit Muaz melihat jam di tangan, kemudian mengeluh. Sesekali dia tersengih lebar. Kemudian dia kembali mengetuk pintu dengan pelbagai irama.
“Selagi tidak runtuh pintu ini, selagi itu engkau tidak akan berhenti mengetuk. Begitu?”
Lebih lebar sengih Muaz apabila mendengar sinisnya kata-kata Farhan yang membuka pintu dengan rambut berbungkus tuala.
“Maaf, aku tidak tahu engkau sedang mandi.”
Sambil meluaskan bukaan pintu rumah, Farhan menjawab, “Aku tidak perlu mengumumkan kepada dunia aku sedang mandi. Engkau seharusnya ikut cara Nabi Muhammad. Ketuk tiga kali, beri salam tiga kali. Selepas tiada jawapan, beredarlah.”
Tersengih lagi si Muaz, lalu melangkah masuk ke rumah pangsa dua bilik itu. Matanya meliar memandang dinding yang terlukis pelbagai ‘mural’ semula jadi.
Corak ‘ukiran’ hasil daripada kelewehan kerja kontraktor yang membinanya.
“Aku tidak boleh beredar begitu sahaja. Itu sebab aku tunggu sehingga engkau buka pintu. Aku sudah dapat idea. Aku perlu beritahu engkau segera. Semalam ada mat despatch jumpa aku. Dia yang beri aku idea ini.”
Farhan mengelap rambut sambil bertanya, “Mat despatch beri engkau idea? Berapa engkau bayar dia?”
Terpisat-pisat Muaz.
“Bayar?”
Farhan ketawa.
“Zaman sekarang, idea lebih mahal daripada hasil kerja.”
Muaz menggaru kepala.
“Bukan dia beri aku secara langsung. Apa yang dia katakan itu mencetuskan idea bisnes dalam otak aku. Aku mahu buat bisnes penghantaran barang!”
Sambil mengusap-usap rambut yang masih basah, Farhan mengangguk-angguk.
“Bagus. Aku suka idea itu. Sekarang, engkau buat perancangan. Buat dalam bentuk peta minda.”
Bisnes Jutawan Berasaskan Peta Minda
Tidak semena-mena, Muaz ketawa besar. Dia menekan-nekan perut.

“Peta minda? Sudah bertahun aku tidak buat peta minda! Bukankah itu hanya untuk budak sekolah? Bisnes pun ada peta minda?”
Farhan mengecilkan mata merenung Muaz. Serta-merta ketawa Muaz berhenti. Dia memerhati Farhan yang bangun dan masuk ke bilik. Seminit kemudian, Farhan kembali dengan sebuah buku di tangan.
“Tengok ini. Kuasai Bisnes Dengan Peta Minda.”
Buku yang dihulur, disambut. Mata Muaz terkebil-kebil melihat judul buku itu.
“Aku sangka….”
“Banyakkan lagi pembacaan, kalau benar-benar engkau mahu jadi orang bisnes yang hebat.”
Muaz menggaru kepala. Tangan kanannya membalikkan buku itu, dan dia membaca blurb di belakang.
“Tetapi aku hanya mahu bisnes menghantar barang. Bisnes kecil sahaja. Aku fikir, cukuplah aku ambil pesanan, hantar barang, dan terima bayaran. Perlukah perancangan sebegini?”
Farhan menggeleng.
“If you fail to plan, you are planning to fail. Benjamin Franklin.”
Muaz menelan liur.
“People think small, because most people are afraid of success, afraid of making decisions, afraid of winning. Donald Trump.”
Bergetar suara Muaz bertanya, “Maksud engkau?”
Peluang Kecil Adalah Peluang Besar
Farhan tersenyum. Dia mengambil buku sketch dan pen empat warna dari bawah meja kopi, lalu mula melakar sambil mulutnya berkata-kata,
“Sebagai seorang usahawan, engkau perlu memandang setiap peluang kecil sebagai sesuatu yang punya peluang besar. Walaupun hanya mengusahakan perkhidmatan hantar barang, engkau perlu letakkan sasaran bisnes ini mampu mencapai taraf dunia.
Lihat sahaja khidmat penghantaran barang antarabangsa sedia ada. DHL, UPS, FedEx, GedEx, Nationwide Express, Skynet dan banyak lagi. Tidak mustahil Muaz Ekspres akan mencapai tahap mereka satu masa nanti, malah aku doakan lebih baik!”
Mata Muaz berkaca-kaca. Tangan Farhan masih lincah melakar. Seketika kemudian, Farhan mendongak memandang Muaz.
“Cengeng betul engkau!”
Muaz mengesat kedua mata dengan belakang tapak tangan.
“Amat jarang aku mendapat doa daripada sesiapapun. Engkau sudi doakan aku, aku terharu.”
Tersenyum Farhan, lalu berkata, “Doa aku hanya untuk kawan-kawan yang tahu menghargai dirinya sendiri.”
Sambil membelek-belek peta minda yang hampir siap dilukis, Farhan menyambung, “Itu gunanya ada kumpulan kawan yang baik. Kawan yang baik sentiasa memberi dorongan dan doa.
Nabi Muhammad berpesan, berkawanlah dengan penjual minyak wangi, supaya kita dapat tempias harumnya walaupun tidak membeli. Minyak wangi jenama ‘Farhan’ tidaklah semerbak mana, namun aku harap dapatlah memberi engkau sedikit bau harum.
Dapat melindungi bau badan engkau yang jarang-jarang mandi pun sudah cukup buat aku gembira.”
Air Mata Sahabat
Serta-merta Muaz bangun.

