Pelanggan Setia Dulu, Kini dan Selamanya

October 23, 2013 — Penulis:

Kategori: Artikel Pilihan

Tidak dinafikan betapa sukar untuk menembusi bakal pembeli atau pelanggan yang cukup setia dan tegar dengan satu-satu produk. Walau penerangan yang baik diberikan atau menawarkan perkhidmatan yang mengatasi pesaing lain, namun masih gagal juga untuk diterima.

Pelanggan setia satu-satu produk seperti sudah menutup ‘pintu hati’ terhadap produk lain. Pelbagai cara digunakan namun tetap ditolak mentah-mentah.

Namun ada beberapa cara bagi mengatasi isu ini. Antara yang boleh dipertimbangkan ialah:

#1 Jangan ada sikap mudah berputus asa

Bertemu dengan individu atau pelanggan yang terlalu setia ini memerlukan kesabaran dan kecekalan tinggi. Jangan mudah pandang rendah kesetiaan dan pendirian mereka. Tunjukkan kepada mereka yang kita juga tidak mudah berputus asa terhadap mereka. Hanya kesungguhan dan kegigihan sahaja yang dapat membuktikan komitmen kita kepada mereka. Apabila kita erlalu mudah berputus asa selagi itu kita akan gagal merobohkan pendirian dan kesetiaan mereka kepada produk pesaing. Atasi rasa rendah diri, suka berputus asa dan kecewa secepat mungkin.

#2 Cari kelemahan produk pesaing

Gunakan kreativiti dan kaji keistimewaan produk pesaing. Bandingkan dengan produk kita agar ia menjadi kekuatan untuk diri kita pula. Jangan memburukkan pula pesaing di depan mata bakal pelanggan. Sekali kita memburukkan orang lain sudah pasti di masa hadapan mereka akan sukar mempercayai kita lagi. Buat perbandingan secara diterima akal dan berhemah. Biar mereka yang tentukan. Berikan maklumat berfakta dan logik. Kesungguhan pasti disusuli kejayaan.

JumpaPelanggan

#3 Bertemu secara konsisten

Elakkan sama sekali membuat tanggapan awal terhadap pelanggan. Jangan putuskan hubungan dan dapatkan dahulu kepercayaannya. Lakukan secara konsisten. Mungkin di masa kini masih belum mampu untuk kita peroleh kepercayaan tetapi mungkin di masa hadapan mereka mengubah fikiran.

#4 Cari kawan-kawannya

Berhubung dengan kawan-kawan dan kenalannya. Daripada mereka kita akan temui jawapan. Sebagai orang baru mungkin sukar untuk menilai bakal pelanggan tersebut. Daripada kenalan mereka ini kita dapat memperoleh maklumat seterusnya memudahkan proses menambat hari mereka pada pertemuan seterusnya.

#5 Jangan putus-putus berdoa

Yakin dan percaya pada Allah. Tugas kita berusaha dan minta saja pada Allah supaya apa yang kita lakukan sentiasa dipermudahkan. Mudah mendapat jualan, mudah mendapat layanan terbaik dan mudah menerima apa yang ditawarkan. Lakukan dengan ikhlas bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga kepada Allah. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Teruskan penyerahan diri kepada Allah pasti Allah juga yang akan membantu kita semula.

Langkah-langkah ini sukar namun  tidak mustahil untuk dilaksanakan.Teruskan usaha supaya apa yang kita sasarkan menemui kejayaan. Kerana itu jangan ada sama sekali sikap mudah mengalah dan putus asa. Sekali sikap ini berada dalam diri kita pasti kejayaan akan terlepas begitu sahaja.

 

 Kredit foto: jb_1984smithhe


Tags: , , , ,

Pendapat anda?