“Aku mahu ke tandas. Sakit perut.”
Farhan tergelak kecil dan menggeleng. Muaz melangkah pantas ke tandas sambil mengesat air yang mula membasahi pipi.
Sebaik Muaz hilang dari pandangan, Farhan melaung, “Cepat sedikit!”
Muaz berundur ke belakang dan menjengahkan kepala.
“Ada apa?”
Sambil merenung buku sketch yang sudah terisi dengan lakaran berwarna-warni, Farhan berkata, “Engkau ada peta minda penting yang perlu segera dibereskan!”
(bersambung….)
Kredit: Wazari, exploreabishek, mie.kaieda, jave photo, Mio Cade


yeayyy.. sambungan kisah muaz!
Yeay!
Aduh..ada sambungan..hehe..best2..
Nantikan sambungannya ya!
Hari ini saya mambaca semua kisah Muaz dari bahagian 1 hingga ke bahagian ini. Semoga ia dapat terus disambung agar orang yang membacanya turut terinspirasi sepertimana yang saya rasa.
Insya-Allah, mudah-mudahan. Terima kasih, tuan.
“Peta minda? Sudah bertahun aku tidak buat peta minda! Bukankah itu hanya untuk budak sekolah? Bisnes pun ada peta minda?”
Ayat yang menarik. Saya juga mempunyai pandangan saya pasal Peta Minda. Kena amalkan balik ni.
Dah selesai bab 2 dah. Sekarang tunggu bab seterusnya.Jeng.Jeng.Jeng.
Saya sendiri skeptik begitu pada mulanya. Namun, terinspirasi daripada sahabat dan buku yang disebutkan dalam kisah ini, saya buat semula. Ternyata lebih mudah dan menyeronokkan!
Betul, sangat bersetuju dengan intipati Muza Ekspres kali ni. ‘Think Big’ sangat penting dalam apa jua yang kita lakukan.
Saya juga telah memberikan pendapat mengenainya dalam blog saya: http://mind-rezduan.blogspot.com/2012/02/think-big.html
Terima kasih, tuan.
Jangan bersikap ‘sekadar untuk cukup makan’ dalam menjalankan apa juga jenis bisnes.
Benar, tuan.
saya tak terfikir pun pasal peta minda dlm biz. So, nanti kena apply ni utk my biz coklat
Ya, ayuh!
wahh…best2 baca..
hehehe
Terima kasih
bersambung lagi.ni kalau novel aku dah beli.confirm.hahaha
Wah, terima kasih!
Peta minda.. tak ambil berat pasal tu.. Insyallah kena buat untuk projek terbaharu ni
Hehehe